Semuanya bermula apabila dia jatuh cinta dengan Nazwan.
Dia masih ingat lagi, waktu pertama kali melihat Nazwan. Jantungnya
berdegup kencang, kakinya seakan dipaku dan matanya langsung tidak
berkelip memandang Nazwan. Pada saat itu, dia tahu, dia sudah jatuh
cinta dan itulah cinta pertamanya.
Selama bertahun-tahun dia memendam rasa cinta. Dulu dia
seorang yang penakut dan pemalu. Tambah lagi bila berhadapan dengan
Nazwan. Jantungnya tak usah cakaplah, asyik berdegup sampai hendak
tercabut jantungnya. Lidahnya pula akan jadi kelu tiap kali hendak
menutur kata-kata. Oleh itu, dia memendam rasa dan hanya melihat
Nazwan dari jauh.
Namun, kedatangan Arissa di sekolah itu mengubah
segalanya. Dunianya menjadi tunggang terbalik dan boleh dikatakan
setiap hari dia terpaksa menahan cemburu di hati apabila melihat
Arissa berbual-bual dengan Nazwan. Siasat punya siasat, dia dapat
tahu Arissa adalah jiran Nazwan. Tapi itu tidak mampu membuatkan dia
boleh menghela nafas lega sepenuhnya.
Perempuan dengan lelaki tidak boleh berkawan. Lagi lama
mereka berkawan, salah seorang pasti akan jatuh. Dan dia tidak mahu
perkara itu berlaku. Tambah lagi, ada desas desus mengatakan Arissa
seorang playgirl. Tidak sampai sebulan dia masuk di sekolah itu, dia
sudah keluar dengan beberapa orang pelajar lelaki. Hal ini lagi
membuatkan Sarah tidak senang duduk. Dia perlu lakukan sesuatu
sebelum Nazwan jadi milik Arissa.
Lalu dia terfikir satu rancangan. Dia perlu hapuskan
sifat pemalunya dan berkawan dengan Nazwan. Memandangkan Nazwan
seorang yang susah diajak bersosial, jadi dia perlukan seseorang yang
dapat dijadikan jambatan untuk dia berhubung dengan Nazwan. Target
utamanya adalah Luqman, sepupu Nazwan.
Luqman terkenal dengan panggilan budak skema di sekolah.
Hal ini kerana penampilan Luqman memang skema. Tak perlu diterangkan
secara terperinci penampilannya. Tengok sahaja sudah tahu dia memang
skema tapi sebenarnya ramai orang tertipu dengan skemanya. Tapi itu
bukan point penting. Selama dia memerhatikan Nazwan dari jauh, dia
sangat pasti yang Nazwan hanya aktif apabila Luqman berada di
sebelah. Jadi, mungkin dia boleh gunakan Luqman untuk mendekati
Nazwan.
Malangnya, rancangan itu tidak berjaya apabila dia gagal
mendekati Luqman. Sebaik sahaja dia hendak menutur kata, Luqman pula
yang lari lintang pukang. Seolah-olah baru sahaja terjumpa dengan
hantu. Bila pelan A sudah gagal, dia perlukan pelan B. Setelah puas
berfikir, dia tahu tiada cara lain lagi untuk mendekati Nazwan.
Luqman sudah keluar dari senarai. Yang ada hanyalah Arissa.
Dia tiada pilihan lain. Mahu atau tidak, dia terpaksa
berkawan dengan Arissa. Tapi, baru sahaja dia menyapa Arissa, satu
soalan maut diterimanya.
"Kau adalah perempuan yang ke-220 yang tegur aku
hari ini," ujar Arissa.
"Err... aku ada buat salah ke?" tanya Sarah
takut-takut.
"Kau tegur aku bukan sebab Nazwan, bukan?"
tanya Arissa.
"Nazwan? Siapa?" tanya Sarah kembali sambil
cuba menenangkan diri.
"Kau tak kenal siapa Nazwan?" tanya Arissa.
