Melati sekali lagi
menggeleng. Punyalah dia terpaksa batalkan programnya semata-mata
risaukan keadaan Arissa, rupa-rupanya dia kena tipu hidup-hidup lagi.
Waktu dia terima panggilan telefon daripada Arissa beberapa hari yang
lalu, dia sudah tidak sedap hati. Nada Arissa waktu itu memang buat
hidupnya tidak senang. Macam-macam dia fikir.
Arissa kena kahwin
paksa?
Arissa tidak suka
dengan pertunangan ini?
Arissa terluka?
Macam-macam lagi
yang dia fikir. Tapi rupa-rupanya, semua itu hanyalah lakonan
semata-mata supaya dia datang ke pertunangan Arissa. Nasib baiklah
dia tahu sangat dengan perangai Arissa, tidak jadilah dia marah.
Kalau orang lain, memang sudah lama dia naik angin.
“Melati, aku suruh
kau datang sini bukan nak tengok kau geleng kepala dan renung aku
macam nak terkam aku. Aku perlukan kau untuk salurkan kuasa tambahan
kau supaya aku tak gemuruh, tak takut dan kuat hadapi semua ni,”
ujar Arissa yang baru sahaja selesai mekap.
“Mak cik, kau tu
nak bertunang je. Bukannya nak akad nikah,” balas Melati geram.
Bercinta bukan main berani tapi bila berhadapan situasi ini, jadi
lembik pula. Tak faham langsung.
“Ala, aku tetap
nak kau datang,” ujar Arissa sambil hentak kaki.
“Ye. Aku dah
datang ni. Dah ada di depan kau ni,” balas Melati. Menggeleng
lemah. Entah macam manalah papa Arissa boleh benarkan anak
perempuannya ini bertunang awal-awal? Nasiblah siapa jadi tunang
Arissa. Pasti jenuh hendak melayan kerenah Arissa.
“Eh, tunang kau tu
orang mana? Aku kenal ke?” tanya Melati.
“Mmm… mungkin
orang bunian,” balas Arissa sambil membetulkan baju tunang yang
sudah dipakainya.
“Cakaplah
betul-betul.”
“Kau rasa aku dah
makin gemuk ke?” tanya Arissa menggayakan baju itu di hadapan
cermin.
“Dari kali
terakhir kita jumpa badan kau memang macam tu. Tak tembam sangat dan
tak kurus sangat. Tapi pipi kau tetap comel,” puji Melati.
“Betul?” teruja
Arissa mendengarnya.
“Kau belum jawab
soalan aku tadi, tunang kau tu orang mana?”
“Tak pentinglah
dia orang mana asalkan sekejap lagi nenek dia akan sarungkan cincin
di jari yang gemuk ni. Ahh, aku patut ambil diet awal-awal. Aku takut
cincin tu tak muat,” rungut Arissa.
Melati mengerut
dahi. Ini tak boleh jadi. Walaupun dia tidak selalu bersua dengan
Arissa tapi dia kenal Arissa sejak sekolah rendah lagi. Bila Arissa
cuba mengelak daripada menjawab soalan, pasti ada sesuatu yang tidak
kena.
Lantas dia berdiri
di hadapan Arissa. Terkejut Arissa dibuatnya.
“Kenapa?” tanya
Arissa.
“Apa dah berlaku
sebenarnya?” tanya Melati. Tajam pandangan Melati sehinggakan dia
tidak berani bertentang mata dengan Melati. “Kau tak ada sesiapa
nak luahkan, bukan? Sebab tu kau telefon aku dan paksa aku datang,
bukan?” soal Melati lagi.
Perlahan-lahan
Arissa mengangguk.
“Aku perlukan
seseorang… aku tak tahu nak cari siapa lagi,” ujar Arissa
tersekat-sekat. Air matanya mengalir tanpa disedari dan dia tidak
dapat mengawalnya lagi.
