“Pergi ke UK?” terkejut
Puan Azizah apabila Luqman membuka mulut malam itu.
Luqman sekadar mengangguk.
Sejak munculkan diri tadi, dia sudah disoal bertubi-tubi oleh mama
dan neneknya. Tambah lagi apabila mereka langsung tidak nampak batang
hidung Nazwan. Dia tahu, tidak ada gunanya dia berbohong lagi.
Lagipun dia tidak akan dapat menyembunyikan kebenaran itu
selama-lamanya. Lambat laun mereka akan tahu juga. Jadi, lebih baik
dia segera beritahu hal yang sebenar. Apa pun akibatnya, dia rela
tanggung.
“Cuba beritahu hal yang
sebenar, Luqman,” tegur mamanya.
“Itulah hal sebenar,”
jawab Luqman. “Nazwan tak boleh nak teruskan apa yang nenek rancang
untuk dia. Jadi, dia buat keputusan untuk duduk dengan pak ciknya di
UK,” terang Luqman secara ringkas.
“Pak cik? Sejak bila dia
ada pak cik duduk di sana?” tanya nenek was-was.
“Adik bongsu arwah papa
Nazwan. Selepas abangnya meninggal dunia, dia ambil keputusan untuk
terus tinggal di sana,” terang Encik Luqfi secara ringkas.
“Tak kisahlah siapa pun.
Bila Nazwan nak balik sini?” tanya nenek dengan pandangan yang
seakan ingin menerkam sahaja.
Luqman mengangkat bahu.
Meremang bulu roma Luqman sebentar. Namun, dia cuba berlagak biasa.
Lagipun dia sudah jangka hal ini. Jadi, dia cuma perlu kuatkan
semangat menghadapi nenek.
“Luqman?” mamanya
bersuara. Tidak puas hati selagi Luqman tidak bersuara.
“Tak pasti. Dia tak ada
beritahu. Tapi Luq rasa kalau nenek setuju batalkan rancangan nenek
nak kahwinkan dia dengan Arissa…”
“Jangan harap!” pantas
Puan Azizah bersuara. Marahnya sudah sampai ke kemuncak. Ini kali
pertama dia rasa dikhianati sebegini. Oleh dua orang cucu kesayangan
dia pula. “Nenek akan tetap dengan keputusan nenek. Tak kira Nazwan
lari ke mana, bila dia balik sini nanti, nenek tetap nak kahwinkan
dia dengan Arissa!” tegasnya.
“Kalau macam tu, Nazwan
takkan balik untuk selama-lamanya,” balas Luqman selamba.
“Luqman! Papa tak pernah
ajar kau macam tu!” marah Encik Luqfi yang menyangka anak lelakinya
itu semakin biadap.
Puan Latifah terkejut
dengan suaminya itu. Dia tahu sangat. Suaminya seorang yang penyabar
dan sentiasa bercakap dengan lembut apabila berlaku sedikit salah
faham. Tapi bila suaminya sudah ‘berkau-aku’ dalam perbualan, itu
bermakna suaminya benar-benar marah. Kalau dibiarkan, pasti keadaan
akan bertambah teruk.
“Abang,” Puan Latifah
cuba mententeramkan suaminya.
“Tahu tak keluarga kita
terhutang budi dengan keluarga Arissa?” suara Encik Luqfi begitu
tegas menegur anak lelakinya itu.
“Itu Luq tahu tapi takkan
disebabkan terhutang budi kena kena bayar dengan masa depan Nazwan?
Dia ada hak untuk pilih siapa yang layak untuk dia bukannya kena ikut
rancangan gila ni!” balas Luqman.
“Luqman!” tegur Puan
Latifah. Sama macam suaminya, Luqman juga sudah mula naik angin.
“Mama….”
“Luqman, pergi masuk
bilik,” arah Puan Latifah. Kalau dibiarkan perbualan ini
berlanjutan pasti akan bertambah teruk lagi. Jadi, lebih baik dia
leraikan sekarang juga.
