“Kenapa
pulak ni?” tanya Fazira kepada Arissa yang menyembam muka di meja
makan.
Arissa
mengangkat kepala lalu memandang Fazira yang baru sahaja pulang dari
menghadiri aktiviti sukan di sekolah. Terkejut Fazira melihat keadaan
Arissa yang bagaikan tidak terurus itu. Rambut Arissa dilihat
berserabai seperti sudah beberapa hari tidak bersikat. Pelik. Pagi
tadi punyalah seronok tapi petang ini Arissa berubah jadi orang lain.
“Fazira...,”
gumam Arissa.
“Apa
dah berlaku ni?” tanya Fazira kerisauan.
“Nazwan...,”
ujar Arissa. Dia tidak tahu bagaimana hendak beritahu Fazira,
sebaliknya memberikan sehelai kertas kepada Fazira.
“Kertas
apa ni?” tanya Fazira yang tidak faham apa yang dibacanya.
Dia
yakin, tulisan dalam kertas itu bukan tulisan Kak Arissa tapi tulisan
seseorang. Dia tidak pernah melihat tulisan Nazwan, jadi dia tidak
dapat meneka sama ada itu tulisan Nazwan atau tidak.
“Tadi,
aku jumpa Nazwan. Kita berbincang pasal apa yang patut kitorang buat
seterusnya. Lepas tu, aku suruh dia senaraikan 10 sebab apa yang dia
tak suka tentang aku. Aku ingat, kalau dia senaraikan sebab-sebab tu
aku tahulah sedikit tentang kelemahan aku dan kalau boleh ubah, aku
akan ubah perangai aku,” terang Arissa separuh.
“Habis
tu? Apa masalahnya?”
“Cubalah
kau tengok betul-betul! Aku suruh dia senaraikan 10 sebab tapi dia
senaraikan 20 sebab!” ujar Arissa marah.
Fazira
kembali melihat kembali kertas di tangannya itu. Memang ada 20
senarai yang ditulis. Serentak itu, dia melepaskan ketawa
terbahak-bahak sehingga dia tidak dapat menahan dirinya daripada
berhenti ketawa.
“Fazira!
Ini bukannya lawak!” Arissa merampas kertas itu kembali.
“Tapi
memang lawak pun,” Fazira masih lagi ketawa.
“Ah,
sudahlah!” Arissa lantas bangun dan mula mengorak langkah.
“Nak
ke mana tu?” tanya Fazira.
“Nak
pergi merajuk!” jawab Arissa yang sudah berlari ke atas.
Fazira
sekadar menggeleng. Macam manalah Nazwan tidak senaraikan 20 sebab
kalau perangai pun macam itu. Namun, dia tertanya-tanya apa yang
menyebabkan Nazwan menerima bekas kakak tirinya itu. Setahu dia,
Nazwan tidak pernah menunjukkan minat terhadap Arissa. Malah, dia
yakin Arissa langsung tiada ciri-ciri perempuan idaman Nazwan.
“Entah
apa yang difikir Nazwan,” ujarnya seorang diri.
“Apa
yang Nazwan fikir?” suara mamanya menyapa tiba-tiba.
“Mama!”
keluh Fazira lantas berpaling. Dia langsung tidak sedar mamanya sudah
balik. Walaupun mamanya sibuk dengan butik pengantin, tetapi mamanya
akan pulang ke rumah sebelum bukul 6.00 petang. Tapi sekarang baru
pukul 4.00 petang.
“Awal
mama balik,” tegur Fazira.
“Mama
baru balik jumpa pelanggan. Kebetulan rumahnya dekat area ni jadi
lepas habis, mama terus balik rumah,” terang Puan Fiza dengan
ringkas. “Arissa mana?” tanyanya sambil memandang sekeliling.
“Dalam
bilik. Merajuk,” jawab Fazira.
“Merajuk?”
Puan Fiza mengerut dahi. “Dia bergaduh dengan Nazwan ke?”
tekanya.
“Lebih
teruk daripada tu,” kata Fazira dan menerangkan secara ringkas apa
yang ditahunya. Selepas sahaja dia ceritakan, mamanya ketawa
terbahak-bahak seperti mana dia ketawa tadi.