Lambat-lambat Sarah mengangkat bahu. Dia perlu
bertenang. Arissa adalah harapan terakhirnya. Kalau Arissa tahu apa
yang dirancangnya, mungkin dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal
kepada cinta pertamanya.
"Ah, abaikan. Baru-baru ni aku agak terganggu
dengan pelajar-pelajar perempuan yang nak sangat jadi kawan aku
dengan harapan dia orang dapat mendekati Nazwan!" keluh Arissa.
"Wow... 220 orang...," terkejut dia dengan
angka itu.
Setahunya Nazwan bukanlah seorang pelajar popular.
Selama ini pun dia tidak pernah juga mendengar ada orang cuba
mendekati Nazwan tapi bila mendengar angka itu, dia terkejut. Lagi
terkejut apabila kebanyakan mereka menggunakan teknik yang sama
seperti yang dia fikir.
"Aku tipu. Sebenarnya 22 orang. Sengaja tambah 0 di
belakang supaya nampak bombastik. Dan kau adalah yang ke 23... itupun
kalau kau pun salah seorang daripada mereka."
"Tak," pantas dia menafikannya.
"Habis tu, kenapa kau tegur aku?" tanya
Arissa.
"Err... sebab... Harry Potter!" idea itu
datang sebaik sahaja dia melihat buku yang Arissa pegang sekarang.
"Harry Potter? Buku ni?" tanya Arissa.
"Yup. Minggu lepas aku pergi library nak pinjam
buku ni tapi pengawas library kata kau dah pinjam dulu. Dari bulan
lepas lagi aku nak pinjam tapi buku tu memang sentiasa tak ada di
library. Jadi, sebab itulah aku nak pastikan sama ada kau dah baca
habis ke dan bila kau boleh pulangkan ke library supaya aku boleh
pinjam," terang Sarah. Nasib baik dia ada alasan yang logik.
"Kau peminat Harry Potter?"
"Selepas aku tengok filem tu, jadi aku nak baca
buku dia."
"Kenapa tak cakap awal-awal?" Gembira Arissa
dibuatnya. "Okey, mulai sekarang, kau boleh jadi kawan aku tapi
dengan syarat kau kena ceritakan apa yang kau tahu pasal Harry
Potter."
"Kau tak baca lagi?"
"Hanya satu atau dua muka surat sebelum aku
tertidur."
"Habis tu kenapa kau pinjam buku tu?"
"Ah, semua sebab Luqman yang paksa aku baca buku tu
sebab dia kata aku macam Voldermort."
Sejak itu dia menjadi kawan Arissa. Dia sangka dengan
berkawan dengan Arissa, dia boleh berjumpa atau berkenalan dengan
Nazwan dengan lebih dekat lagi tapi semua itu tidak semudah yang
disangka. Nazwan bukan seorang yang suka bersosial lebih-lebih lagi
kalau orang itu baru dikenalinya.
Keadaan lagi bertambah teruk apabila Arissa beritahu
yang Luqman sukakannya. Pada waktu itu dia buntu. Tidak tahu apa yang
perlu dibuat dan dalam keadaan terdesak atau cuba menyembunyikan
perasaan sebenar, dia turut mengakui sukakan Luqman. Dan hubungan itu
bermula tanpa kemahuannya. Tambah lagi Luqman memang benar-benar
jatuh cinta terhadapnya.
Ini memang satu bencana baginya. Nasibnya bertambah
malang apabila Nazwan berkenalan dengan Natasya. Itupun selepas
Arissa memperkenalkan Natasya pada Nazwan. Kurang beberapa bulan
kemudian, dia dapat tahu mereka menjalinkan hubungan. Rasa cemburu
memang berbuak-buak pada ketika itu. Lain yang dikejar, lain yang
dapat. Disebabkan itu jugalah dia menyimpan perasaan dendam terhadap
Arissa.
Walau bagaimanapun dia tidak menyerah kalah begitu
sahaja. Kali ini dia telah mengatur rancangan yang lebih teliti. Dia
sudah gagal sekali dan dia tidak mahu gagal lagi. Pada masa itu,
tiada langsung perasaan simpati atau kasihan. Hanya yang ada adalah
dendam dan keinginan hendak memiliki Nazwan.