“Tapi…”
“Luqman, untuk kali ni,
dengar nasihat mama,” rayunya. “Naik atas.”
Tidak perlu disuruh buat
kali seterusnya, Luqman berlalu meninggalkan pertengkaran itu. Namun,
dari jauh dia masih dengar suara papanya yang tidak puas hati.
“Awak masih nak
pertahankan dia?” tanya Encik Luqfi kepada isterinya.
“Bukan pertahankan. Tak
guna kita bertekak sekarang. Nazwan dah tinggalkan Malaysia. Kita
patut fikirkan jalan penyelesaian bukannya bergaduh begini. Yang
penting sekali, kita patut fikirkan macam mana nak beritahu keluarga
belah perempuan,” terang Puan Latifah.
Luqman yang mendengar
sekadar menggeleng. Tidak habis-habis memikirkan pasal Arissa. Apa
kelebihan Arissa sampai mereka lebih pentingkan Arissa! Sungguh dia
tidak faham!
***
“Nenek mogok lapar?”
tanya Luqman sekali lagi untuk dapatkan kepastian apabila mamanya
memberitahu nenek tidak mahu turun makan sejak awal pagi lagi. Tidak
perlu ditanya kenapa. Cuma dia ingin tahu adakah ini benar ataupun
lakonan semata-mata.
“Kenapa kamu tak beritahu
mama awal-awal pasal Nazwan?” tanya Puan Latifah.
Dia tidak berniat hendak
memulakan pergaduhan tapi dia menyesal sebab tidak prihatin atas anak
buahnya itu. Selalunya kalau ada apa-apa yang tidak kena berlaku, dia
dapat kesan terlebih dahulu tapi kali ini dia kecewa sebab gagal
melaksanakan tugasnya.
Nazwan yang buat keputusan,
mama. Luq cuma tolong dia saja,” balas Luqman tidak boleh berbuat
apa-apa.
“Pujuk dia balik,”
pinta Puan Latifah.
“Mustahil,” jawab
Luqman sepatah.
“Luqman…”
“Mama, sekarang ni,
Nazwan yang buat keputusan untuk pergi ke sana. Tak guna kalau kita
pujuk dia kalau dia yang beria-ia nak pergi ke sana,” terang
Luqman.
“Tapi nenek harap sangat
dia balik.”
“Benda ni makan masa
sikit, mama. Lambat laun, nenek pasti boleh hidup tanpa Nazwan.
Lagipun, teknologi zaman sekarang ni canggih. Jauh di mata, dekat di
skrin. Cuma, buat masa sekarang ni, Nazwan perlukan ruang. Kalau dia
dah okey, dia akan hubungi nenek nanti,” ujar Luqman cuba
menyedapkan hati mamanya.
“Macam mana kalau dia tak
buat macam tu dan hilangkan diri terus?” soal mamanya.
“Dia takkan buat macam
tu. Luq kenal sangat dengan Nazwan.”
“Mama tak pasti, Luq,”
keluh Puan Latifah.
“Mama terlampau fikirkan
sangat benda ni. Rileks. Seperti yang Luq kata tadi, perkara ni
perlukan masa. Nenek perlukan masa, Nazwan perlukan masa dan kita
juga perlukan masa untuk suaikan diri. Lambat laun, kita akan
mengganggap yang Nazwan pergi sana untuk sambung belajar dan akan
pulang suatu hari nanti,” ujar Luqman lagi.
“Macam mana pula dengan
Arissa?” tanya mamanya.
“Rissa okey,” sapa satu
suara menyahut soalan tadi.
“Arissa,” terkejut Puan
Latifah apabila menyedari Arissa yang entah sejak bila berada di
dapurnya. Bukan sahaja Puan Latifah terkejut, Luqman juga turut
terkejut dengan kehadiran Arissa itu.
“Err… sorry. Rissa ada
bagi salam tadi tapi tak ada sesiapa yang sahut, jadi, Rissa masuk
sendiri,” ujar Arissa serba salah apabila mereka berdua melihatnya
seperti melihat hantu masuk ke rumah itu.
