Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR : BAB 2

 




Esoknya, Haslina datang ke bilik Harris untuk menghantar jaket Firdaus. Ketika itu, Firdaus sedang mandi, jadi Harris yang kebetulan belum keluar membuka pintu. 

Haslina tidak banyak bercakap. “Firdaus ada?” tanyanya ringkas. 

“Mandi,” jawab Harris, sambil melirik pada jaket hitam di tangan Haslina. Itulah jaket yang Kejora pakai malam tadi. 

“Aku nak pulangkan jaket dia,” kata Haslina. 

Kebetulan, Firdaus keluar dari kamar mandi. Dia turut terkejut dengan kehadiran Haslina. Harris memberi isyarat. Dengan rambut masih basah, Firdaus menyambut jaketnya daripada tangan Haslina. 

“Kejora mana?” tanya Harris, masih tidak berganjak dari tadi. 

“Bilik,” jawab Haslina sepatah. 

“Dia tak keluar sarapan?”

“Dah. Dia awal-awal lagi dia dah siap terpacak di depan pintu restoran sebelum pintu buka. Ni baru balik makan,” jawab Haslina sebelum berlalu pergi. 

Harris kembali menutup pintu dan duduk di atas katilnya. Matanya memerhati Firdaus yang sedang mengasingkan baju kotornya ke dalam sebuah beg. Kemudian pandangannya beralih kepada jaket hitam di atas katil. 

Timbul rasa kurang selesa di hati Harris. Dia tahu Firdaus seorang yang prihatin, tetapi dia juga tahu Firdaus seorang yang pembersih. Firdaus tidak suka orang lain menyentuh barang-barangnya, termasuk syampu atau sabun mandi. 

Pernah sekali, Suffian menggunakan syampu Firdaus tanpa izin. Firdaus tidak marah dan tidak bersuara, tetapi dia mengambil botol syampu itu dan membuangnya ke dalam tong sampah. Hal itu berulang beberapa kali. Harris yang melihat kejadian itu mula memahami perangai Firdaus dan menasihati Suffian supaya berhenti menggunakan barang-barang Firdaus. Lagiupun, Firdaus tidak pernah mengganggu hidup orang dan lebih suka membuat hal sendiri. 

Sebab itu, apabila Harris nampak Kejora memakai jaket Firdaus semalam, dia berasa tidak senang. Namun, dia cuba buang perasaan itu jauh-jauh. Mungkin kerana malam di tengah laut terlalu sejuk, Firdaus bermurah hati meminjamkan jaketnya kepada Kejora. 

Dia yakin Firdaus akan membuang jaket itu. Baru saja dia terfikir begitu, Firdaus dilihat memakai jaket itu. 

“Kenapa?” tanya Firdaus yang menyedari pandangan pelik Harris.

“Masih mabuk laut lagi ke?” balas Harris, cuba menolak perasaan itu jauh-jauh. 

“Boleh la. Baru nak biasakan diri.”

Tidak lama kemudian, Rosie datang mengetuk pintu. Harris membuka pintu, wajahnya berubah ceria. Selepas itu, mereka bertiga berjalan ke restoran untuk bersarapan. Selepas habis bersarapan, mereka berpecah. Firdaus memilih untuk membawa haluannya sendiri kerana tidak mahu mengganggu Harris dan Rosie.

Hari itu, Harris menghabiskan masa sepenuhnya bersama Rosie. Mereka makan tengah hari bersama, berjalan-jalan di dek utama sambil menikmati pemandangan laut yang luas. Selepas itu, mereka menyertai beberapa aktiviti kapal. Antaranya pertandingan mini golf, kerusi muzik, dan bermacam lagi. 

Rosie juga mengajak Harris menyertai bengkel kraftangan. Mereka berpeluang membuat keychain daripada tali simpul pelaut. Selepas makan, mereka kembali bermain permainan yang disediakan di atas kapal. Setelah penat, mereka duduk di dek hadapan, menikmati hembusan angin lalut sambil berbual tentang impian dan perjalan hidup masing-masing. 

Hari itu terasa tenang. Tiada gangguan daripada Kejora. Buat pertama kali, Harris benar-benar berasa aman damai. 

Menjelang petang, barulah mereka kembali ke bilik masing-masing. Bilik Rosie hanya selang beberapa pintu. Sebelum kembali ke bilik masing-masing sudah berjanji akan bertemu semula jam 9 malam untuk menyaksikan persembahan ahli silap mata yang dijadualkan akan bermula pada setengah jam kemudian.

Setibanya Harris di bilik, dia mendapati Firdaus tiada. Mungkin Firdaus pergi makan malam, fikirnya. Lalu dia segera membersihkan diri. 

Selesai mandi, Firdaus baru pulang. 

“Dari mana?” tanya Harris acuh tak acuh. 