“Arissa...
oh Arissa,” Puan Fiza mengeleng perlahan.
***
Pintu
biliknya diketuk. Arissa melihat Mama Fiza berdiri di depan pintu
biliknya.
“Boleh
Mama Fiza masuk?” tanya Puan Fiza.
Arissa
mengangguk. Puan Fiza segera melangkah masuk menghampiri Arissa yang
masih lagi berbaring di katil. Dia duduk di hujung katil.
“Mana
senarai tu?” tanya Puan Fiza.
Arissa
sudah boleh mengagak. Ini mesti Fazira sudah laporkan kepada Mama
Fiza. Mesti mereka berdua bantai gelak tadi. Mereka berdua memang
sehati sejiwa. Mujurlah dia tidak ada di situ, kalau tidak lagi
stress kepala otaknya.
Arissa
menghulurkan kertas yang sudah dikeronyokkan itu kepada Puan Fiza.
Kalau diikutkan hati memang dia sudah bakar kertas itu tapi sayang
pula nak bakar sebab ada tulisan Nazwan yang cantik dan kemas. Kalau
tengok tulisan pun cair, apatah lagi kalau tengok orangnya.
“Jadi,
ini yang buat kamu kecil hati sampai merajuk?” tanya Puan Fiza
setelah membaca kesemua senarai itu.
“Siapa
yang tak bengang kalau orang yang kita suka senaraikan 20 yang dia
tak suka tentang kita. Tambah lagi Rissa suruh dia senaraikan 10 saja
tapi dia senaraikan lebih dari tu! Eee... macam nak cabar Rissa pun
ada,” rungut Arissa sambil memukul-mukul bantal kesayangannya yang
hampir lunyai itu.
Walaupun
sudah lunyai, tetapi dia tetap sayang dengan bantal itu. Setiap kali
dia gembira, sedih, geram mahupun marah, bantal itulah yang akan
menjadi sasarannya terlebih dahulu. Ini kerana itu adalah antara
harta peninggalan arwah ibu kandungnya kepadanya.
“Kenapa
pula kamu nak suruh dia senaraikan 10 sebab tu?” tanya Puan Fiza.
Ada
kalanya dia berasa tindakan Arissa tidak ubah seperti budak-budak
sekolah rendah baru belajar bercinta. Ada kala juga pemikiran Arissa
seperti orang dewasa. Seumur hidupnya, dia pun tak pernah terfikir
hendak suruh orang menyenaraikan sebab-sebab sebegitu.
“Tak
ada apa,” jawab Arissa kembali berbaring di katilnya. “Kenapa
kawan Rissa sendiri boleh senaraikan 10 sebab macam tu? Teruk sangat
ke Rissa ni?” kata Arissa lagi dengan keluhan berat.
“Arissa,
semua orang tak sempurna. Walaupun kita berusaha nak nampak sempurna
dan berbaik dengan semua orang, tapi masih lagi ada yang cacat pada
diri kita,” pujuk Puan Fiza dengan kata-kata saktinya.
“Tapi
Rissa langsung tak boleh senaraikan 10 sebab tu pada kawan sendiri,”
ujar Arissa lagi. “Agaknya, Rissa memang tak kenal kawan Rissa
sendiri. Ahh, ini bermakna Rissa ni tak pernah ambil berat tentang
kawan sendiri. Yelah, Rissa selalu sangat kejar lelaki sampai Rissa
tak pernah ambil tahu pasal kawan sendiri. Waaa... Rissa memang
teruk!” Sekali lagi bantal kesayangannya menjadi mangsa kerasutan
tangannya yang tidak henti-henti melibas-libas.
“Ya,
Rissa memang teruk,” sokong Puan Fiza.
Serentak
itu Arissa memandang bekas ibu tirinya itu. Dia terkejut. Tidak
sangka, Mama Fiza boleh cakap begitu. Kalau Mama Fiza sudah cakap
begitu, itu bermakna dia memang seorang yang teruk. Matanya mula
berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja lagi dia akan melepaskan cecair
jernih itu.
“Mama
Fiza pun kata Rissa teruk...,” dia tidak dapat menahan air matanya
lagi.
“Mmm...
apa boleh buat. Rissa memang teruk. Mama Fiza lagilah teruk.”