“Rissa buat donut?”
tanya Puan Latifah tidak tahu apa yang hendak diperkatakan. Tiba-tiba
sahaja dia jadi gagap berhadapan dengan Arissa. Apatah lagi apabila
ternampak sebuah bekas yang penuh dengan donut di dalamnya. Terus dia
teringat Nazwan.
“Mmm… hanya sedikit
buah tangan,” kata Arissa menghulurkan bekas yang berisi donut itu
kepada Puan Latifah.
“Terima kasih,”
teragak-agak Puan Latifah menyambutnya.
“Nenek mana?” tanya
Arissa sambil memandang sekeliling.
“Ada dalam bilik.”
“Tak sihat?” tanya
Arissa.
“Mogok lapar,” ujar
Luqman terus-terang.
“Hah?” terkejut Arissa
mendengarnya. “Kenapa?”
“Lagi kau mau tanya?”
balas Luqman dingin.
“Luqman,” tegur Puan
Latifah. Dia tidak faham dengan anak lelakinya itu sampai bencikan
Arissa begitu sekali.
“Betul ke?” tanya
Arissa kepada Puan Latifah. Puan Latifah tidak ada pilihan lain
selain mengaku. “Sejak bila?”
“Pagi tadi.”
“Habis, nenek tak
makanlah sejak pagi tadi?” tanya Arissa lagi.
“Dah nama mogok lapar,
mestilah tak makan,” balas Luqman.
“Luqman,” tegur Puan
Latifah lagi.
“Oh… Itu mesti makanan
untuk nenek, bukan?” tanya Arissa sambil berlalu mengambil sebuah
dulang sederhana besar yang memuatkan sepinggan nasi dan beberapa
lauk-pauk di atasnya. “Biar Rissa pujuk nenek,” tanpa berlengah
lagi dia terus berlalu mendaki anak tangga ke bilik nenek.
“Kenapa?” tanya Luqman
apabila menyedari mamanya asyik memandangnya.
“Kamu pernah terfikir
tak, macam mana rasanya kalau orang yang kamu cinta tiba-tiba
tinggalkan kamu tanpa sebarang sebab?” tanya mamanya. Tapi belum
sempat dia hendak menjawab, mamanya kembali menyambung. “Oh, kamu
tak pernah putus cinta atau kena tinggal macam situasi Arissa
sekarang. Jadi, selamat bergembira dengan kesedihan orang lain.”
“Kenapa semua pentingkan
Arissa daripada keluarga ahli keluarga sendiri?” tanya Luqman tidak
puas hati.
“Cari jawapan tu sendiri,
barulah kamu faham,” jawab Puan Latifah malas hendak lanjutkan
perbualan itu. Silap hari bulan, boleh bergaduh lagi.
***
“Betul nenek tak nak
makan? Kalau tak nak makan, Rissa makan ye? Rissa pun belum makan
lagi sejak pagi tadi. Ingatkan nak makan sama-sama dengan nenek tapi
nenek tak nak makan, Rissa makan dululah. Nanti tak pasal-pasal dapat
penyakit percuma,” ujar Arissa yang cuba memujuk Puan Azizah makan
sejak tadi.
“Makanlah. Bukannya sedap
pun,” balas Puan Azizah dengan jelingan tajam.
Orang tua, kalau sudah
merajuk memang akan merajuk habis. Pujuk dengan apa pun memang tidak
akan berjaya. Namun, semua itu tidak membuatkan Arissa berputus asa
dengan mudah. Lagipun dia kenal sangat dengan nenek. Semakin orang
pujuk dia, semakin kuat usahanya untuk bermogok.
“Sedaplah nenek. Tak
sangka Mama Tifa pandai masak masakan Melayu yang sedap macam ni,”
puji Arissa mula menyuap nasi ke dalam mulut.
“Yelah tu. Bukan nenek
tak tahu, dia beli lauk-lauk tu. Nasi je yang dia masak,” ujar Puan
Azizah yang sudah dapat meneka. Bukannya dia tidak tahu, anak
perempuannya itu memang langsung tidak reti masak masakan Melayu.