Demi memiliki Nazwan, dia perlu tumbangkan Natasya.
Walaupun dia berdendam dengan Arissa, tapi dia perlu tumpukan pada
Natasya terlebih dahulu kerana dia tahu Natasya memang senang
ditumbangkan. Tambah lagi dia tahu kelemahan Natasya. Jadi, senang
sahaja dia mengatur rancangan untuk buat Natasya kelihatan teruk di
mata Nazwan.
Natasya seorang yang lemah semangat dan kadangkala
kurang keyakinan. Jadi, dia memberitahu bermacam-macam cerita tentang
keluarga Nazwan kepada Natasya. Tujuannya satu. Dia hendak Natasya
berasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk berhadapan dengan
keluarga Nazwan. Rancangannya 100 peratus berjaya tapi hanya sekejap.
Bila Luqman menyuruh dia membantu Natasya dengan bawa
Natasya ke rumah untuk perkenalkan Natasya kepada keluarga Nazwan,
dia tiada pilihan lain. Dia tidak dapat fikirkan alasan yang bagus.
Tapi dia berharap nenek akan memperkecilkan Natasya sehingga Natasya
tidak berani hendak teruskan hubungan itu lagi. Malang lagi buatnya
apabila nenek terima Natasya dengan seadanya.
Ketika itu dia rasa harapannya hampir hancur. Dia perlu
buat sesuatu untuk pisahkan mereka berdua. Pada masa terdesak itu,
dia hanya terfikir satu rancangan. Gunakan gambar bogel palsu
Natasya! Dia juga terfikir hendak lagakan Natasya dengan Arissa.
Jadi, dia sengaja guna telefon bimbit Arissa untuk hantar gambar itu
kepada Natasya dan Nazwan.
Dia tidak sangka, rancangan terakhirnya itu membawa
kepada kematian Natasya. Pada ketika itu barulah dia sedar, dia sudah
mengambil satu nyawa hanya kerana taksub kepada cinta. Dia tidak
mendendami Natasya. Dia cuma inginkan Nazwan. Tapi tanpa sedar, dia
sudah mengorbankan nyawa seorang kawan. Dia betul-betul menyesal.
Tapi malangnya, semuanya sudah terlambat.
"Masih belum terlambat lagi," kata-kata Nazwan
itu masih lagi tersimpan semat di kotak ingatannya.
Selepas kematian Natasya, dia mengaku semua itu berpunca
daripadanya walau pada hakikatnya Natasya meninggal dunia kerana
sejak nafas. Tapi disebabkan rasa bersalah terhadap apa yang berlaku
sepanjang Natasya hidup, dia mengakuinya. Ini semua disebabkan dia.
Dia tidak dapat lupakan muka Luqman ketika dia mengaku
apa yang dia telah rancangkan selama ini. Memang dia bersalah teramat
sangat. Luqman begitu baik terhadapnya. Apabila dia beritahu
semuanya, dia nampak kekesalan pada muka Luqman. Pada ketika itu, dia
sudah buat perjanjian dengan dirinya sendiri. Kalau Luqman sedia
maafkannya, dia tidak akan sia-siakan Luqman selamanya!
Dia bernasib baik. Luqman sedia maafkannya walaupun
mengambil masa yang lama. Nazwan pula... dia sendiri terkejut.
Selepas dia mengaku, pantas sahaja Nazwan memaafkannya. Rupa-rupanya
Nazwan awal-awal lagi sudah tahu kerja kotornya. Nazwan juga percaya
bukan Arissa yang hantar gambar itu kepadanya.
"Aku kenal siapa Arissa," Itu satu alasannya.
Sejak itu, perkara ini dianggap selesai begitu sahaja.
Malah, mereka juga buat keputusan untuk tidak mengungkit hal itu
lagi. Tapi, baginya, rasa bersalah tetap ada. Sejak itu, dia akan
pastikan Nazwan mendapat seseorang yang setanding dengan Natasya.
