Pesan Hikayat,Yang sempurna itu pasti ada cacat celanya.
“PAK
CIK ni kalau duduk rumah seorang diri, macam tongkang pecah
dibuatnya. Aku baru tinggalkan rumah ni sebulan. Kalau setahun,
agaknya rumah ini dah jadi tempat pelupusan sampah!”
Apy
Elina membebel lagi. Sebenarnya dari semalam lagi dia ingin membebel.
Mana tidaknya, baru sahaja dia masuk ke dalam rumah, dia sudah bersin
banyak kali. Bila bersin sekali dua, tak mengapa lagi. Tapi kalau
lebih sepuluh kali bersin. Itu maknanya ada sesuatu yang tak kena
dengan rumah ini. Habuk!
Habuk
yang kecil pun dia dapat kesan, apatah lagi sampah sarap yang
berselerak di ruang tamu. Itu mesti bekas yang ditinggalkan suaminya
dan kawan-kawan suaminya yang layan bola beberapa minggu yang lalu.
Sampah sisa makanan ditinggalkan begitu sahaja. Baunya juga memang
menusuk hidung!
Namun,
disebabkan kepenatan, dia tutup mata sahaja melihat keadaan rumah
yang berterabur. Buka bilik cucian, baunya Ya Allah, dia hampir
termuntah. Banyak pakaian berlonggok tak terbasuh di dalam. Itu baru
baju, belum lagi pinggan mangguk di singki atau sampah sarap yang
ditinggalkan di ruang tamu. Sekali dia membersihkan rumah, sebanyak
empat beg plastik sampah yang dia dapat kumpul.
Jika
dahulu, dia sering ditegur oleh emaknya kerana asyik menternak habuk
di dalam bilik. Tapi sekarang, dia sudah menjadi anti habuk. Nampak
habuk sikit, sudah mampu buat dia stress. Dan bila sudah tinggalkan
rumah itu selama sebulan, sudah pastilah habuk banyak berkumpul. Adam
memang takkan ada masa untuk mengemas rumah ini. Apatah lagi suaminya
itu sering outstation. Rumah ini umpama hotel dibuatnya.
“Tengok,
apa yang saya kumpul ni. Empat plastik sampah tau!” ujar Apy Elina
sambil menunjukkan empat buah plastik sampah yang berlonggok di tepi
ketika Adam melalui depannya.
Adam
hanya tersengih sambil pandang semua plastik sampah itu. Kemudian dia
berlalu ruang tamu dan buka televisyen tanpa pedulikan isterinya yang
masih lagi membebel. Barulah terasa meriah duduk rumah. Kalau tak,
sebelum ini dia hanya dengar bunyi cengkerik. Bosan!
“Siapa
suruh outstation sampai sebulan tak balik rumah,” balas
Adam.
Puas
hati! Walaupun dia juga yang benarkan isterinya pergi tapi dia tetap
tak nak mengaku kalah.
Dengar
sahaja jawapan suaminya, Apy Elina tak jadi marah. Bibirnya juga laju
saja senyum. Sejuk hatinya. Itu jawapan malu-malu kucing namanya.
Tapi kucing ini, kucing jantan. Kena ada ego dan maco sikit.
Tanpa
berlengah lagi, dia segera mengambil plastik-plastik sampah itu dan
buangnya di tong sampah di belakang rumah. Ketika dia hendak masuk
semula ke dalam rumah, dia terpandang stor kecil yang terletak di
sudut hujung sebelah pintu pagar belakang.
Entah
kenapa hatinya meronta-ronta untuk mengemas stor itu. Tambahan pula
sepanjang dia tinggal di rumah itu, dia tidak pernah masuk ke dalam
stor itu. Dia juga tidak pernah melihat barang-barang di dalamnya.
Pernah juga dia bertanya pada suaminya. Menurut Adam, stor itu
mengandungi barang-barang lama yang tidak berguna lagi.
“Kenapa
tak buang saja?” tanyanya suatu ketika dahulu.
“Malas.
Kalau awak rajin, awak buanglah,” jawab Adam selamba.
Bila
dia dengar jawapan suaminya itu, dia juga sama dijangkiti penyakit
malas. Kalau barang-barang dia tak mengapalah. Boleh dia buang
semuanya tanpa berfikir tapi masalahnya itu barang-barang suaminya.
Menurut Adam, ada juga barang Mellissa.