Suruh masak gulai pun, gulai bertukar warna pink.
“Ekk? Macam mana nenek
tahu?” tanya Arissa melayankan saja kerenah nenek.
“Dia anak nenek mestilah
nenek kenal!” tegas Puan Azizah.
“Oh, kalau macam tu,
nenek mesti kenal cucu-cucu nenek, bukan?” ujar Arissa yang sengaja
ingin menyentuh hal itu. Kalau tidak sentuh, sampai bila pun nenek
akan terus mogok lapar.
“Tak kenal. Cucu tak
kenal budi! Jangan sebut pasal diorang lagi. Anggap saja nenek tak
ada cucu!” tegas Puan Azizah lagi.
“Kalau macam tu, Rissa
patut anggap yang Rissa tak ada tunanglah?” ujar Arissa selamba.
“Kamu ni… cubalah jadi
orang berperasaan sikit,” marah Puan Azizah.
“Kalau Rissa jadi orang
berperasaan, habis rumah nenek ni Rissa bakar nanti. Sekarang, nenek
pilih, nak Rissa jadi orang berperasaan atau jadi macam sekarang?”
tanya Arissa selamba.
“Orang risaukan dia, lagi
dia buat lawak.”
“Mana ada buat lawak. Ini
apa yang Rissa rasa patut buat. Apa yang dah berlaku, akan terus
berlaku. Nazwan yang nak pergi sana, jadi Rissa patut terima. Kalau
ada jodoh, kami akan bersama. Kalau ditakdirkan hubungan ini sampai
sini saja, lepaskan ajelah,” ujarnya selamba.
“Senang kamu cakap,”
bengang Puan Azizah mendengarnya. Macam manalah dia tidak tension,
kalau seorang begitu, seorang lagi begini perangainya. Sama-sama acuh
tidak acuh dengan apa yang sudah berlaku.
“Benda ni senang je kalau
kita sentiasa fikir positif. Positifkah kalau nenek lancarkan mogok
lapar? Yang sakitnya nenek juga nanti. Orang lain hanya boleh tengok
saja nenek sakit bukannya boleh tanggung sakit nenek sedikit. Nazwan
pun belum tentu akan muncul depan nenek masa tu. Jadi, kita kena
berfikiran positif. Anggap saja apa yang berlaku semua ni hanyalah
sementara dan suatu hari nanti kita akan dapat apa yang kita harapkan
hari ini,” ujar Arissa masih terus berusaha memujuk nenek.
“Kamu ni, tak ubah macam
arwah mama kamu. Ada saja modal nak cakap,” keluh Puan Azizah yang
sudah tiada modal lagi hendak berbahas. Perutnya sudah berkeroncong.
Lebih-lebih lagi apabila melihat Arissa makan dengan lahapnya.
Ini tak boleh jadi!
“Itu menunjukkan Rissa
memang mewarisi bakat mama,” balas Arissa dengan penuh bangga.
“Memang pun. Bukan saja
pandai memujuk tapi pandai habiskan makanan nenek. Tengok tu, habis
dah nasi yang kau makan. Nenek nak makan apa ni?” tanya Puan Azizah
menahan geram.
Memang dia lancarkan mogok
lancar tapi bila tengok Arissa makan dengan lahap, semakin bertambah
lapar jadinya. Terus tidak jadi bermogok.
“Ekk… Alamak!” Arissa
terkejut seraya melihat nasi di pinggan itu. Hanya tinggal separuh.
Rasanya dia hanya makan beberapa suap tapi bila sedar barulah dia
perasan dia sudah makan banyak. Padahal dia tiada selera untuk makan
sebenarnya.
“Apa sengih-sengih lagi.
Pergi ambilkan nasi untuk nenek lagi. Kaut lauk banyak-banyak!”
arah Puan Azizah.