Serta-merta
Arissa berhenti menangis.
“Kenapa?”
tanyanya.
“Sebab
Mama Fiza tak boleh nak berbuat apa-apa untuk tolong Rissa. Mama Fiza
asyik kerja, tak ada masa nak teman Rissa, tak ada masa nak dengar
masalah Rissa dan tak dapat jadi penasihat cinta kepada Rissa. Lepas
tu, Mama Fiza dah rampas rumah peninggalan ibu kandung Rissa. Mmm...
Mama Fiza memang seorang ibu yang teruk.”
“Waa....
Mama Fiza janganlah salahkan diri sendiri,” ujar Arissa lantas
memeluk Puan Fiza dengan erat. “Mana ada Mama Fiza rampas rumah ni.
Semuanya dah ada dalam wasiat mama Rissa. Sesiapa yang jaga Rissa,
berhak ke atas rumah ni. Mama Fiza bukannya teruk tapi seorang mama
yang baik. Mana nak dapat ibu tiri yang baik macam Mama Fiza.”
“Kalau
Mama Fiza tak teruk, jadi Rissa pun bukannya teruk sangat,” Puan
Fiza membelai-belai rambut Arissa yang panjang. “Setiap orang ada
kelemahan, Rissa. Kalau Rissa suruh orang senaraikan kelemahan Rissa,
boleh jadi, lebih seratus kertas kajang.”
“Habis
tu? Apa Rissa patut buat?” tanya Rissa yang dalam masih memeluk
Mama Fiza.
“Belajar
untuk terima kenyataan. Yang mana boleh ubah tu, Rissa ubah. Nak
berubah tu memakan masa yang lama. Rissa pula kena berubah dengan
rela hati bukannya sebab cintakan Nazwan, Rissa memaksa diri untuk
berubah,” nasihat Puan Fiza.
Arissa
meleraikan pelukan. Dia terdiam sebentar dan berfikir.
“Kalau
Rissa berubah dia akan sukakan Rissa ke? Rissa suruh dia senaraikan
10 sebab kenapa dia tak sukakan Rissa pun, dia dah senaraikan 20
sebab. Nampak sangat macam susah saja nak cairkan hatinya,” kata
Arissa yang sudah hilang semangat.
“Takkanlah
sebab itu Rissa dah hilang semangat.”
“Bukan
hilang semangat tapi bila Nazwan dah senaraikan sebab-sebab yang
banyak macam ni, rasanya macam mustahil saja. Tambah lagi, Luqman dan
Sarah tak suka Rissa couple dengan Nazwan. Diorang ingat Rissa
sengaja nak hancurkan hati Nazwan. Aahhh, Rissa bukannya playgirl
yang jahat. Nazwan pula, macam acuh tak acuh je. Tak ada sesiapa yang
nak sokong Rissa,” tambah Arissa lagi meluahkan apa yang terbuku di
hatinya.
“Rissa
cintakan Nazwan ke?”
“Mestilah!”
kata Arissa penuh yakin. “Rissa tak pernah rasa macam ni. Perasaan
ni sangat aneh sampai Rissa sendiri tak tahu macam mana nak
terangkan. Macam dia tu memang dilahirkan untuk Rissa.”
Puan
Fiza yang mendengar turut terkedu seketika. Dia tidak pernah melihat
Arissa seperti ini. Selama ini dia juga pernah juga melihat jatuh
bangun Arissa ketika bercinta tapi ini kali pertama Arissa bercakap
dengan sepenuh hati. Kalau Nazwan adalah hentian terakhir Arissa,
mungkin inilah petandanya.
“Kalau
macam tu, tak ada apa yang perlu dirisaukan.”
“Ada.
Luqman dan Sarah....”
“Mereka
berdua bukan Tuhan, jadi abaikan mereka. Apa yang penting sekarang,
Rissa kena bersiap sedia menghadapi rintangan yang mendatang. Mungkin
rintangan kali ini agak hebat berbanding apa yang Rissa lalui sebelum
ini,” kata Puan Fiza lagi memberikan sedikit api semangat kepada
Arissa.
“Macam
mana kalau Nazwan tetap tak sukakan Rissa walaupun Rissa dah cuba
yang terbaik?” tanya Arissa lagi.