Oleh
itu, dia tak berani hendak hendak membuangnya. Tapi, kalau tengok tak
apa kot! Manalah tahu ada lagi rahsia suaminya yang dia tak tahu.
Tanpa
berlengah lagi, dia menghampiri pintu stor itu dan pulas tombol pintu
itu. Tak berkunci! Nampak sangat yang barang-barang di dalam stor itu
tak berharga. Pencuri pun mesti akan fikir dua tiga kali untuk curi
barang di dalam ini.
Krekk...
Bunyi
pintu tatkala dibuka. Belum sempat dia hendak memerhati keadaan di
dalam, berlumba-lumba habuk berterbangan keluar sekali gus
membuatkannya bersin beberapa kali. Nampak sangat yang stor itu sudah
lama tidak diusik orang.
Nasib
baik dia ada simpan penutup mulut di dalam poketnya yang digunakannya
ketika membersihkan rumah tadi. Setelah menutup mulut dan hidungnya,
barulah dia masuk ke dalam.
Dia
memandang sekeliling. Di dalamnya penuh dengan kotak-kotak dan
barang-barang lama yang sudah tidak digunakan. Seperti kipas, monitor
komputer yang besar kedabak, kerusi yang hampir dan juga kasut-kasut
lama. Itu mesti kasut Mellissa. Takkanlah Adam hendak pakai kasut
perempuan.
Tanpa
berlengah lagi dia segera mencapai satu kotak dan terus dibuka kotak
itu. Seperti yang Adam kata, kebanyakannya barang-barang lama yang
sudah tidak berfungsi lagi seperti permainan video yang popular suatu
masa dulu, pen, pensil dan barang-barang alat tulis. Mungkin itu alat
tulis zaman sekolah suaminya dulu.
Habis
kotak itu diperiksa, dia mencapai satu lagi kotak. Kotak kali ini
dipenuhi novel-novel Inggeris. Nama Mellissa kelihatan tertulis pada
helaian pertama semua novel itu. Tahulah dia yang semua novel itu
milik Melissa.
Satu
persatu kotak diselongkar. Semuanya barang-barang nostalgia Adam
semasa zaman persekolahan dahulu. Dia jumpa kasut sekolah, baju
sekolah, piala, pingat dan macam-macam lagi. Kotak seterusnya menarik
perhatiannya.
Kotak
yang penuh dengan album gambar. Sambil duduk, dia membelek satu demi
satu album gambar tersebut. Kebanyakannya gambar Adam dan Mellissa.
Tersenyum dia melihat mereka berdua yang begitu rapat.
Ini
baru pertama kali dia melihat wajah suaminya ketika zaman sekolah.
Huh, handsome juga! Patutlah Mellissa pernah kata. Adam memang
ramai peminat semasa di sekolah. Perempuan mana yang tak tertahan
tengok muka baby face dia itu.
Satu
demi satu album gambar dilihatnya. Ada satu album tu, banyak dengan
gambar-gambar pemandangan. Melalui gambar-gambar itu dia sudah tahu,
sama ada Adam atau Mellissa, salah seorangnya pasti gemar menangkap
gambar pemandangan.
Tiba
kedua album terakhir, gambar-gambar dalam itu menarik perhatiannya.
Apa lagi kalau bukan gambar-gambar suasana pertandingan bola
keranjang. Melalui posisi gambar itu, dia tahu Adam pasti duduk di
kerusi penonton untuk menangkap gambar itu. Selak dan selak. Semakin
di selak semakin berkerut dahinya.
“Ini...
masa ni...” dia cuba meneliti gambar yang pudar itu.
Dalam
masa yang sama jantungnya berdegup kencang. Memang tidak salah lagi.
Lelaki dalam gambar itu adalah arwah Daniel!
Ya.
Dia masih ingat lagi. Itulah perlawanan yang paling bersejarah dalam
hidupnya sebelum Daniel mengambil keputusan untuk berhenti bermain
bola keranjang. Itu adalah perlawanan terakhir Daniel!
Tapi,
macam mana pula Alex ada gambar ini?
Apy
Elina selak lagi. Daniel. Daniel dan Daniel! Semua gambar Daniel.
Daniel sedang beraksi. Daniel sedang menjaringkan gol. Daniel sedang
merampas bola. Apa semua ni? Apa hubungan Adam dengan Daniel?