“Baik nenek!” ujar
Arissa sambil menabik hormat. Tanpa berlengah lagi dia terus berlari
keluar untuk ke dapur. “Mama Tifa, nak nasi lagi! Dan lauk juga!”
jerit Arissa memecah kesunyian rumah itu sejak malam tadi.
***
“Ah, penatnya,” keluh
Arissa seraya mendapatkan katil yang empuk kepunyaannya itu. Hari ini
hampir satu hari masanya dihabiskan dengan menemani nenek. Mujurlah
memujuk nenek tidak mengambil masa yang lama. Kalau tidak, dia juga
akan turut mogok.
Dalam pada itu, Arissa
mencapai handsetnya yang dibiarkan di atas meja bersebelahan dengan
katilnya itu. Ada beberapa panggilan tidak berjawab dan sedikit mesej
yang kebanyakannya daripada Naufal dan Melati. Dua orang ini memang
wajib akan menghubunginya sejak berita Nazwan lari ke luar negara
tersebar.
Dia pun pelik. Cepat betul
berita itu tersebar. Padahal dia hanya memberitahu Melati. Dia tahu
pun sebab dia terdengar perbualan telefon Sarah dengan Luqman semasa
dia mencuba baju tunang tempoh hari. Kalau tidak, memang dia tidak
tahu apa-apa. Selepas itu, dia tidak beritahu sesiapa selain Melati.
Bila Naufal sudah tahu, ini
bermakna ramai yang sudah tahu. Tapi yang tensionnya, bila sudah tahu
dia pula kena serang dengan soalan-soalan yang dia sendiri tiada
jawapannya. Apa yang berlaku bukan kehendaknya. Kalau dia ada jawapan
untuk semua soalan itu, memang sudah lama dia jawab. Dia juga tidak
pening kepala seperti sekarang.
Tambah lagi, dia ada banyak
perkara yang perlu difikirkan sekarang ini. Daripada memikirkan
masalah yang dia tiada jawapannya, lebih baik dia tumpukan perhatian
pada dua orang yang penting dalam hidupnya sekarang!
“Ah, masalah nenek dah
selesai. Sekarang tinggal papa. Kena fikirkan cara macam mana nak
beritahu papa tanpa diserang heart attack,” keluhnya.
***
“Okey,
Cik Arissa, apa yang perlu kita buat sekarang adalah jauhkan diri
daripada singki tu dan hubungi tukang paip,” ujar Fazira cuba
menghalang Arissa yang berkeras ingin membetulkan paip singki yang
longgar itu.
“Tak payah. Ini kerja
mudah saja. Orang perempuan pun boleh buat cuma orang perempuan ni
terlalu mengharap orang lelaki bila bab macam ni. Kau duduk di tepi
dan tengok aku selesaikan masalah remeh-temeh ni,” ujar Arissa yang
sudah bersiap sedia dengan peralatan menukangnya.
“Mama,” Fazira
menjeling memandang mamanya yang hanya senyap di tepi.
“Biarkan dia,” ujar
mamanya yang tidak mampu hendak menghalang bekas anak tirinya itu.
“Biarkan? Mama dah lupa
apa yang dia dah buat dengan mesin basuh kita semalam? Daripada boleh
digunakan lagi, terus kena beli baru. Kita patut halangnya
sebelum...” belum sempat Fazira habis berkata-kata, tiba-tiba
mereka berdua dikejutkan dengan semburan air yang kuat dari paip yang
diusik oleh Arissa tadi.
“Wahhh! Air pancut!”
jerit Arissa teruja melihat air naik setinggi itu.
“Sebelum rumah kita
bertukar jadi taman tema air,” sambung Fazira yang sudah agak apa
yang akan berlaku. “Kita perlukan tukang paip sekarang juga,”
tambahnya lagi sambil berlalu mendapatkan telefon yang tergantung di
dinding dapur rumah itu.
Puan Fiza pula segera
berlari ke luar menutup pili utama rumah itu. Tidak lama kemudian,
air yang memancut keluar tadi mula beransur-ansur perlahan dan
berhenti mengalir.
