Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR : BAB 10

 



Kejora baru saja selesai menyapu peluh di dahi selepas sesi latihan ringkas pagi itu. Bunyi deringan telefon mengejutkannya. Nama yang tertera di skrin membuat dadanya bergetar. Harris. Dia terdiam seketika, jarinya kaku sebelum akhirnya dia menolak panggilan itu tanpa ragu. Telefon pintar kembali diletakkan di atas meja semula. 

Firdaus yang sedang mengelap tangan dengan tuala sempat menjeling. Ini bukan kali pertama dia lihat Kejora tolak panggilan telefon. Awalnya dia tidak mahu masuk campur tapi melihat Kejora berubah mood, akhirnya dia bersuara perlahan, “Siapa?”

 “Harris,” jawab Kejora sepatah.

Firdaus mengangguk kecil dan meneguk air mineral di tangan. Dia sudah agak. 

“Kenapa tak jawab?” soalnya tenang. 

“Aku belum bersedia nak berhadapan dengan dia.”

Firdaus mengangguk lagi. Tiada paksaan dalam nadanya, hanya kefahaman. Namun, belum sempat suasana tenang itu berlarutan, telefon pintar Firdaus pula berbunyi.

“Harris,” ujar Firdaus sambil menunjukkan skrin kepada Kejora. 

Berderau darah Kejora melihat nama Harris pada skrin telefon pintar milik Firdaus. “Jangan jawab. Jangan jawab,” Kejora memberi amaran. 

Tapi siapa Firdaus untuk mengikut arahannya. Lagi dia larang, lagi dia ingkar. Tanpa endahkan arahannya, Firdaus segera menjawab. Kejora hanya diam kaku tetapi telinganya yang tajam dapat mendengar perbualan mereka dengan jelas. 

“Jangan risau. Aku okey je. Masih tak percaya dengan apa yang berlaku,” jawab Firdaus tenang. 

Kejora yang mendengar hanya menjeling. Sekarang baru dia faham bagaimana Firdaus boleh hidup tanpa sesiapa mengesyaki identitinya. Licik!

“Aku buat apa sekarang?” Kemudian Firdaus memandang ke arah Kejora. “Aku busy sikit… jaga anak kucing liar.”

Bulat mata Kejora apabila mendengarnya. Berani Firdaus berkata begitu di depannya. Lalu dia capai sarung tinju dan baling ke arah Firdaus. Tapi Firdaus menangkapnya dengan mudah. 

“Kejora?” Firdaus kembali Kejora apabila Harris bertanya tentang Kejora. “Tak. Aku tak ada jumpanya sejak malam tu. Dia tak ada call kau?”

Mereka berbual seketika sebelum menamatkan panggilan. Kejora masih memandang tajam. 

“Anak kucing liar?” Dia masih tidak puas hati. 

“Harimau sama spesis dengan kucing,” balas Firdaus selamba.

“Aku bukan kucing atau harimau!” Kejora mendengus marah. 

“Okey. Okey. Jangan marah. Sebagai tanda minta maaf… hari ni aku akan masak daging wagyu. Medium rare.”

“Serius?” Mata Kejora terus bersinar. Demi wagyu, dia sanggup lupakan marah sekejap. 

“Dengan satu syarat…” tambah Firdaus.

“Ada syarat pulak…”

“Kau boleh gaduh dengan Harris macam mana pun, tapi jangan sebut pasal aku.”

“Tahu,” jawab Kejora. Beritahu tentang Firdaus kepada Harris akan menambah lagi sengketa mereka. 

Tiba-tiba, skrin telefon pintar Firdaus berkelip seketika. Satu mesej diterima. Wajahnya berubah sedikit, tampak serius.

“Kenapa?” tanya Kejora, perasan akan perubahan itu. 

“Tak ada apa. Spam mesej,” jawab Firdaus, tenang. 

Kejora menghela nafas perlahan. Suaranya kemudian berubah lembut namun berat, “Haslina ada hubungi aku beberapa hari yang lepas,” katanya tiba-tiba, suaranya lembut tapi berat. “Dia tanya keadaan aku, tapi sebenarnya aku rasa dia sendiri tak okey. Dia cakap nak berhenti belajar. Selamanya.”

