Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR : BAB 3

 



Harris bernasib baik. Dia terselamat daripada tembakan bertalu-talu tadi. Dalam hiruk-pikuk tembakan dan jeritan, dia sempat berlindung di tempat yang tersorok. Dari situ, dia melihat beberapa lelaki berpakaian serba hitam menembak membuta tuli ke arah orang ramai. Suasana bertukar kecoh, bunyi kaca pecah berselang-seli dengan laungan meminta tolong bergema di sekeliling. 

Apabila keadaan sedikit reda di kawasan itu, Harris segera merendahkan badan dan berlari ke arah bertentangan. Nafasnya tercungap-cungap, dada berombak menahan takut dan cemas. Demi Rosie, dia gagahkan diri. 

Tidak jauh dari situ, dia terserempak dengan Firdaus yang sedang mencari arah selamat. Dia berasa syukur kawannya masih selamat. Firdaus yang menyedari Harris, terus bertanya tentang Kejora, “Kejora mana? Bukan ke kau pergi jumpa dia?”

Harris cuba mengatur nafasnya. “Kejora selamat. Dia bersembunyi di tempat yang selamat,” jawabnya pantas dan tidak mahu menjelaskan lebih lanjut. 

Firdaus memandangnya seakan tidak puas hati. Namun, belum sempat dia bertanya lagi, Harris terpandang Rosie yang sedang berlari bersama beberapa penumpang lain di hujung koridor. Dia segera mendapatkan gadis itu. 

“Harris!” Rosie menjerit kecil lalu memeluk Harris dengan erat. Dia benar-benar menyangka sudah kehilangan Harris. 

“Baguslah you selamat…” Harris menarik nafas lega.

“Lari ke dewan utama!” jerit satu suara lantang. 

“Harris, cepat! Mereka suruh kita berlindung di dewan utama,” Rosie menarik Harris mengikut beberapa penumpang yang berlari ke satu arah. Tanpa berfikir panjang, Harris menggenggam tangan Rosie dengan erat, sama-sama menyertai kumpulan itu. Mereka berlari menuruni tangga menuju ke aras bawah kapal, mengikut arah seorang anak kapal yang cuba mengawal keadaan. 

“Semua ke dewan utama! Jangan berhenti!” Laung suara itu lagi. 

Bang! Bang! Bang!

Bunyi tembakan semakin jelas kedengaran. Lanun-lanun itu mungkin sudah sampai ke tingkat mereka. 

“Move! Faster!!!” Jeritan lantang memaksa mereka berlari sekuat sekuat hati. 

Akhirnya, mereka sampai ke dalam dewan utama. Di dalamnya, sudah ada berpuluh lagi mangsa yang masih hidup dan ada juga yang tercedera terkena tembakan. Setelah memastikan semua orang masuk, pintu dewan yang diperbuat daripada besi itu ditutup rapat. Dikunci. Beberapa orang yang masih bertenaga menolak segala benda berat yang ada dalam dewan itu ke arah pintu utama dengan harapan dapat menyekat lanun-lanun itu daripada menceroboh masuk ke dalam. 

“You okay?” tanya Harris kembali mendapatkan Rosie selepas menolong kaum lelaki menolak benda berat pada pintu utama. Dia masih memegang tangan Rosie yang masih menggeletar. Ketika itulah dia menyedari ada darah pada tangan Rosie. “Darah…”

“Tak. Bukan darah I. I terjatuh atas…” suara Rosie tersekat, mengeletar. 

“It’s okay. You selamat…” Dia memeluk erat tubuh Rosie. 

Tidak lama kemudian, Harris menyedari sepasang mata memandang tajam ke arahnya. Haslina. Dia faham dengan renungan tajam Haslina. 

“Jangan risau. Dia bersembunyi di tempat yang selamat,” kata Harris. 

“Kau tinggalkan dia seorang diri?” soal Haslina dengan nada tidak puas hati. 

Belum sempat dia hendak membalas, ada satu suara lantang bersuara menenteramkan semua yang ada di dalam dewan itu. 

“Bawa bertenang semua. Kita dah berjaya hubungi talian kecemasan dan bantuan dalam perjalanan. Di harap sesiapa yang berada di sini, akan terus berada di sini. Kita tak tahu berapa ramai lagi mangsa yang telah dibunuh dan masih bersembunyi di luar sana. Sama-samalah kita berdoa bantuan akan sampai secepat mungkin.”

Suasana sedikit reda, namun masih kedengaran esak tangis dan bisikan ketakutan. Dan Harris yang masih menenangkan Rosie, terdengar satu perbualan di belakangnya. 

“Mereka bunuh semua yang ada di dek kolam renang…”

“Habis semua. Ramai kanak-kanak. Langsung tak ada belas kasihan…”

Harris terdiam. Wajahnya berubah pucat. Rosie yang menyedari perubahan itu segera bertanya, “Kenapa?” 

Harris menelan liur, mukanya pucat.

“Kejora… dia bersembunyi di dek kolam renang…” 

***

Bunyi beberapa tembakan dan jeritan masih lagi kedengaran. Mereka, pengganas tidak meninggalkan satu nyawa pun. Tidak kira orang dewasa, orang tua, mahupun kanak-kanak. Apa yang mereka nampak bernyawa, mereka membunuh tanpa belas kasihan. 

Mayat-mayat bergelimpangan di setiap sudut. Bau darah manusia yang masih segar dapat dihidu. Amat kuat aromanya. 

Malam itu terasa begitu panjang, seolah-olah tiada penghujung. Angin malam bertiup lembut, membawa aroma laut masin bercampur dengan darah. Langit yang luas diterangi cahaya bulan mengambang penuh, ditemani bintang-bintang yang berkelip seperti permata di taburan hitam malam. Namun, tiada siapa yang sempat mengagumi keindahan malam di tengah-tengah lautan. Tiada seorang pun yang berani mendongak, tiada jiwa yang bebas untuk menghela nafas lega. 

Entah siapa yang akan pulang dengan selamat, dan entah siapa yang akan hilang ditelan keindahan malam di tengah-tengah laut ini. Segalanya masih menjadi tanda tanya. 

Tetapi satu hal yang pasti…

Malam itu adalah permulaan sebuah mimpi ngeri bagi yang masih bernyawa. 

Dan… satu permulaan bagi yang bangkit daripada kematian…

Dicelah kesunyian itu, tubuh Kejora masih terbaring kaku. Setiap inci tubuhnya membisu tanpa sebarang tanda kehidupan. 

Namun perlahan-lahan, sesuatu yang ganjil mula berlaku. Jemari Kejora yang kaku itu sedikit demi sedikit mula bergerak. Tubuh Kejora mula memberi reaksi.

Kedua-dua matanya terbuka luas, menampakkan anak mata yang berubah warna seperti mata seekor harimau. Jantungnya yang terhenti kini kembali mendapatkan rentak, seiring dengan tarikan nafas pertama.

Malam itu menjadi saksi kepada sesuatu yang tidak sepatutnya kembali hidup…


Bab 2                          

Bab 4

Ulasan