“Huh, aku dah kata dah,”
ujar Fazira sambil bercekak pinggang.
“Err... sorry,”
tersengih-sengih Arissa meminta maaf. Nasib baiklah Mama Fiza segera
menutup paip utama, kalau tidak, pasti banjir dapur itu. Satu hal
lagi hendak membersihkan lagi dapur itu.
“Sekarang, baru kau faham
kenapa dalam dunia ni ada pekerjaan tukang paip, bukan?” tanya
Fazira separuh menyindir.
“Faham,” ujar Arissa
dengan rasa bersalah. Satu keluhan dilepaskan. “Tak fahamlah. Rissa
dah buat yang terbaik tapi kenapa masih gagal? Tak hairanlah kalau
Nazwan pun sanggup tinggalkan Rissa,” ujar Arissa tidak mampu
menahan kesedihan lagi.
“Rissa…” Puan Fiza
bersuara tetapi belum sempat dia hendak meneruskan kata-katanya,
Arissa memotong.
“Rissa tahu. Apa yang
berlaku ni semuanya kehendak takdir. Apa yang perlu Rissa buat
sekarang ni adalah sentiara berfikiran positif dan terus berani
menghadapinya,” ujar Arissa seraya menyeka air matanya yang
mengalir di pipi.
“Betul!” sokong Puan
Fiza yang betul-betul bersimpati dengan apa yang dilalui oleh Arissa
sekarang ini. Dia sendiri terkejut dengan tindakan Nazwan itu. Kalau
dia tahu perkara ini akan terjadi, sudah lama dia bantah rancangan
hendak satukan mereka berdua itu.
“Tapi, ada satu masalah,”
keluh Arissa kembali mengeluh.
“Masalah?”
Deringan telefon rumah
mengganggu perbualan mereka. Tanpa disuruh, Fazira segera berlalu
menjawab telefon itu. Biarlah mamanya yang selesaikan masalah Arissa.
Bukannya dia tidak mahu membantu tapi dia seorang yang panas baran.
Kalau diikutkan hati, memang sudah lama dia terbang ke UK dan bawa
Nazwan balik.
“Papa,” jawab Arissa.
“Papa belum tahu lagi. Rissa tengah pening kepala macam mana nak
beritahu papa pasal Nazwan. Dahlah papa ada masalah jantung,”
ujarnya serba salah. Kalau diikutkan hati hendak sahaja dia rahsiakan
perkara itu daripada papanya tapi sampai bila dia hendak rahsiakan?
Lambat laun papanya tentu akan tahu juga. Kalau bukan dari mulutnya,
pasti dari mulut orang lain. Pening kepala memikirkannya.
“Itu… biar Mama Fiza
uruskan,” Puan Fiza menawarkan diri. Lagipun bukannya dia tidak
kenal papa Arissa. Walaupun bukan suaminya lagi tetapi hubungan
mereka masih baik lagi cuma tidak semesra dahulu.
“Tak,” Arissa
menggeleng tidak setuju. “Rissa kenal papa macam mana. Dia lebih
suka dengar dari mulut orang tu sendiri. Nak tak nak, memang Rissa
kena beritahu papa. Tapi buat masa sekarang, Rissa belum bersedia
lagi. Mungkin esok…”
“Betul?” tanya Mama
Fiza inginkan kepastian.
Arissa mengangguk yakin.
“Err…” Fazira
teragak-agak bersuara selepas selesai menjawab panggilan tadi.
“Kenapa?”
Fazira sekali lagi
teragak-agak hendak bersuara.
“Siapa yang telefon
tadi?” tanya Arissa pula. Jantungnya menjadi berdebar-debar apabila
melihat Fazira tiba-tiba menitiskan air mata. Dalam sekelip mata
sahaja Fazira bertukar menjadi sedih.
“Panggilan dari Perak.
Ada sesuatu yang berlaku pada papa,” ujar Fazira sambil memeluk
Arissa. Arissa mula merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku.