“Percaya
pada jodoh yang telah ditetapkan,” ucap Puan Fiza.
Perlahan-lahan
bibir Arissa mengukir senyuman. Ya. Percaya pada jodoh yang telah
ditetapkan. Itu juga kata-kata arwah ibunya.
“Terima
kasih Mama Fiza!” dia sekali lagi memeluk Puan Fiza dengan erat.
Api semangatnya serta-merta naik mendadak. Dia akan berusaha keras
untuk menambat hati Nazwan dan buktikan kepada Sarah dan Luqman
bahawa Nazwan adalah hentian terakhirnya!
***
Tepat
pukul 1.00 tengah hari, kafeteria sudah mula dipenuhi bakal mahasiswa yang
baru sahaja habis kuliah. Nazwan yang sudah habis kuliah pada pukul
12.00 tengah hari tadi, sudah pun duduk di meja yang biasa diduduki
mereka ketika rehat. Sambil menunggu rakan-rakannya yang lain, dia
menghabiskan masa dengan membaca buku.
Walau
bagaimanapun, fikirannya melayang ke tempat lain. Macam-macam yang
dia fikir. Ada kalanya dia terfikir ingin berhenti apa yang dia
lakukan sekarang. Couple dengan Arissa tidak memberikan sebarang
faedah langsung. Malah, dia mula rasakan kehidupannya yang selama ini
tenang, mula hura-hara dengan perangai Arissa yang tidak pernah tahu
duduk diam.
Entah
siapa punya idealah yang membuatkan dia terperangkap kini. Dia patut
dengar nasihat Luqman dahulu. Malah, dia juga patut berfikir panjang
sebelum berkata “Okey” ketika Arissa mengajaknya dating atau kata
lain couple. Pada masa itu, boleh dikatakan dia separuh sedar. Dia
tahu dia tidak ada perasaan terhadap Arissa tapi dalam masa yang sama
ada satu tarikan yang membuatkan dia terus bersetuju.
Mungkin
benar kata Luqman selama ini. Arissa adalah ahli sihir. Sedar-sedar
sahaja dia sudah melakukan satu kesilapan tapi bila Luqman suruh dia
berfikir sekali lagi, dia bertegas ingin teruskan hubungan itu. Kini,
dia semakin tidak pasti.
Nazwan
sekali lagi menghela nafas berat.
“Aku
pelik,” sapa suara Luqman tiba-tiba sekali gus mengejutkan Nazwan
daripada lamunan. Dia langsung tidak sedar kehadiran Luqman bersama
Sarah di meja itu.
“Apa
peliknya?” tanya Nazwan.
“Macam
mana kau boleh mengelamun masuk ke dunia lain dengan cuaca yang panas
macam ni? Cuaca panas bukan waktu yang sesuai untuk mengelamun,”
kata Luqman yang sudah duduk di hadapannya.
“Ada
masalah?” tanya Sarah yang memilih untuk duduk di sebelah Luqman.
Nazwan
senyap. Dia sengaja mengambil keputusan untuk berdiam diri. Kalau dia
beritahu apa yang bermain di kepalanya, pasti Luqman akan membebel di
hadapannya. Dia lebih sanggup dengar Arissa bercakap tanpa henti
daripada mendengar Luqman membebel. Memang tidak sesuai langsung
kalau lelaki membebel.
“Aku
tahu, ini mesti sebab Arissa,” teka Luqman.
“Mmm...
sudah semestinya!” Sarah menyokong.
“Sebut
saja nama Arissa, dia dah muncul,” ujar Nazwan yang melihat tubuh
Arissa yang sudah melangkah masuk ke dalam kafeteria dan sedang
menuju ke meja mereka.
“Hai,”
sapa Arissa ceria seperti selalu.
Dia
cepat-cepat mengambil tempat di sebelah Nazwan walaupun mereka
bertiga tidak membalas sapaannya. Masing-masing membuat muka tidak
berminat hendak menyapanya. Namun, semua itu langsung tidak
mematahkan semangatnya.
“Nazwan,
jom kita pergi tengok wayang hari ni,” ajak Arissa.