Disebabkan itu jugalah dia membantah keras apabila Arissa tiba-tiba
buat keputusan hendak memikat Nazwan.
Disangkanya dia telah membuat satu keputusan yang tepat
tapi sekali lagi dia silap. Tidak sangka, sekali lagi peristiwa hitam
yang sama berlaku. Kali ini, papa Arissa pula meninggal dunia. Dia
memang patut dipersalahkan.
***
Melati menghampiri Arissa yang dilihat asyik duduk
merenung kolam air yang dipenuhi ikan berwarna merah itu. Sejak kali
pertama Arissa jejak kaki ke resortnya minggu lepas, dia hanya mampu
memerhatikan tindak tanduk rakannya itu dari jauh. Hendak bertegur,
awal-awal lagi Arissa sudah beritahu bahawa dia tidak mahu gangguan
daripada sesiapa pun. Jadi, dia hanya mampu melihat rakannya itu.
Pernah sekali dia menegur Arissa, tangisan tanpa henti
pula diterimanya. Sejak itu, dia tidak berani tegur Arissa. Niat
dihati hendak memberikan sedikit kekuatan kepada Arissa yang sedang
menghadapi saat-saat yang menyukarkan. Tatkala ditinggalkan tunang,
papa dia pula meninggal dunia. Dia dapat rasa kesedihan yang dialami
oleh Arissa pada ketika ini. Tapi, Arissa memang tabah dan kuat
hadapi semua ini seorang diri.
"Daripada kau duduk termenung macam tu, lebih baik
kau bagi ikan-ikan tu makan," sapa Melati sambil menghulurkan
sebuah bekas yang menyimpan makanan ikan kepada Arissa.
Arissa menyambutnya tanpa banyak tanya. Ditabur makanan
ikan itu di dalam kolam. Serentak itu, menggelupur ikan-ikan itu
berebut mendapatkan makan.
"Wah, berapa tahun kau tak bagi ikan-ikan ni
makan?" tanya Arissa seraya menaburkan lagi makanan ikan ke
dalam kolam.
"Hari-hari aku bagi. Kau je yang tak tahu,"
balas Melati selamba.
"Tapi kenapa ikan-ikan ni kelaparan semacam?"
"Sebab ikan-ikan ni mudah lapar kalau tengok muka
orang yang sama je tenung dia orang. Sudahlah asyik-asyik duduk
termenung, lepas tu langsung tak pedulikan dia orang dah makan ke
belum. Itu yang buat ikan-ikan ni lagi lapar," ujar Melati
selamba.
"Mana ada aku termenung," nafi Arissa.
"Habis tu, kau duduk sini buat apa? Nak tengok
macam mana ikan mengawan ke?"
Arissa mengeluh. Sebenarnya dia rasa serba salah sebab
sudah membuatkan Melati risau akannya. Hajatnya bercuti di resort
Melati bukanlah bertujuan hendak melarikan diri daripada apa yang
sudah berlaku tetapi untuk memberikan ruang untuk dirinya berehat.
Tapi, tanpa sedar dia sudah buat Melati risau. Bukan sahaja Melati
tetapi orang-orang di sekelilingnya juga. Bukan dia tidak tahu, Mama
Fiza sentiasa bertanyakan Melati akan khabarnya.
"Melati, kau rasa aku ni menyusahkan ke?"
tanya Arissa.
"Mmm... memang menyusahkan," balas Melati
selamba.
"Hah?" terkejut Arissa mendengarnya.
"Kau harap aku kata apa? Kau tak menyusahkan?"
balas Melati lagi.
Arissa menarik muncung tajam. Kalau bercakap dengan
Melati, pastinya dia akan kalah. Rakannya itu memang suka cakap
lepas. Kalau dengan orang lain dia boleh bermanja-manja lagi tapi
dengan Melati, jangan haraplah. Sekali dia balas memang pedas sepedas
sambal belacan!
"Kau ni, tolonglah kasihan dengan aku ni,"
ujar Arissa menagih simpati.