Melati terus memeluk
Arissa. Menenangkan Arissa walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang
sudah berlaku. Baginya, Arissa memang jarang menangis. Sepanjang dia
berkawan dengan Arissa, dia tidak pernah tengok Arissa menangis
begitu sedih begini. Kalau Arissa sudah menangis, itu bermakna pasti
ada sesuatu yang sudah berlaku. Sesuatu yang disimpan dalam hati
untuk sekian lama.
“Kau masih ada
aku. Jangan risau,” pujuk Melati masih memeluk Arissa dengan erat.
“Aku takut sangat
kalau kau tak jadi datang,” tersedu-sedu Arissa bersuara.
“Okey. Okey, habis
mekap kau kalau kau terus menangis,” Melati terus meleraikan
pelukkannya.
Dia tidak pernah
melayan Arissa yang sedang bersedih, jadi dia tiada pengalaman.
Semakin dia memujuk semakin kuat pula tangisan Arissa. Tambah lagi,
hari itu hari pertunangan Arissa. Dia patut lakukan sesuatu sebelum
keadaan makin bertambah teruk. Melati lantas mencapai sehelai tisu
dan menghulurkan kepada Arissa.
“Aku dah tak ada
hati nak bertunang,” ujar Arissa langsung membiarkan air matanya
mengalir.
“Aku tak tahu apa
dah berlaku tapi aku tak kisah. Yang penting sekarang, aku tahu, kau
bukan seorang yang suka lari daripada masalah,” ujar Melati
memberikan semangat kepada Arissa. Hanya semangat yang dapat
menghapuskan air mata Arissa buat masa ini.
Arissa mengangguk.
Sejak dahulu lagi dia sudah melatih dirinya untuk tidak melarikan
diri walaupun masalah besar melanda. Itu juga adalah pesan yang
ditinggalkan oleh arwah mamanya. Mana mungkin dia ingkar arahan
mamanya.
“Jadi, kau perlu
kuat. Arissa yang aku kenal, walaupun orangnya agak menyusahkan dan
manja tak bertempat tapi dia seorang yang kuat!” ujar Melati lagi.
Kali ini dengan penuh semangat.
“Aku mana ada
menyusahkan orang,” ujar Arissa sekali dengan cubitan kuatnya
hinggap di lengan Melati.
“Sakitlah.”
“Tarik balik apa
yang kau kata tadi,” panjang muncung Arissa, tidak puas hati.
“Yelah. Kau tak
menyusahkan orang. Kau seorang yang takkan buat orang risau. Kalau
boleh kau nak tengok semua orang di sekeliling kau gembira,” puji
Melati.
“Mmm… aku sayang
kau,” ujar Arissa sambil memeluk Melati.
“Arissa,”
panggil Mama Fiza membuka pintu. Lantas Arissa meleraikan pelukan.
“Pihak lelaki dah sampai, boleh turun sekarang. Masa untuk sarung
cincin.”
“Err… lima
minit! Nak betulkan mekap,” balas Arissa.
“Okey, Mama Fiza
tunggu di bawah ya.”
“Okey,” balas
Arissa.
“Bertenang dan
tarik nafas perlahan-lahan,” arah Melati. Arissa hanya menurut. Dia
mesti hadapi semua ini. Walaupun pahit tapi dia perlu telan juga.
“Kau mampu lakukannya!”
***
“Macam mana?”
tanya Puan Azizah kepada anak perempuannya itu. Puan Latifah sekadar
menggeleng. Ketat saja mukanya apabila tidak dapat menghubungi Luqman
mahupun Nazwan.
“Tahu dia orang
pergi mana?” tanya Puan Azizah lagi. Oleh kerana sibuk sangat
melayan tetamu dan saudara mara yang bertandang ke rumahnya, dia
langsung tidak sedar bahawa dua cucu kesayangannya tiada.
“Entahlah, tak
perasan pula Tifa,” jawab Puan Latifah. Risau.
“Budak-budak ni
memang nak kena,” marah Puan Azizah.
“Tifa rasa tak
sedap hatilah, mama. Macam ada sesuatu yang dia orang rancang je.
