MELLISSA
memberhentikan kereta yang dipandunya di tengah-tengah kawasan
lapang. Berkali-kali dia melihat GPS keretanya. Betullah. Inilah
koordinat yang dia terima. Perasaan pelik mula menyelubungi dirinya.
Sekali lagi dia cuba baca mesej yang diterima daripada kembarnya itu.
Satu mesej ringkas.
Jumpa aku di sini.
Dalam mesej itu
disertakan sekali dengan nombor koordinat yang akan menjadi tempat
pertemuan mereka. Memang sudah menjadi satu kebiasaan. Jika mereka
ingin berjumpa dan ingin bincangkan perkara serius, nombor koordinat
yang akan diberi.
Itu cara komunikasi
mereka untuk mengelak daripada jatuh ke tangan musuh yang ingin
perangkap mereka. cara ini hanya diketahui oleh beberapa orang
seperti mama, Adam, Adnan dan juga dia. Tapi yang peliknya, biasanya
Adnan suka cari lokasi yang ada ais kacang. Sambil berbincang, dia
pasti akan makan ais kacang. Takkan minat Adnan dah bertukar?
Tidak lama kemudian,
dia terdengar bunyi deruman sebuah kereta. Dengar sahaja bunyinya dia
sudah tahu, itu pasti bunyi kereta Adnan. Sebuah kereta mula
kelihatan dan dipandu laju ke arahnya. Bunyi kereta Adnan macam bunyi
kereta F1 padahal Proton Neo sahaja. Bising dan bingit. Sakit
telinganya. Sama seperti Adam, kembarnya itu memang minat dengan
sukan lasak terutama sekali lumba kereta.
“Boleh tak kau
buat sesuatu dengan bunyi kereta kau tu?” tegur Mellissa bengang.
“Kau nak jumpa aku
sebab nak komen bunyi kereta aku ke?” balas Adnan yang baru keluar
dari keretanya.
“Tak. Yang pasti
kau yang nak jumpa aku,” balas Mellissa sambil menunjukkan mesej
yang diterimanya.Adnan mengeluh kecil.
“Aku paling benci
bila berlaku perkara macam ni,” ujarnya sambil menunjukkan mesej
yang diterimanya juga. Mesej yang sama!
“Habis tu, siapa
yang nak jumpa kita sebenarnya?” tanya Mellissa bertambah bengang.
Serentak dengan itu,
dari tempatnya berdiri dia dapat lihat dengan jelas sebuah kereta
dipandu menuju ke arah mereka. Lihat sahaja kereta itu, dia sudah
dapat agak pemandunya.
“Adam...”
keluhnya.
Kereta itu berhenti
betul-betul di hadapan mereka berdua. Adam keluar dari kereta itu.
“Terima kasih
sebab sudi datang,” tegur Adam dengan senyuman sinis.
“Sekarang baru
akak sedar, semuanya kamu punya kerja. Kamu gunakan Izwan supaya akak
balik ke Malaysia, bukan?” teka Mellissa. Memang sudah lama dia
syak hal itu tetapi dia tiada masa untuk berbincang dengan adiknya
itu.
Adam sekali lagi
tersenyum sinis.
“Tergamak kamu
gunakan Izwan dalam hal begini?”
“Itu takkan
berlaku kalau kau orang berdua berterus-terang dengan aku sejak awal
lagi,” balas Adam dengan serius. Tiada lagi senyumannya.
“Apa yang kau nak
tahu?” tanya Adnan tenang.
“Segalanya,
bermula dari Hazrul tinggalkan Malaysia...”
“Hazrul kena racun
semasa turun dari kapal terbang. Dia koma selama dua bulan dan
meninggal dunia selepas tu,” terang Adnan ringkas dan tenang.
“Adnan!” marah
Mellissa. “Perkara tu sepatutnya dirahsiakan.”
“Daripada Adam?
Dia dah tanya maknanya dia dah tahu sesuatu. Jangan buat-buat tak
kenal dengan perangai adik kau ni,” balas Adnan kepada Mellissa.
Kemudian dia kembali memandang Adam dan menyambung, “Ada seseorang
dalam kapal terbang letak sesuatu dalam minuman Hazrul.”
“Siapa?”
“Kami dah siasat
dan jumpa jalan buntu. Orang yang letak racun tu, bunuh diri.
Kematian Hazrul mungkin sudah dirancang sejak awal lagi. Mungkin
sebab ada seseorang nak tutup mulut Hazrul,” tambah Adnan lagi.
“Jadi, selepas
Hazrul gagal... Doktor Omar pula take over? Dengar kata juga
dia bunuh diri atau kena bunuh?”
“Perkara ni
semakin rumit. Semua orang yang pernah buat keluarga kita kucar-kacir
mati secara mengejut. Jadi semua bukti yang ada hilang macam tu saja.
Akak rasa musuh kali ini memang bukan orang sebarangan. Dia tahu
setiap gerak-geri kita dan kemungkinan besar dia ada di sekeliling
kita,” tambah Mellissa.
“Selepas kematian
Doktor Omar, kami tak tahu siapa lagi yang akan jadi mangsa
seterusnya,” ujar Adnan.
“Ada,” jawab
Adam yakin. “Dia baru muncul semalam.”
“Budak yang
ceroboh masuk Arena semalam tu?” teka Mellissa.
Adam mengangguk
dengan penuh yakin.
“Mustahil. Dia
hanya budak mentah yang tak ada tujuan hidup. Mustahil dia diupah
untuk musnahkan keluarga Alexander,” ujar Mellissa sedikit tertawa.
Namun, dalam hatinya
dia bersetuju dengan Adam. Dia memang sengaja tidak bersetuju dengan
tekaan Adam itu. Ya. Dia yakin, budak yang ceroboh masuk Arena itu
ada kena mengena dalam hal ini tapi demi menjaga rahsia yang
tersimpul mati yang disimpan selama ini, dia perlu bertegas dan tidak
menyokong Adam.
“Okey, kalau macam
tu, kita sama-sama dah buat keputusan. Budak tu, biar saya yang
uruskan,” ujar Adam terus memberikan kata putus. Tanpa berlengah
lagi dia segera masuk ke dalam keretanya dan berlalu memandu dari
situ.
“Aku dah kata
awal-awal lagi. Walaupun dia bukan Adam Alexander lagi tapi dia tetap
Adam Alexander. Jangan pandang rendah terhadap dia,” ujar Adnan
sambil menepuk bahu Mellissa.
“Aku tak kira…
Aku akan uruskan budak tu sebelum Adam jumpa dia!” tegas Mellissa
yang nekad dengan keputusannya. Walau apa pun dia mesti berbuat
sesuatu untuk memastikan rahsia itu tersimpan rapi!
huhu..awat skit sgt..xpuas baca...