“Doing room service.” jawab Firdaus sambil menanggalkan jam di pergelangan tangan. 

Harris mengerut dahi. 

“Girlfriend kau,” ujar Firdaus tenang. “Semalam disebabkan aku mabuk laut dan tak lalu nak makan, aku bagi dia bekal yang aku bungkus di restoran. Tadi dia mesej, kata teringin nak makan nasi goreng tu lagi tapi dia tak tahu nak beli di mana dan minta aku belikan. Aku belikan untuk dia, dan hantar ke biliknya dan balik,” terang Firdaus sambil bersiap-siap untuk mandi. 

“So, dia okay?” tanya Harris.

“Okay je,” jawab Firdaus pendek sebelum masuk ke kamar mandi. 

Harris termenung. Sejak malam tadi, setiap kali hal melihatkan Kejora dan Firdaus, hatinya berasa tidak tenang. Dia ketawa kecil. Mustahil dia cemburu. Firdaus dan Kejora? Dua orang ini langsung tidak sepadan. Seorang garang macam harimau, seorang lagi hidup dalam dunianya sendiri. 

Namun entah kenapa, perasaan itu tetap ada. 

Harris melihat jam. Ada lebih kurang kurang sejam lagi sebelum janji temunya dengan Rosie. Hatinya masih berkira-kira. Semalam, ketika sedang makan malam bersama-sama Rosie, dia terserempak dengan Haslina yang makan seorang diri. Haslina sempat menasihatinya supaya tidak melayan Kejora dengan dingin. 

“Dia nampak saja garang, tapi Kejora cuma nak pastikan awak masih serius. Kalau awak rasa tak boleh nak teruskan, lebih baik berterus terang saja. Final exam dah habis. Sekurang-kurangnya dia boleh tenangkan diri masa cuti semester nanti,” kata-kata Haslina masih ternyiang-nyiang lagi di telinganya. 

Sejujurnya Harris sendiri tidak pasti jalan yang perlu diambil. Dia sudah sedaya upaya menerima Kejora tapi hatinya masih belum menerima Kejora sepenuhnya. Pendek kata, dia tidak gembira seperti dia gembira dengan Rosie. 

Jika dia meminta putus, dia bimbang Rosie pula akan dipersalahkan. Dia sedar, Kejora antara pelajar popular di universiti, apa-apa yang berlaku padanya pasti menjadi buah mulut. Harris tidak mahu dia dan Rosie menjadi tajuk sensasi. 

Namun, jika dia terus berdiam diri, dia takut keadaan akan bertambah rumit selepas percutian mereka berakhir. 

Akhirnya Harris membuat keputusan berjumpa dengan Kejora. Dia terus ke bilik Kejora tanpa mesej atau hubungi Kejora. 

Ketika dia tiba, Kejora sedang makan. Baru dua sudu masuk ke dalam mulutnya. Dia belum dapat rasa kelazatan seperti malam semalam. Tapi sebab Harris, dia kembali menutup bekas makanan dan keluar bersama Harris. 

Mereka berjalan ke dek utama berdekatan kolam renang. Suasana di situ meriah dengan cahaya lampu berkilauan dan tawa kanak-kanak mandi di kolam. Mereka memilih kerusi menghadap laut, tempat yang memberi sedikit ketenangan dari kesibukan kapal. 

Atas nasihat Haslina, kali ini Kejora lebih berhati-hati mengawal emosinya. Dia berjanji tidak akan menyentuh soal Rosie, dan dia berpegang pada janji itu. Namun, sikap acuh tak acuh Harris membuatkan kesabaran Kejora mula hilang. 

“So, you datang jumpa I semata-mata nak tanya sama ada I rindukan you sehari dua ni?” Kejora tidak dapat menahan diri lagi. “Harris, you yang minta I tak ganggu Rosie. Memandangkan you nak teman Rosie, I dah buat apa yang you arahkan. I tak ganggu korang berdua. Tapi sekarang you tak puas hati sebab I tak ganggu korang berdua? Maknanya you berharap I ganggu korang berdua dan you boleh beri alasan untuk putus dengan I, begitu?”

“I tak maksud begitu…” balas Harris perlahan. 

“I tak sangka you begitu licik. Sebab tu you ajak I ikut sekali. You harap I akan mengamuk di sini, jadi Firdaus rakam video untuk you dan you akan sebarkan video tu di media sosial macam kejadian di restoran mamak tempoh hari. Itu kerja you, bukan?”

“Boleh tak you jangan anggap diri you macam watak utama? Buat apa I nak bersetongkol dengan orang yang sebarkan video pergaduhan kita? I sendiri pun malu dengan video macam tu tersebar.”

“Habis tu, apa yang you nak sebenarnya? Break up?”