Baru
sahaja Nazwan ingin bersuara, Arissa terlebih dahulu menyambung, “Oh,
aku tahu kau ada kelas sampai pukul 5.00 petang. Sebagai girlfriend
mestilah aku kena tahu semua jadual kau, jadi, kau tak perlu risau.
Aku dah booking tiket untuk jam 9.00 malam.”
“9.00
malam?” tanya Luqman kembali. “Kau nak Nazwan kena pancung dengan
nenek ke?” Luqman tidak puas hati. Sedangkan dia ingin keluar
tengok wayang dengan Sarah pun neneknya sudah membebel sampai
seminggu, sudah tentulah Nazwan pun sama.
“Aku
dah minta keberanan neneklah!” pantas Arissa mejawab. “Nenek
setuju sebab dia percayakan aku,” tambah Arissa lagi sengaja ingin
mendiamkan Luqman.
“Ahli
sihir,” ujar Luqman tidak puas hati.
Seperti
Luqman, Sarah juga tertanya-tanya, bagaimana Arissa boleh meminta
kebenaran nenek dengan senang sedangkan dia hendak keluar menonton
wayang dengan Luqman pun tidak boleh. Pasti, Arissa menggunakan ilmu
sihir lagi.
“Arissa...”
“Jangan
cakap apa-apa,” pantas Arissa memotong kata-kata Nazwan tadi. “Aku
dah sediakan semuanya. Kau hanya perlu datang ke Mall dalam pukul
8.00 malam. Tak payah ambil aku sebab aku akan ke butik Mama Fiza kat
sebelah Mall tu petang ni. Sekarang, aku nak mandi spa dan pilih baju
lawa-lawa untuk date kali ni. Okey, aku balik rumah dulu. Jumpa kat
sana!” ujar Arissa panjang lebar sebelum berlalu dari situ.
Nazwan
sekali lagi mengeluh lemah. Belum lagi dia sempat hendak bersuara,
Arissa sudah pun berlalu pergi membuatkan dirinya terperangkap. Betul
kata Luqman, Arissa memang licik orangnya.
“Kau
tahu apa yang kau buat,” ujar Luqman dengan nada menyindir.
“Diam,”
ujar Nazwan tidak berminat hendak mendengar bebelan Luqman buat masa
ini.
***
“Pukul
8.00 malam dan kau masih duduk di balkoni ni menikmati pemandangan
malam yang indah dengan berbaju t-shirt, berseluar pendek,” sapa
Luqman menghampiri Nazwan yang masih bersenang lenang di balkoni
bilik. “Apa dah berlaku dengan date kau malam ni?” tanya Luqman.
“Abaikan,”
jawab Nazwan sepatah.
Luqman
duduk di kerusi putih tidak jauh dari Nazwan. Dia memandang sepupunya
dengan tajam. Selalunya Nazwan tidak begini tapi sejak kehilangan
Natasya, perangai Nazwan dilihat mula berubah sedikit demi sedikit.
Kalau
dahulu, mereka boleh bergurau senda, tetapi sekarang Nazwan tidak
tahu bagaimana hendak bergurau. Orang tanya sepatah, dia akan
menjawab sepatah. Orang tanya beberapa patah, sepatah juga
dijawabnya. Dia tidak dapat agak apa yang sedang bermain di kepala
Nazwan.
“Aku
tahu kau tak suka dengar apa yang aku nak katakan ni tapi sejak
Natasya tak ada, kau macam dah jadi orang lain. Macam kau bukan
sepupu yang aku kenal. Aku faham apa yang kau lalui...”
“Kau
takkan faham,” balas Nazwan dengan tenungan yang menakutkan.
“Okey,
aku tak faham tapi takkan kau nak terus macam ni? Aku sepupu kau.
Kita membesar sama-sama dan saling memahami tapi sekarang kau macam
menjauhkan diri dari kami semua. Aku tahu, aku tak mungkin dapat
hidupkan Natasya semula tapi aku harap, aku dapat 'hidupkan' Nazwan
yang aku kenal,” tambah Luqman.
Nazwan
senyap.
“Apa
sebenarnya yang dah berlaku sampai kau buat keputusan nak couple
dengan Arissa? Aku tahu kau tak gembira dengan keputusan tu. Kalau
tak, gerenti kau dah berada di sebelah Arissa sekarang ni,” desak
Luqman lagi yang inginkan jawapan.