Tambah lagi, baru-baru ni, perangai Nazwan pelik sangat,” luah Puan
Latifah.
Dia mula perasan,
baru-baru ini perangai Nazwan lain macam. Tidak seperti selalu.
Biasanya Nazwan bukanlah peminat masakannya, tetapi beberapa hari
yang lalu, Nazwan kerap meminta dia masak. Teringin katanya. Puan
Latifah tidak menyangka yang bukan-bukan waktu itu. Kini, bila Nazwan
tidak kelihatan sejak dari pagi tadi, dia mula rasa ada sesuatu yang
tidak kena.
“Jangan-jangan dia
buat hal lagi kot,” teka Puan Latifah dengan berbisik. Risau kalau
orang-orang sekeliling mendengar perbualan mereka.
“Buat masa ni,
jangan beritahu sesiapa lagi. Kita uruskan pertunangan ni dahulu.
Mama tetap nak teruskan rancangan ni!” tegas Puan Azizah.
Puan Latifah hanya
mengangguk faham. Bagaimanapun dia risau dengan keselamatan mereka
berdua. Entah ke mana mereka pergi. Bila dia cuba hubungi keduanya,
masing-masing tidak sambut panggilannya. Sebagai seorang ibu yang
telah membesarkan kedua-duanya, hatinya jadi tidak tenteram.
Harap-harap mereka
berdua baik-baik sahaja dan pulang dengan selamat, doanya.
***
Handset Luqman
berdering lagi. Mereka bertiga yang sedang menikmati secawan kopi
saling berpandangan. Baru sekejap tadi handset Nazwan berbunyi dan
seperti yang dijangka, handset Luqman pula berbunyi. Panggilan dibuat
daripada nombor yang sama.
“Nampaknya mama
dah sedar kita hilang,” ujar Luqman sebaik sahaja handsetnya
berhenti berbunyi.
“Kau nak aku
terangkan pada Mama Tifa ke?” tanya Nazwan serba salah. Nahaslah
Luqman bila balik nanti. Mama Tifa memang seorang ibu yang lembut,
jarang dia lihat Mama Tifa naik darah tetapi dia tetap risau apa yang
akan ditempuhi Luqman nanti.
“Kau dah gila?
Mama lagi menakutkan daripada nenek. Silap hari bulan, dia boleh
tahan penerbangan ni tau,” Luqman tidak setuju. Mamanya memang
nampak seperti suri rumah biasa tetapi mamanya banyak kenalan yang
bekerja di syarikat penerbangan kerana mamanya seorang bekas
pramugari dan banyak pengaruh pula.
“Aku rasa tak
sedap hati,” ujar Nazwan. Bermacam-macam bermain di fikirannya
sekarang sehinggakan dia sendiri tidak tahu apa punca sebenar hatinya
tidak senang pada ketika ini.
“Kau akan okey,”
ujar Sarah yang turut berada di situ.
“Betul,” sokong
Luqman.
“Aku tak pasti…”
“Abaikan apa yang
kau rasa sekarang. Jangan risaukan aku. Paling teruk pun aku kena
perintah berkurung dengan nenek. Lepas kau sampai sana, kau boleh
hubungi nenek. Itupun kalau kau rasa dah cukup kuat untuk bercakap
dengan nenek. Perkara ni, makan masa sikit. Lama-lama nanti dia orang
pasti dapat terima,” ujar Luqman memberikan sedikit keyakinan
kepada Nazwan.
“Aku cuba,” ujar
Nazwan acuh tak acuh.
“Aku nak pergi
tandas sekejap,” Luqman meminta diri dan segera berlalu
meninggalkan Sarah dan Nazwan di situ.
Sarah menjadi
janggal apabila duduk berdua-duaan dengan Nazwan. Pelik pula. Jika
dahulu, dia teringin sangat hendak berada di sisi Nazwan tapi
sekarang, semua perasaan itu bertukar janggal dan kurang selesa.