"Cuba ingat balik kali terakhir aku cuba pujuk
kau... apa kau buat? Kau melalak sampai semua orang di resort aku ni
tak boleh tidur malam," balas Melati.
Sekali lagi Arissa menarik muncung.
"Jadi, kau nak halau akulah?" tanya Arissa
masih lagi menagih simpati.
"Jangan risau, aku takkan halau kau," ujar
Melati.
"Betul?" senyuman gembira Arissa mula
kelihatan.
"Tapi aku akan buat kau macam orang gaji sampai kau
kembali ke pangkal jalan."
"Eee...," rungut Arissa tidak puas hati.
"Baliklah Arissa. Kau tahukan semua orang risaukan
kau?"
Perlahan-lahan Arissa mengangguk.
"Habis tu, apa kau tunggu lagi? Bukan ke kau pernah
kata dulu, kau tak suka orang risaukan kau?"
"Memanglah tapi aku tak tahu macam mana nak ucapkan
selamat tinggal," jawab Arissa.
"Ucapkan selamat tinggal? Untuk siapa? Kau nak
pergi mana?" bertubi-tubi Melati bertanya.
"Aku tak pergi mana-mana. Aku cuma nak ucapkan
selamat tinggal pada Nazwan."
Melati mengerut dahi. Parah. Ini memang parah. Dia amat
pasti Nazwan pergi ke UK, bukannya ada di resort dia. Kenapa pula
Arissa hendak ucapkan selamat tinggal pada Nazwan di sini. Lainlah
kalau Nazwan sudah tiada lagi di dunia ini. Itu mungkin dia boleh
terima. Tapi, Nazwan masih hidup lagi. Mungkin sedang bergembira di
luar sana.
"Kau demam ke?" tanya Melati seraya meletakkan
tangan di dahi Arissa.
Normal.
"Aku sihatlah dan aku tak gila lagi. Aku memang nak
ucapkan selamat tinggal pada Nazwan. Memandangkan aku sendiri tak
dapat hubungi dia dan tak dapat pergi ke UK sekarang, jadi aku fikir
ini adalah tempat yang sesuai."
"Kenapa?" tanya Melati mula rasa semacam.
"Sebab aku jatuh cinta dengan dia di sini, jadi aku
nak pulangkan cinta dia di sini," terang Arissa.
"Fuh, aku hampir-hampir ingat yang resort aku ni
tempat mistik sampai boleh ucapkan selamat tinggal dengan orang duduk
di negara lain," keluh Melati menghela nafas lega. "Tapi,
dengan semudah tu?"
Arissa mengangguk.
"Kau pasti, kau tak apa-apa?"
"Jangan risau. Dalam seminggu aku dekat sini aku
dah puas menangis dan berfikir. Aku dah fikir masak-masak, aku nak
lepaskan Nazwan dan cari cinta lain. Lagipun bukan dia seorang saja
lelaki yang ada dalam dunia ni. Mungkin dengan cara lepaskan dia aku
dapat cari lelaki yang betul-betul hargai aku," ujar Arissa
selamba. Langsung tiada sedikit pun perasaan sedih.
"Kenapa?" tanya Melati tidak faham.
Kalau orang lain memang payah hendak terima kenyataan
tetapi Arissa boleh buatnya dalam masa kurang sebulan. Kadangkala dia
tertanya juga, adakah Arissa betul-betul cintakan Nazwan atau hanya
main-main.
"Sebab aku tak nak membazir masa dengan menunggu
sesuatu yang tak pasti."
"Buatlah apa yang kau rasa nak buat," ujar
Melati yang tidak mahu masuk campur dengan masalah hati dan perasaan
Arissa. Kalau dipaksa tidak guna juga. Kadangkala Arissa memang
nampak kebudak-budakkan tapi pada dasarnya, rakannya itu memang
matang dalam membuat keputusan.
"Cuma... aku tak pasti tentang sesuatu..."
"Tentang apa?"
"Macam mana ikan mengawan?" tanya Arissa
dengan serius.
"Nanti, kau tanyalah soalan tu pada bakal suami kau
ye," ujar Melati malas hendak melayan.