Nazwan
mengeluh berat.
“Luqman,”
Nazwan mula bersuara setelah lama berdiam diri. “Aku terfikir,
betul ke dia sukakan aku? Atau dia pun sama spesis macam Natasya?”
“Apa
maksud kau?” tanya Luqman kurang faham.
“Dia
dengan senang mengaku yang dia dah jatuh cinta. Kemudian, tak sampai
beberapa bulan dia putus cinta. Aku terfikir, sama ada dia sengaja
buat macam tu atau sebaliknya.”
“Jangan
kata kau sengaja nak uji Arissa,” teka Luqman separuh gembira.
“Agak-agak
apa yang berlaku nanti?” tanya Nazwan dengan senyuman misteri.
“Terbaik,”
Luqman menepuk tangan. “Jangan risau, aku akan sentiasa menyokong
kat kat sebelah,” Luqman kelihatan lega.
Perbualan
mereka terganggu apabila handset Nazwan berbunyi di atas meja. Nazwan
tidak mencapai handset itu tetapi sebaliknya hanya melihat nama
pemanggil yang tertera di skrin. Arissa. Dia sudah agak pasti Arissa
yang menelefonnya. Jadi, dia membiarkan handsetnya itu berbunyi
sehinggalah berhenti sendiri.
“Kau
nak aku jawab?” tanya Luqman apabila panggilan kedua menyusul.
“Tak
payah,” jawab Nazwan.
Panggilan
kedua berhenti setelah lama berbunyi. Tiada panggilan ketiga tetapi
sebaliknya mesej yang masuk. Nazwan dan Luqman sudah dapat meneka
siapa yang menghantar mesej. Kemudian, sunyi.
“Aku
terfikir, apa kata kalau kita bergabung tenaga dengan ajar sikit
Arissa tu,” ujar Luqman mula memikirkan idea kejamnya.
“Aku
cuma nak pastikan sama ada dia betul-betul serius dengan aku, Luqman.
Bukan nak balas dendam,” balas Nazwan tidak bersetuju.
“Lepas
tu apa?” tanya Luqman.
“Terpulang
pada nasib aku waktu tu,” jawab Nazwan acuh tidak acuh.
“Kau
memang susah nak dijangka,” keluh Luqman tidak tahu hendak kata apa
lagi.
***
Nazwan
terjaga daripada tidurnya yang nyenyak apabila handsetnya berbunyi.
Dalam keadaan separuh mengantuk dia mencapai handsetnya. Skrin pada
handsetnya tertera nama Fazira. Pelik. Walaupun dia menyimpan nombor
Fazira tetapi dia tidak begitu rapat dengan jirannya itu. Ini kali
pertama nama Fazira muncul di skrin handsetnya.
Nazwan
mengambil keputusan membiarkan panggilan itu. Pasti Arissa yang
meminjam telefon Fazira untuk mengelirukannya. Pasti juga Arissa
tidak tahu yang dia menyimpan nombor telefon Fazira. Setelah beberapa
minit, panggilan itu berhenti menelefonnya. Nazwan kembali menyambung
tidurnya yang terganggu.
Namun,
beberapa minit kemudian, handsetnya berdering lagi. Sekali lagi
Nazwan terpaksa bangun melihat nama pemanggil. Puan Fiza. Dia
menghela nafas lemah. Nampaknya Arissa memang tidak pernah reti
menghormati masa tidur orang. Sudah pukul 3.00 pagi pun sanggup
menganggunya tidur. Nazwan lantas mencapai handsetnya dan menutup
handsetnya supaya tidak diganggu lagi.
Sekali
lagi, baru sahaja tidak sampai lima minit dia terlelap, pintu
biliknya dibuka seseorang. Suara Mama Tifa kedengaran seiring dengan
lampu biliknya di buka.
“Kenapa?”
tanya Nazwan separuh mengantuk. Dia melihat Puan Latifah memegang
handset. Satu keluhan dilepaskan. Pastinya Arissa yang menghubungi
Mama Tifa.
“Kamu
keluar dengan Arissa tadi?” tanya Puan Latifah.
“Tak
de,” jawabnya pendek.