Nazwan pula bertukar menjadi pendiam. Dia tahu, Nazwan hanya akan
bercakap kalau Luqman ada di sebelah. Bila Luqman hilang, tiada suara
Nazwan akan kedengaran.
“Terima kasih
sebab sudi tolong aku,” ucap Nazwan tiba-tiba bersuara.
“Hah?” terkejut
Sarah dibuatnya. Namun, dia gembira sebab Nazwan sudi bercakap
dengannya. Biarpun hanya sekadar berucap terima kasih.
“Kau tak perlu
ucap terima kasih. Aku yang patut ucap terima kasih sebab sudi
maafkan aku. Apa yang aku buat ni, hanyalah sebahagian untuk aku
tebus kembali apa yang kau hilang selama ni,” jawab Sarah dengan
hati yang lapang.
Sejak kematian
Natasya, rasa bersalah sentiasa menghantuinya. Biarpun bukan dia
penyebab Natasya meninggal dunia tetapi dia pernah buat Natasya
menderita. Natasya pergi tanpa mengetahui perkara sebenar. Semuanya
kerana sikapnya yang mementingkan diri.
“Aku tak pernah
salahkan kau atas kematian Natasya. Kau tak perlu rasa bersalah,”
balas Nazwan dari hati.
Sarah hanya
mengangguk. Nazwan begitu baik terhadapnya. Biarpun Nazwan tahu
dialah dalang yang menghantar gambar kontroversi itu, tetapi Nazwan
masih menerimanya sebagai kawan. Seolah-olah tiada apa yang berlaku
di antara mereka. Sejak itu, barulah dia sedar, apa yang dia buat
selama ini sebenarnya merugikannya.
“Luqman
betul-betul sayang kau,” ujar Nazwan lagi.
“Aku tahu,”
sekali lagi Sarah mengangguk. Dia perlu mengakuinya.
Dahulu, dia rasa
Luqman begitu menjengkelkan. Bagaimanapun dia terpaksa berhadapan
dengan Luqman, berpura-pura menyukai Luqman. Dia buat semua itu
semata-mata mahu rapat dengan Nazwan tapi semua itu memakan dirinya.
Selepas kematian
Natasya, barulah dia buka mengenali siapa Luqman di sisinya. Luqman
tetap bersamanya biarpun dia pernah menipu Luqman hidup-hidup. Luqman
masih menerimanya dengan alasan semua orang patut diberi peluang
kedua.
“Jaga dia
baik-baik,” pesan Nazwan lagi.
Sarah mengangguk
lagi.
“Kau pun, jaga
diri baik-baik,” ujar Sarah.
“Jangan risaukan
aku. Pak cik aku dah uruskan segala keperluan aku di sana,” balas
Nazwan. “Dan tolong jagakan Arissa untuk aku.”
“Itu… aku tak
boleh janji,” terus terang Sarah bersuara. “Kalau dia tahu aku
yang tolong kau... kau tahu jelah perangai dia,” Sarah tidak mampu
teruskan. Dia dapat rasakan hubungan dia dengan Arissa akan renggang
kalau Arissa dapat tahu dia yang merancang semua ini.
“Aku tahu,”
Nazwan mengangguk. “Tapi aku harap sangat kau orang tak bergaduh.
Lagipun, aku kenal Arissa. Selagi kau beritahu dia perkara sebenar,
dia akan cuba terima.”
“Kalau dia tak
dapat terima?”
“Dia kuat. Dia
lebih kuat daripada apa yang kau sangka dan sebab tulah aku berani
buat keputusan macam ni. Aku tahu, dia pasti boleh hadapinya,” ujar
Nazwan selamba.
“Baiklah. Aku
cuba. Tapi… boleh aku tanya satu soalan?”
“Apa dia?”
“Betul ke kau tak
pernah ada perasaan terhadap Arissa?” tanya Sarah teragak-agak.
“Itu…,” baru
sahaja Nazwan ingin bersuara, kedengaran panggilan terakhir untuk
pesawat yang akan dinaikinya. Pada masa yang sama, Luqman kembali
menghampiri mereka.