Bermacam-macam
soalan yang timbul di fikirannya sekarang. Dia cuba ingat kembali
saat Adam dan Daniel bertemu buat pertama kali dahulu. Mereka berdua
memang tidak sebulu. Adam baran seperti biasa dan Daniel pula cool
sahaja. Langsung tidak menunjukkan mereka pernah berjumpa sebelum
ini.
“Ah,
tak guna meneka lagi. Lebih baik tanya pak cik tu!” ujar Apy Elina
sudah berserabut memikirkan hal itu. Baru dia hendak bangun tiba-tiba
matanya terpandang album gambar terakhir dalam kotak itu.
Hatinya
meronta-ronta suruh membuka album gambar itu. Tanpa berlengah lagi
dia segera mengambilnya. Dengan jantung yang berdebar-debar, dia
membuka album gambar tersebut.
“Apa
semua ni?” Sekali lagi Apy Elina terkejut besar apabila melihat
gambar-gambarnya ketika remaja memenuhi album gambar itu.
“MANA
dapat ni?” tanya Adam sambil berkerut-kerut dahinya melihat satu
demi satu gambar dalam album itu. Dia langsung tak tahu menahu
tentang album gambar itu.
“Dalam
stor awaklah. Dalam tu semuanya barang-barang lama awak, bukan,”
jawab Apy Elina. Dia yang inginkan jawapan, dia pula disoal oleh
suaminya. Macam dia yang meletakkan barang-barang itu di dalam stor
pula.
Adam
mengangkat bahu. Pada mulanya dia nampak terkejut dengan
gambar-gambar itu tapi sekarang dia nampak tak endah. Macam tak ada
apa yang pelik dengan penemuan gambar itu.
“Macam
mana awak ada gambar-gambar arwah Daniel dan saya masa remaja? Serius
ke awak tak kenal saya dan Daniel awal-awal lagi?” tanya Apy Elina
tak sanggup nak tunggu lagi. Dia mahukan penjelasan segera.
“Entah,”
jawab Adam sepatah.
“Entah?
Awak boleh jawab entah?” balas Apy Elina dengan gaya suaminya yang
acuh tak acuh.
“Habis
tu? Kalau tak tahu nak kata apa lagi?”
Serentak
dengan itu, Apy Elina menepuk dahi. Itu bukan jawapan yang dia
inginkan.
“Awak
tahu tak saya tengah seram sekarang ni?” tanya Apy Elina.
“Tak
tahu,” selagi lagi suaminya balas acuh tak acuh.
Apy
Elina mengeluh panjang.
“Seram
sangat ke?” tanya Adam.
“Mestilah
seram bila tengok gambar-gambar saya ditangkap curi macam ni.
Sudahlah masa tu kita belum berkenalan lagi. Awak bukan tangkap
gambar saya tapi gambar Daniel juga. Saya tak rasa ini semuanya
kebetulan.”
“Kalau
bukan kebetulan, maknanya suratanlah tu.”
Sekali
lagi Apy Elina menepuk dahi. Payah betul bercakap dengan suaminya
yang kurang perasaan ini. Ini perkara serius tapi boleh pula dia buat
tak endah.
“Jangan-jangan
awak ni... Pervert?”
“Mak
cik, boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan?”
“Mestilah
saya fikir yang bukan-bukan. Waktu ni, saya masih bersekolah lagi.
Kita juga belum berkenalan lagi. Tapi, awak ada gambar-gambar saya!
Ini bermakna... awak ni memang ada hati pada saya sejak awal-awal
lagi, bukan? Jadi, selama ni awak hanya berpura-pura saja, bukan?
Wah, hebat betul awak berlakon,” kata Apy Elina yang tiba-tiba rasa
teruja pula.
“Jangan
nak mengarut,” balas Adam menafikannya.
“Kalau
macam tu, boleh tak jelaskan kenapa awak ada gambar saya waktu zaman
remaja? Dan gambar Daniel? Ah, saya akan rasa gembira kalau awak ada
gambar saya padahal waktu tu kita belum bertemu lagi tapi kenapa
mesti ada gambar Daniel?” tanya Apy Elina sedikit kecewa.
“Mak
cik...”
“Patutlah
awak tak puas hati bila berjumpa dengan Daniel masa saya nak kenalkan
awak berdua. Rupanya awak cemburu sebab Daniel rapat dengan saya,”
ujar Apy Elina sinis. Tersengih-sengih seolah-olah sedang mengejak
suaminya.
“Boleh
tak jangan perasan sangat?” Adam menjeling tajam.