“Fiza,
Nazwan kata dia tak keluar dengan Arissa. Lagipun, saya pasti yang
dia ada kat rumah sepanjang malam ni,” kata Puan Latifah yang
bercakap melalui handset.
Nazwan
mengerut dahi. Jadi, yang telefon itu bukan Arissa.
“Mama
Fiza nak cakap,” ujar Puan Latifah memberikan handsetnya kepada
Nazwan.
Nazwan
teragak-agak ingin menyambut handset itu. Hatinya serba tidak kena.
Tapi, mahu tak mahu dia terpaksa berhadapan dengan Puan Fiza.
“Helo,”
jawabnya.
“Nazwan,
betul kamu tak keluar dengan Arissa malam tadi?” tanya Puan Fiza
yang kedengaran risau.
“Tak.
Kenapa?” tanya Nazwan.
“Dia
tak balik lagi,” jawapan daripada Puan Fiza betul-betul membuatkan
jantungnya berdegup pantas. “Mama Fiza call dia banyak kali tapi
tak dapat. Dia kata nak keluar tengok wayang dengan kamu tapi kalau
kamu tak jumpa dia malam tadi, dia dengan siapa sekarang? Dia tak
pernah keluar sampai lewat pagi tak balik-balik,” suara Puan Fiza
penuh kerisauan.
Nazwan
tidak menjawab tetapi sebaliknya bangun dari katilnya. Dia mencapai
dompet, handset dan kunci keretanya dan bergegas turun ke bawah tanpa
menghiraukan panggilan Puan Latifah yang memanggilnya.
Nazwan
bergegas masuk ke dalam ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan. Tanpa
menunggu enjin panas, dia sudah pun memasukkan gear berundur ke
belakang. Sekali lagi dia tidak menghiraukan Mama Tifa yang
memanggilnya. Dia tidak boleh berfikir panjang. Dalam kepalanya hanya
ada Arissa.
Baru
sahaja keretanya ingin keluar dari pekarangan rumahnya itu, kakinya
menekan brek tiba-tiba apabila terserempak dengan sebuah teksi yang
memandu perlahan sebelum berhenti di sebelah pekarangan rumah Arissa.
Dari
dalam kereta, Nazwan dapat melihat pintu teksi bahagian belakang
dibuka oleh seseorang. Kemudian, dia melihat sepasang kasut tinggi
dicampak ke luar dan akhirnya melihat kelibat Arissa keluar dari
teksi itu dengan berkaki ayam.
Lantas
Nazwan keluar dari keretanya.
“Arissa,”
dia memanggil Arissa apabila melihat Arissa terbongkok di cermin
teksi itu seperti sedang berkata sesuatu pada pemandu teksi itu.
Arissa
berpaling. Terkejut Nazwan dengan penampilan Arissa yang sedikit
berserabai. Make up Arissa juga kelihatan cair dan tidak terurus.
“Nazwan,”
Arissa yang berkaki ayam itu berlari dengan berhati-hati menghampiri
Nazwan. “Boleh tolong pinjamkan aku RM30? Aku nak bayar tambang
teksi.”
Nazwan
tidak cakap banyak. Dia seperti terpukau dan menyerahkan tiga helai
duit merah kepada Arissa. Arissa menyambutnya dengan ucapan terima
kasih dan sekali lagi terjengket-jengket menghampiri teksi yang dia
naiki tadi. Seketika kemudian, teksi itu berlalu pergi.
“Arissa,
kamu pergi mana?” suara Puan Fiza menyapa ketika Arissa mengutip
kasut tinggi yang dicampaknya tadi.
“Ah,
penat,” keluh Arissa separuh merungut. “Nazwan, terima kasih ya
pinjamkan duit tadi. Esok aku bayar!” ucap Arissa sebelum melangkah
masuk ke dalam rumahnya. Meninggalkan Nazwan dengan seribu tanda
tanya.
“Apa
dah berlaku sebenarnya?” tanya Luqman di sebelah.
Nazwan
menggeleng. Dia tidak tahu tapi melihat wajah Arissa tadi, dia tahu
Arissa baru sahaja lepas menangis. Tiba-tiba perasaan serba salah
menerjah sanubarinya.
arissa sila buat jual mahal dgn mamat tu pulak lepas ni..sila ya..