***
"Ah, bosannya," keluh Arissa yang sudah tidak
tahu hendak buat apa lagi. Dia menjeling jam di tangannya. Ada
beberapa minit sebelum pukul 12.00 tengah hari. Tidak sampai setengah
hari dia sudah bosan. Lalu dia mencapai longgokan novel yang
dibelinya minggu lepas. Ada 20 novel di situ tapi kebanyakan novel
itu sudah habis dibacanya. Malah ada yang dibacanya berulang kali.
Kali ini dia sudah tidak tahu hendak membaca apa lagi.
Lantas dia berlalu ke meja tulis yang menjadi tempat dia menghabiskan
masa menonton video di Youtube. Itulah rutin hariannya di dalam
bilik. Kalau tak membaca novel, mesti akan melayari Internet.
Hari ini dia tergerak hati membuka Facebook. Sudah lama
rasanya dia tidak membuka Facebook memandangkan dia pasti akan
teringatkan papanya. Zaman sekarang kalau hendak ucapkan takziah
mesti melalui Facebook. Sangat menjengkelkan!
Seperti yang dijangka memang banyak ucapan takziah yang
diterima. Kebanyakannya daripada kawan-kawan sekolahnya dan hanya
sedikit kawan di universitinya. Memang sudah dijangka. Dia memang
tidak ramai kawan. Kalau ada pun hanya setakat kenal nama. Tapi
Arissa memang tidak pernah ambil tahu bilangan kawannya.
Prinsipnya senang saja, nak kawan silakan. Tak nak
kawan, itu bukan masalahnya.
Sedang sibuk dia melayan satu demi satu status
kawan-kawannya, tiba-tiba dia terpandang satu gambar yang membuatkan
jantungnya berdebar. Gambar Nazwan bersama sepupu Sarah, Natasya!
Menyirap darahnya melihat gambar itu.
"Huh, minah ni memang sengaja nak bagi aku sakit
hati. Dia sengaja publickan gambar tu dan tag Sarah supaya aku tengok
gambar tu," ujarnya sambil cuba menahan marah.
"Eh, Nazwan dah ada Facebook?" tanya Arissa
apabila melihat gambar itu turut tag nama akaun Facebook Nazwan.
"Ohh, dia ada Facebook tapi tak add aku!"
Arissa lantas menutup laptopnya dengan kuat. Geram. Luka
di hatinya baru sahaja sembuh, kini datang kembali selepas melihat
gambar itu. Macam-macam yang dia fikir sekarang. Gambar itu bukan
diambil di Cameron Highland tapi di London. Ini bermakna mereka
berdua berjumpa di sana. Ini juga bermakna ada kemungkinan mereka ada
hubungan.
Jadi, Nazwan ke sana disebabkan Natasya?
"Okey, rileks," ujar Arissa kepada dirinya
sendiri. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan kembali.
"Semuanya dah berakhir. Nazwan dah tinggalkan aku tanpa sebarang
kata dan itu bermakna semuanya dah berakhir. Lupakan semuanya dan
jangan banyak fikir tentang apa dia buat di sana, siapa Natasya di
hati dia atau apa-apa tentang dia lagi."
Selepas beberapa kali mengingatkan diri sendiri tentang
hal itu, akhirnya dia kembali tenang. Tiada lagi perasaan marah dan
sakit hati. Itulah yang dilakukan sejak bercuti di resort itu.
Setakat ini memang berjaya.
"Tapi... selagi cincin ni ada di jari aku, selagi
tu akan akan ingatkan Nazwan. Mmm... mungkin dah tiba masanya untuk
tanggalkan cincin ni," ujar Arissa yang terasa terganggu dengan
kehadiran cincin itu di jari manisnya.
"Eh...," berkali-kali dia cuba menarik cincin
itu keluar dari jarinya tapi ketat. Cincin itu tidak bergerak sedikit
pun. "Takkanlah. Ini bermakna...aku dah gemuk!!!"
bagimana dgn nazwan..tak terkesan ka dia....
sedihnya arissa..
kasi arissa dgn naufal...