“Habis
tu? Terangkan pada saya yang sebetulnya! Macam mana awak ada gambar
kami berdua? Bukan satu gambar tau tapi penuh satu album!” kata Apy
Elina masih tidak puas hati.
“Barang
dalam stor tu bukan barang abang saja tapi barang Kak Melissa juga.
Boleh jadi dia yang tangkap semua ni. Dia tu peminat tegar bola
keranjang sampai paksa abang masuk pasukan bola keranjang,” jawab
Adam tenang.
Apy
Elina terdiam. Otaknya ligat memproses maklumat. Memang benar apa
yang Adam katakan tadi. Mellissa memang peminat tegar sukan bola
keranjang. Malah, mereka sering kali menghabiskan masa bersama
menonton perlawanan bola keranjang. Boleh jadi semua album gambar ini
milik Mellissa. Namun, yang dia tidak fahamnya, kenapa Mellissa tidak
pernah beritahu tentang hal ini?
“Kalau
milik Mellissa, mungkin saya boleh terima yang dia peminat Daniel
tapi kenapa ada gambar saya pula? Saya tak rasa kakak awak tu
lesbian,” Apy Elina masih mempertahankan pendapatnya. Dia yakin,
pasti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Adam.
“Mak
cik tu memang suka tangkap gambar benda yang bukan-bukan. Jadi, tak
ada peliknya,” jawab Adam lagi.
“Saya
bukan benda yang bukan-bukan. Cuba awak tengok. Satu album gambar
tau! Bukannya sekeping dua. Kalau sekeping dua tu bolehlah saya
terima lagi,” balas Apy Elina masih lagi tidak puas hati.
“Tak
payahlah fikir lagi. Buang masa saja fikir hal lama,” jawab Adam
sambil bangun dengan mengambil kedua-dua album gambar itu.
“Hei,
awak nak bawak album tu pergi mana?” Apy Elina segera menahannya.
“Buang.”
“Awak
dah gila ke?” pantas Apy Elina mengambil kedua-dua album gambar itu
semula dari tangan suaminya. “Sanggup awak nak buang gambar-gambar
saya dan Daniel?”
“Habis
tu, nak buat apa?”
“Simpanlah.
Bukan senang saya nak tengok gambar-gambar yang ditangkap curi oleh
awak walaupun awak tak mengaku,” jawab Apy Elina geram.
Sakit
hati juga melayan suaminya yang langsung tidak ambil kisah dengan
hal-hal begini. Tapi tak mengapalah. Kalau suaminya yang tangkap curi
pun, tak jadi masalah sekarang sebab sudah jadi suaminya. Cuma yang
tak faham, Mellissa kenal Daniel? Ah, itu boleh ditanya Mellissa
nanti.
“Mmm...
rupa-rupanya saya ni ada daya penarik juga ya,” ujar Apy Elina
tersengih-sengih sambil melihat gambar-gambarnya sendiri.
Adam
di sebelah hanya menggeleng. Mak cik itu sudah mula gedik dengan diri
sendiri. Malas dia hendak melayan. Tapi... dia juga tak tahu dari
mana album-album gambar itu muncul. Mustahil isterinya ingin
mengenakannya. Mustahil juga miliknya kerana dia tak pernah lihat pun
gambar-gambar itu sebelum ini.
Milik
Kak Mellissa? Boleh jadi juga. Kalau begitu, Kak Mellissa kenal
isterinya? Dan Daniel pula?
Adam
mengeluh. Makin difikir makin sakit kepalanya.
“Kenapa?”
tanya Apy Elina yang perasan suaminya mengeluh.
Adam
memandang isterinya dengan tajam. Apy Elina yang duduk di sebelah
jadi tak senang duduk dengan tenungan suaminya itu. Terasa macam dia
ada buat salah pula. Rasanya dia belum lagi pijak periuk api.
“Kenapa
awak pandang macam tu?” tanya Apy Elina takut-takut.
“Jangan
bergerak,” kata Adam.
Apy
Elina bagaikan terpukau. Dia jadi kaku tiba-tiba. Tanpa berlengah
lagi, Adam mengambil album gambar dari tangannya dan diletakkan di
atas meja. Apy Elina hanya memerhatikan dengan jantung
berdebar-debar.
“Ah,
penatnya!” keluh Adam sambil berbaring dengan berbantalkan peha
isterinya.