Belum sempat Harris membalas, mereka mendengar bunyi jeritan yang kuat. Jeritan panik seseorang dari jauh. Harris dan Kejora berpandangan sesama sendiri. Beberapa saat sebelumnya, suasana di dek utama masih meriah dengan bunyi muzik dan tawa pengunjung yang berhibur di tepi kolam renang. Kini, muzik tiba-tiba berhenti. Keadaan yang bising dengan gelak tawa tadi bertukar sunyi sekitar. Masing-masing cuba beri perhatian. 

Bang! 

Bang!

Semua yang berada di situ terkejut. Ada yang menjerit terperanjat.  

Kemudian, seorang lelaki kedengaran menjerit, “Kapal diserang lanun! Mereka ada senjata. Mereka serang kasino dan ada banyak yang kena tembak! Cepat cari tempat berlindung!”

Habis saja lelaki itu berkata, bunyi tembakan kedengaran lagi seiring dengan jeritan panik serta-merta membuatkan keadaan di situ bertukar bertambah huru-hara. Beberapa orang menjerit ketakutan, ada yang menolak-nolak untuk melarikan diri ke arah lif dan tangga kecemasan. Seorang kanak-kanak menangis kuat sambil ditarik oleh ibunya yang hampir terjatuh. Bunyi kaca pecah dan barang terhempas mula kedengaran dari arah bar berdekatan. 

“Cepat!” Harris menarik tangan Kejora. “Kita kena cari tempat berlindung sekarang.”

Kejora teragak-agak seketika, memandang ke arah laut yang hitam pekat di sisi kapal. “Ke mana kita nak berlindung? Kita di atas kapal yang dikelilingi laut yang sunyi!” suaranya bergetar. 

“Kita turun dulu. Jangan tunggu di tempat terbuka.” Harris memimpin Kejora ke bahagian dalam kapal. 

Namun belum sempat mereka sampai ke pintu masuk, tembakan kedengaran tidak jauh dari situ. Orang ramai menjerit, berselerakan mencari tempat bersembunyi di sebalik kerusi dan meja. Harris kembali menarik Kejora berpatah balik. Dia yakin cari tempat berlindung adalah jalan terbaik sekarang. 

Tiba-tiba dia teringatkan Rosie. Dia mula risau jika ada sesuatu yang buruk terjadi pada Rosie. Dia tak boleh biarkan Rosie sendirian. Dia nekad mahu cari Rosie. Tapi dengan Kejora bersamanya, dia tidak yakin dia boleh melindungi Kejora. Akhirnya dia lihat satu kabinet kecil yang muat-muat untuk Kejora. 

“Sini!” Dalam kekacauan, dia menarik Kejora ke sebuah kabinet berdekatan dengan kaunter pembayaran. “You menyorok dalam ni.”

“Hah? Macam mana dengan you?” Kejora terkejut. Ruang kabinet itu memang cukup untuk satu orang. Walaupun dia ketakutan sekarang, dia tidak sanggup berpisah dengan Harris. 

“I tak boleh nak bahayakan nyawa you…” ujar Harris. 

“You nak pergi mana?” Kejora segera menangkap tangan Harris, menggenggam erat tangan lelaki itu, seperti nyawanya sendiri bergantung pada lelaki itu. Dia tidak sanggup berpisah dengan Harris pada situasi yang genting ini. 

“Jangan risau. Lanun-lanun tu tengah sibuk rombak kasino,” kata Harris, suaranya yakin, seolah-olah dia tahu segalanya. Padahal dia hanya memberi alasan supaya dia dapat tinggalkan Kejora. Dia lebih risaukan keselamatan Rosie. 

“Tak! I tak benarkan you tinggalkan I. Bukan sekarang. I perlukan you!” Suara Kejora bergetar, matanya berkaca. Dia tidak pernah merayu seperti ini. Kali ini dia benar-benar takut. Dia hanya mahu seseorang menemaninya dalam situasi begini. 

“You akan lebih selamat di sini.” Harris melepaskan genggaman tangan Kejora tanpa ragu. Kejora cuba meraih semula tangannya, tetapi Harris sudah menjauh. Dalam sekelip mata, dia hilang dari pandangan, meninggalkannya keseorangan. 

Harris tetap memilih Rosie. 

Harris sanggup mati demi Rosie. 

Lalu… untuk apa aku masih di sini? 

Kata-kata Firdaus malam tadi berputar kembali di kepalanya, “Itulah kebarangkalian. Peluang hidup itu tipis. Kau takkan tahu selagi kau tak bertarung. Kalau kau mati selepas berusaha, sekurang-kurangnya bukan mati dengan sia-sia. Tapi kalau awal-awal kau dah menyerah, mati hidup semula pun takkan bermakna lagi.”

Kejora menarik nafas dalam-dalam. Akhirnya dia pasrah. Dia menutup pintu kabinet rapat-rapat. Dia tekad. Walau semua orang tinggalkannya, walau dunia seakan menolak dirinya, dia akan terus berjuang untuk terus hidup. Dia tidak akan menyerah kalah.