***
Sunyi. Itulah yang dapat
diungkapkan sebaik sahaja Luqman melangkah masuk ke dalam rumahnya.
Bukan kerana ketiadaan Nazwan tetapi memang rumahnya sunyi.
Selalunya, waktu dia balik dari kuliah, pasti mama dan neneknya
sedang duduk di ruang tamu menonton televisyen ataupun sedang sibuk
memasak di dapur. Tapi hari ini memang lain.
“Takkan semua orang
mogok?” tanya Luqman sendirian.
Dia tidak puas hati. Lantas
dia menapak ke bilik mamanya. Kosong. Tiada sesiapa di dalam. Dia
berlalu ke bilik neneknya. Juga tiada sesiapa. Ini membuatkan dia
bertambah pelik. Keluarganya tidak pernah keluar rumah petang-petang
begini.
Dia cuba mencari sebarang
nota yang mungkin ditinggal oleh mamanya, tetapi tiada satu klue pun
yang kelihatan. Lagi pelik dibuatnya. Memang beberapa hari ini, sejak
Nazwan menghilangkan diri ke UK, keluarganya tidak seperti dahulu.
Nenek masih tidak mahu bercakap dengannya. Papanya pula, susah hendak
cakap. Kadangkala okey, kadangkala turut kena virus nenek. Cuma
mamanya saja yang masih boleh dibawa bertegur.
Memang tension untuk
seminggu dua ini. Bukannya dia tidak cuba jernihkan keadaan. Sudah
banyak kali dia cuba. Nazwan pun sudah banyak kali telefon hendak
bercakap dengan nenek, tetapi nenek yang jual mahal. Merajuk.
Sudahnya, perkara ini tergantung macam itu sahaja.
“Dia orang ni memang
betul-betul nak bagi aku tekanan psikologi,” bengangnya.
Baru sahaja dia masuk ke
dalam biliknya, handsetnya berbunyi. Lantas dia tengok skrin handset.
Panggilan daripada mamanya. Pada awalnya dia sengaja tidak mahu
menjawab panggilan itu, tetapi memandangkan dia hendak tahu
sangat-sangat ke mana mereka pergi bercuti, dia turunkanlah sedikit
egonya.
“Luq, ada di rumah ke?”
tanya mamanya.
Soalan yang buat orang
sakit hati. Sudah pergi bercuti tinggalkan anak seorang diri di
rumah, boleh pula tanya soalan itu. Huh, jangan kata diorang pergi
bercuti di UK. Nahas Nazwan nanti.
“Mmm… mama pergi mana?
Kenapa semua orang tak ada ni? Ada komplot apa ni?” bertubi-tubi
dia bertanya soalan.
“Kami ada di Perak
sekarang.”
“Perak? Buat apa?”
tanya Luqman tidak puas hati. “Bercuti ke?”
“Luq tak tahu ke?”
tanya mamanya pula.
“Tahu apa?”
Dia mendengar mamanya
mengeluh panjang. Sah. Kalau bukan bercuti mesti ada kena mengena
dengan Arissa. Lagipun papa Arissa tinggal di Perak sekarang ini. Ini
mesti kes Nazwan lari ke UK sudah sampai ke pengetahuan papa Arissa.
Kalau pertunangan itu dibatalkan, dia orang pertama akan melompat
bintang. Tapi kalau dia orang buat rancangan nak pergi ke UK untuk
memburu Nazwan, dia orang pertama yang akan ke UK. Tak kira, apa nak
jadi, jadilah!
“Papa Arissa…”
Hanya satu ayat yang
seterusnya sudah mampu membuatkan dia tidak tentu arah.
***
Selesai mandi, Sarah
berlalu ke meja tulis membuka laptopnya. Itulah rutin hariannya
selepas pulang dari kolej. Waktu-waktu begini, dia lebih gemar
melepak di Internet, membaca gosip-gosip artis Korea. Kalau ada masa,
dia akan melayan drama-drama Korea. Namun, kebelakangan ini dia
jarang melayan drama Korea kerana sibuk melayan masalah yang menimpa.