Apy
mengeluh panjang. Ingatkan apalah tadi. Sia-sia sahaja jantungnya
berdegup kencang. Rupa-rupanya ada orang hendak bermanja. Okey, dia
bagi peluang. Maklumlah sebulan tak jumpa. Inilah masanya untuk
lepaskan rindu yang tertunda.
“JADI,
apa yang kau beritahu dia pasal gambar-gambar tu?” tanya Izwan yang
meluangkan masa bermain bola keranjang bersama-sama Adam di
gelanggang tidak jauh dari kawasan perumahan mereka.
“Nak
beritahu apa lagi. Aku memang tak tahu apa-apa,” jawab Adam yang
sudah terduduk kepenatan di tepi gelanggang.
Lebih
satu jam dia bermain tanpa rehat melepaskan segala masalah yang
melandanya sejak siang tadi. Nasib baiklah rakan baiknya tidak ke
mana-mana hari ini. Ada juga kawan untuknya melepaskan tekanan.
“Serius?
Kau tak ingat langsung?” tanya Izwan lagi.
Adam
melepaskan keluhan panjang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak
menjawab soalan itu. Sama ada dia tidak ingat ataupun memang dia
tiada langsung ingatan itu. Nasib baiklah isterinya tidak bertanya
dengan lebih lanjut tentang gambar-gambar itu. Dapatlah dia bernafas
sedikit. Namun, sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.
“Dulu,
kau pernah kata, sebahagian daripada memori kau hilang. Boleh jadi
itu sebahagian daripadanya,” kata Izwan.
“Mungkin,”
jawab Adam tak menafikannya.
Dia
juga ada terfikir begitu. Kalau itu adalah memorinya yang hilang
dahulu, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan.
“Apa
pun, nasib baik gambar dia, kalau gambar perempuan lain… aku tak
dapat bayangkan apa yang mak cik tu akan fikir nanti,” tambah Adam
sedikit lega.
“Kau
tak nak tahu pasal memori kau yang hilang tu?” tanya Izwan lagi.
Adam
menggeleng.
“Kenapa?
Kau takut?”
Takut?
Tiada perkataan takut dalam kamus hidupnya. Cuma, dia belum bersedia
lagi. Lagipun masa depan lebih penting daripada masa lampau.
“Aku
fikir, ada sebab memori tu hilang. Jadi, tak ada sebab kenapa aku nak
cari balik. Lagipun, aku fikir lebih baik aku tumpukan masa sekarang
daripada memikirkan hal masa lampau yang belum tentu buat aku
gembira,” jawabnya.
“Mana
kau tahu, tak gembira?” tanya Izwan lagi.
“Apa
yang menggembirakan bila terpaksa jadi Adam Alexander?” tanya Adam
kembali.
Izwan
mengangguk faham. Faham benar soalan Adam tadi. Dia tahu sepanjang
Adam hidup dengan identiti Adam Alexander, kawannya itu memang tak
pernah gembira. Namun, segalanya berubah apabila berjumpa dengan Apy
Elina, bekas jurulatih mereka. Tak sangka pula Adam betul-betul
berani melamar bekas jurulatih mereka itu.
“Boleh
aku tanya sesuatu?” tanya Izwan tiba-tiba.
“Kau
memang dah tanya soalan,” balas Adam.
Izwann
tersengih.
“Kenapa?”
“Kau
dengan cikgu... macam mana boleh berlaku?” tanya Izwan.
Sudah
lama dia ingin bertanya tentang hal ini. Kalau diikutkan dia memang
perasan Adam melayan bekas jurulatihnya berbeza berbanding jurulatih
lain atau perempuan lain. Tapi, dia tak pernah pula dengar apa-apa
luahan Adam terhadap jurulatihnya itu.
“Berlaku
apa?” tanya Adam tak faham.
“Maksud
aku, macam mana kau boleh ambil keputusan nak kahwin dengan cikgu?”
soal Izwan.
“Kenapa?
Pelik sangat ke?” tanya Adam kembali. Dia tahu, ramai kawannya
masih terkejut lagi dengan keputusannya itu.
“Aku
cuma nak tahu macam mana kau yakin dengan keputusan kau?”
“Aku
memang sentiasa yakin dengan keputusan aku,” kata Adam tenang
memuji diri. Mestilah dia perlu yakin. Kalau tiada semangat itu,
macam-macam boleh terjadi dalam rumah tangganya.