“Jom,” arah
Luqman.
Tanpa berlengah
lagi, Nazwan segera mencapai beg sandangnya. Dari Malaysia, dia hanya
membawa sebuah beg ke sana. Lagipun bila difikir semula, dia boleh
dapatkan pakaian-pakaian baru di sana. Tambah lagi pak ciknya memang
sudah sediakan semua keperluannya di sana. Jadi, dia tidak perlu
risau memikirkan apa yang harus dipakai atau tempat tinggal.
Cuma dia perlu
memikirkan masa hadapannya apabila berada di sana nanti. Itu nanti.
Buat masa sekarang, dia tidak mahu sesakkan fikirannya dengan hal
remeh temeh itu.
Tiba di balai
berlepas, dia sedar, dia tidak boleh berpatah balik. Ini kali pertama
dia meninggalkan Malaysia seorang diri. Ini juga kali pertama dia
akan berpisah dengan Luqman. Mereka membesar bersama-sama. Mereka
berdua macam belangkas. Di mana ada Luqman di situ ada Nazwan. Hari
ini, dia perlu suaikan diri hidup tanpa Luqman.
“Okey, sampai sini
saja. Jaga diri,” ujar Luqman. “Jangan lupa apa yang kau janji
semalam. Aku dah ajar kau guna facebook, jangan pula kau tak guna,”
pesan Luqman.
Nazwan mengangguk.
Kemudian dia menghulurkan tangan dan mereka bersalaman. Sempat juga
Luqman memeluk Nazwan.
“Jangan nangis
tau,” kata Nazwan berseloroh.
“Aku tetap jantan
kalau aku menangis,” balas Luqman selamba.
“Aku pergi dulu,”
ucap Nazwan.
“Jaga diri,”
balas Luqman ketika Nazwan memulakan langkah masuk ke balai berlepas.
Tatkala bayang Nazwan hilang di matanya, dia mengeluh.
“Kenapa?” tanya
Sarah.
“Saya sangat pasti
yang dia dah lupa macam mana nak login facebook,” ujar Luqman.
Sarah tertawa
kelucuan. Kalau Nazwan tidak reti guna facebook memang bukan sesuatu
yang mengejutkan.
“Sekurang-kurangnya
dia tahu guna emel,” balas Sarah.
Luqman mengangguk.
Tiba-tiba handset
Sarah berbunyi. Satu mesej diterimanya. Tanpa berlengah lagi dia
terus membuka mesej itu. Satu MMS daripada Arissa. Gambar Arissa
sudah selamat bertunang. Siap tunjuk cincin tunang lagi. Dengan mesej
‘Aku jadi tunang orang!’
“Kenapa?” tanya
Luqman.
Tidak menjawab tapi
sebaliknya memberikan handset itu kepada Luqman.
“Tiba-tiba kesian
pula dengan dia,” ujar Sarah.
“Sendiri cari
pasal. Abaikan dia. Sekarang ni, ada masalah besar yang perlu kita
selesaikan.”
Angguk.
***
Kurang beberapa
minit Nazwan berada di dalam pesawat, satu pengumuman kedengaran.
Seperti biasa, pengumuman yang dibuat oleh kapten kapal terbang akan
memberikan sedikit taklimat tentang perjalanan itu dan turut
mengingatkan penumpang supaya mematikan telefon bimbit atau barang
elektronik.
Arahan itu diikuti
oleh penumpang lain. Begitu juga dengan Nazwan. Ketika dia hendak
mematikan handsetnya, dia baru perasan terdapat mesej diterimanya.
Terus dia membuka mesej itu. Sebuah mesej bergambar. Gambar Arissa
sambil menunjukkan cincin di jarinya bersama mesej, ‘Terima kasih.
Selamat jalan’.
Dia terkejut. Kalau
diikutkan hati, ingin sahaja dia berpatah balik tapi kapal terbang
sudah mula hendak berlepas…
Arissa tau.. ARissa boleh agak tindakan Nazwan.. sedihnya... T____T