Tiba-tiba, pintu kabinet dibuka dari luar. Seorang wanita sarat mengandung terpandangnya, masing-masing terkejut. Wanita itu meminta maaf dan menutup kembali pintu kabinet. Kejora menyedari wanita itu cuba mencari tempat perlindungan. Hatinya terusik. 

Dia segera memanggil wanita itu dan menawarkan tempat persembunyiannya kepada wanita itu. 

“How about you? Kabinet ini cuma muat untuk seorang.”

“Don’t worry about me. Saya kecil, saya boleh cari tempat lain. Take care,” kata Kejora tersenyum nipis, menahan rasa takut. Dia menutup pintu kabinet untuk wanita itu dan menolak beberapa kotak melindungi tempat persembunyian itu. Tanpa buang masa, dia segera berpaling dan mencari ruang persembunyian yang lain. 

Setiap kabinet, setiap pintu dan setiap ruang yang dibuka penuh dengan manusia ketakutan. Ibu-ibu mendakap anak, ayah-ayah cuba menenangkan ahli keluarga lain. Tempat itu sudah menjadi sarang jiwa-jiwa yang mahu bertahan. Kejora sedar, dia tidak boleh berebut ruang dengan mereka. Dia hanya akan membahayakan mereka semua jika dia terus di sini. Oleh yang demikian, dia mengambil keputusan untuk bergerak ke tempat lain. 

Perlahan-lahan, dia menuruni anak tangga. Nafasnya pendek, dadanya berombak. Dia tidak tahu ke mana tangga itu membawanya. Dia hanya perlu mara. Bunyi tembakan kedengaran sekali lagi disusuli jeritan yang menghiris hati. Tangisan kanak-kanak memanggil ayah dan ibu mereka membuatkan lututnya longlai. Tubuhnya menggigil, tapi dia paksakan kakinya untuk bergerak, menolak pintu rintangan api. 

Kini… di hadapannya terbentang neraka. Mayat-mayat bergelimpangan di atas karpet merah, darah pekat mengalir, mencemarkan warna karpet. 

Kejora kuatkan hati. Dia akhirnya dapat mengecam jalan ini. Ini jalan ke biliknya. Hanya perlu melalui satu tangga di bahagian tengah untuk sampai ke biliknya. Dia tidak tahu tempat mana yang selamat, jadi, misinya sekarang adalah perlu menuju ke tempat yang dia rasa selamat. Biliknya!

Dengan tenaga yang ada, dia melangkah perlahan-lahan, melangkah mayat-mayat yang bergelimpangan. Dia tidak sanggup melihat wajah mereka. Apatah lagi ada kanak-kanak di antara mereka. Mereka mungkin dibunuh ketika cuba cari tempat perlindungan tapi terserempak dengan pengganas itu di salah satu laluan masuk. 

Kejora berhenti melangkah. Dia terfikir sesuatu. Bagaimana kalau pengganas-pengganas itu masih ada lagi di sekitar? 

Dia terdengar suara garau semakin mendekat, datang dari arah tangga yang dilaluinya tadi. Tanpa berlengah, Kejora segera mempercepatkan langkah. Namun, langkahnya tidak cukup laju. Kelibatnya akhirnya dilihat seseorang. Arahan asing bergema dan disusuli dengan tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arahnya. 

Satu peluru mengenai kaki kanannya. Perit. Sakitnya menyambar seluruh urat, tapi dia tetap gagahkan diri. Dengan sisa tenaga yang ada, dia menyeret kakinya, tetap cuba bergerak. 

Satu lagi tembakan dilepaskan. Peluru seterusnya mengenai tubuhnya. Dia hilang imbangan dan rebah. Akhirnya dia rebah, dadahnya berombak-ombak mencari nafas. Saat itu, dia tidak lagi merasa sakit. Pandangannya kabur, dunianya berputar, namun hatinya masih cuba berpegang pada sisa-sisa harapan. 

Dengan sisa nafas yang ada, dia melihat bayang penjenayah tadi yang kini berdiri di hadapannya sambil mengacukan sepucuk pistol ke arah kepalanya. Mata Kejora memejam rapat. Air matanya masih mengalir, tapi bibirnya sempat bergetar, melafazkan kata terakhir dalam hati. 

Dia sedar, hari ini… hari terakhirnya. Dia sudah cuba sedaya upaya untuk hidup, tetapi kematian adalah pasti.

Satu saja penyesalannya… Dia telah bazirkan terlalu banyak masa dengan orang yang salah. 

Peluru terakhir dilepaskan tanpa teragak-agak. Dunianya padam dalam sekelip mata…


Bab 1                                                                                           

Bab 3

Ulasan