Izwan
mengangguk faham walaupun itu bukan jawapan yang dia inginkan.
Kadang-kadang dia ingin jadi seperti Adam yang berani membuat
keputusan.
“Kau
dengan Kak Mellissa, macam mana?” tanya Adam tiba-tiba.
Izwan
mengeluh.
“Kami
tak ada apa-apa hubungan,” jawabnya.
“Cari
perempuan lain sajalah,” balas Adam.
“Hah?”
terkejut Izwan mendengarnya.
“Aku
cakap, cari perempuan lain. Anggap saja kakak aku tu tak sesuai
dengan kau. Dia pun lebih tua daripada kau,” tambah Adam lagi.
“Memang
dia lebih tua daripada aku tapi dia pernah kata, dia nak lelaki yang
lebih muda daripada aku, Adam. Ada sebab kenapa dia kata macam tu
tapi bila aku lamar, dia tolak pula. Aku sendiri tak tahu apa
masalahnya,” keluh Izwan yang sedang buntu.
“Itu
masalah dia. Jangan jadikan masalah dia sebagai masalah kau. Aku
kenal Kak Mellissa tu. Kalau dia nak. Dia nak! Kalau dia kata tak
nak. Dia nak! Takkan kau masih tak faham, dia tengah main psikologi
dengan kau.”
“So,
apa yang perlu aku buat?”
“Terima
cabaran dia. Cari perempuan lain...”
“Semudah
tu?”
“Yup.
Semudah tu.”
“Kalau
dia tak percaya?”
“Sekali
lagi aku kata, aku kenal Kak Mellissa,” kata Adam dengan penuh
yakin. “Cuma... kalau kau mara, kau tak boleh berpatah balik. Kau
faham tak maksud aku?”
Izwan
mengangguk faham. Sudah banyak kali Adam berpesan hal itu kepadanya.
Dia memang sedia maklum dengan keluarga Alexander yang banyak musuh.
Sesiapa yang rapat dengan keluarga itu, pasti akan kena tempiasnya.
Silap hari bulan nyawa pun boleh melayang. Tapi semakin hari, semakin
dia tak peduli lagi dengan semua itu.
“Ada
kemungkinan dia tak berani terima sebab dia takut musuh-musuh
keluarga kau akan apa-apakan aku?” soal Izwan.
“Mungkin
juga...” jawab Adam. Dalam masa yang sama telefon bimbitnya
berbunyi. Tanpa berlengah lagi dia segera membaca mesej yang
diterimanya.
Pak
cik, nak tidur kat luar ke malam ni? - Apy
Dia
segera tengok jam di handsetnya. Lagi lima minit hendak dekat pukul
1.00 pagi. Patutlah orang di rumah bagi mesej. Rupa-rupanya sudah
awal pagi. Dia sendiri tak sedar sudah lama dia keluar bermain bola
keranjang dengan Izwan. Itu baru Izwan seorang, belum lagi bertemu
dengan kawan-kawan satu kepala dengannya.
“Mak
cik tu dah panggil balik,” ujar Adam terpaksa minta diri untuk
pulang.
“Kau
balik dulu, aku nak main lagi,” ujar Izwan.
“Okey,”
Adam segera mencapai begnya. Baru beberapa tapak dia berjalan,
langkahnya terhenti tiba-tiba dan berpaling memandang Izwan.
“Kenapa?”
tanya rakannya itu.
“Honestly,
aku pun tak tahu kenapa aku berani buat keputusan untuk berkahwin
dengan dia. Aku cuma nak apa yang aku nak. Aku nak dia dan aku tak
nak dia jadi isteri orang lain. Itu saja,” ujar Adam dengan penuh
yakin dan jujur.
Izwan
tersenyum. Ini kali pertama dia dengar luahan jujur rakannya itu.
Adam yang dikenali sebelum ini, hatinya keras macam batu. Sering
dianggap tak ada perasaan. Masing-masing ingat Adam akan jadi orang
terakhir yang akan berkahwin tapi rupa-rupanya dialah orang pertama
yang mencemarkan duli tamatkan zaman bujang. Dan lebih mengejutkan
lagi, perempuan yang bertuah itu ialah jurulatih mereka.
“Aku
terfikir... nak ikut saja cadangan kau,” kata Izwan.
“Kau
patut ikut dan jangan berputus asa,” tambah Adam lagi dan segera
berlalu dari situ.
apa yg blaku pd memori pama adam..