Memang dia akui, dia
tension sejak kebelakangan ini. Nenek sudah tidak bertegur sapa
dengannya sejak nenek dapat tahu dia juga terlibat dalam komplot itu.
Layanan keluarga Luqman terhadapnya tidak seperti dahulu. Kadangkala
dia sendiri tidak faham dengan keluarga itu yang mengaku boleh
berfikiran terbuka tetapi masih lagi ditahap tertutup.
Tidakkah mereka sedar yang
Nazwan pergi sebab tidak suka dipaksa? Kalau mereka tidak memaksa,
semua ini tidak akan berlaku. Lagi yang buat dia tidak puas hati
semuanya mementingkan Arissa daripada keluarga sendiri. Semua berasa
kesian dengan Arissa.
Pelik sungguh.
Entah apa yang Arissa sudah
buat sampai mereka sangat menyanjungi Arissa. Arissa bernasib baik
sebab arwah mama Arissa merupakan kawan baik bagi keluarga itu. Jadi,
tidak hairanlah kalau mereka turut menyayangi Arissa. Tapi apa yang
dia lihat, sayang mereka pada Arissa memang melampau.
“Ah, boleh meletup kepala
fikirkan pasal ni,” Sarah mendengus kemarahan.
Cuba dibuang apa yang
difikirnya jauh-jauh dengan melayan Internet. Hari ini hatinya
tergerak membuka facebook. Rasanya sudah lama dia tidak membuka laman
sosialnya itu. Buka sahaja, banyak juga notification yang dia terima
tapi dia abaikan semua. Bukan dia tidak tahu, kebanyakan notification
itu daripada manusia-manusia yang main game. Daripada dia sakit hati,
lebih baik dia terus pergi ke ‘home’.
Alangkah terkejutnya
apabila melihat satu gambar yang di tag oleh Asha. Satu gambar Asha
bersama Nazwan sedang minum kopi di sebuah cafe. Yang pasti situasi
gambar itu bukan di Malaysia tetapi di London!
Kepada Sarah, sepupuku yang
ayu,
Aku jumpa seseorang di
London! Handsome tak?
-Natasya-
Itulah status yang hadir
berserta gambar itu. Memang terkejut kerana dia tidak pernah beritahu
Asha tentang Nazwan ke UK. Tambah lagi Nazwan hanya beritahu dia akan
ke UK tetapi tidak diberitahu dia akan tinggal di bahagian mana. Dan
macam mana Asha boleh jumpa Nazwan pun dia tidak pasti. Macam-macam
dia fikir.
Tak mungkin Nazwan ada
hubungan dengan Asha. Itu mustahil. Dia kenal Nazwan. Nazwan hanya
memandang Asha dengan sebelah mata semasa mereka di Cameron Highland.
Jadi, mustahil Nazwan pergi ke sana disebabkan Asha.
Sedang sibuk dia memikirkan
segala kemungkinan, dia dikejutkan dengan deringan handsetnya.
Panggilan daripada Luqman. Ini lagi seorang. Mesti hendak mengadu
padanya. Nak tak nak, dia terpaksa layan. Lagipun dia sudah berjanji
dengan Nazwan, tidak akan sia-siakan Luqman.
“Sarah, ada berita
buruk,” ujar Luqman. Sayu sahaja suaranya.
Macam orang tidak bermaya
pun ada. Memang padan dengan ayat mukadimah. Ada berita buruk. Itu
yang membuatkan dia rasa tidak senang hati. Dia juga ada berita buruk
tapi rasanya berita buruk ini akan jadi berita baik bagi Luqman, jadi
abaikan ajelah.
“Buruk sangat ke?”
tanya Sarah tiada mood langsung hendak melayan.
“Kau mesti tak tahu
lagi?”
Sarah mengerut dahi. Jadi,
berita buruk itu ada kena mengena dengannya?
“Kenapa?” tanya Sarah.
“Papa Arissa… dah
meninggal dunia pagi tadi.”
SEDIH :(