“So, kau risau?”

“Risaulah,” suara Kejora keras sambil menjeling tajam ke arah Firdaus. Kadangkala dia pelik dengan Firdaus. Terlalu tenang, seolah tidak peduli dengan orang sekeliling. “Aku rasa bersalah. Aku yakin dia masih trauma dengan apa yang jadi malam tu.”

“Kau nak jumpa dia?”

Mata Kejora kembali bersinar. “Boleh?”

“Soalan tu, kau kena tanya diri kau. Kau yakin kau boleh handle?”

“Dah tentu. Dia kawan baik aku. Satu-satunya yang tahan perangai harimau aku,” jawab Kejora sambil tersengih. 

Firdaus tersenyum kecil. “Kau boleh ajak dia datang sini. Bermalam. Anggap ini latihan juga. Bukan fizikal tapi untuk hati. Kalau kau berjaya kawal diri, aku bawa kau pergi shopping…”

“Shopping…” Mata Kejora lagi bersinar. Sudah lama dia tidak keluar shopping. Inilah masanya untuk dia buktikan bahawa dia bukan ancaman!

***

Bunyi enjin kereta di luar membuatkan Kejora tersentak kecil. Hatinya berdebar. Bukan kerana takut, tapi teruja. Dari tadi dia menunggu-nunggu kedatangan Haslina. Sahabat baiknya itu sudah menghantar mesej, memaklumkan akan datang pada hari ini. Tidak lama kemudian, loceng rumah berbunyi. 

Ting tong!

Kejora pantas keluar dari bilik dan menuruni tangga dengan langkah laju. Degupan jantungnya seperti berlumba dengan setiap hentakan kaki di anak tangga. 

Apabila pintu dibuka, wajah Haslina menyambutnya dengan senyuman lebar. Mereka berdua saling berpandangan beberapa saat seolah-olah masa berhenti sebentar sebelum Kejora memeluk sahabat karibnya itu dengan erat. 

“Kau apa khabar?” tanya Haslina apabila pelukan dileraikan. 

“Jangan risau. Aku mungkin dah kuat makan sekarang tapi badan aku masih maintain,” kata Kejora, apabila menyedari perubahan pada wajah Haslina yang mungkin melihat perubahan pada tubuhnya. 

“Kuat makan? Kau makan apa? Kurus lagi ni,” ujar Haslina berseloroh. Mereka ketawa. 

Kejora lantas menjemput Haslina masuk. Haslina melangkah ke dalam tanpa berlengah lagi. Sama seperti Kejora ketika pertama kali masuk Istana Jati, Haslina juga kelihatan kagum dengan suasana di depan matanya. 

“Rumah kau?”

“I wish… tapi malangnya bukan,” jawab Kejora sambil tersenyum.

“Firdaus?” Haslina terpandang lelaki itu yang berdiri di tepi tangga di tingkat atas. Firdaus hanya mengangkat tangan, menyapa ringkat sebelum beredar. 

“Okey, aku boleh terangkan satu per satu. Sambil tu… jom kita makan steamboat dulu. Kau mesti dah lapar memandu ke sini,” ajak Kejora menarik tangan Haslina ke halaman berhampiran dengan kolam ikan. 

Sambil menikmati steamboat, sambil itu Kejora menceritakan serba sedikit tentang kehidupannya kebelakangan ini. Namun dia tidak berani mendedahkan perkara sebenar yang terjadi. Cukup sekadar memberitahu bahawa ada pihak yang cuba mencederakannya dan Firdaus dilantik untuk melindunginya. 

“So, Firdaus tu bodyguard yang ayah kau upah?” 

“Macam tu lah.” 

“Dia selamatkan kau malam tu?”

Kejora mengangguk perlahan. Aroma sup yang kian harum menandakan steamboat sudah sedia untuk dinikmati. Mereka mula mencelup bahan satu per satu sambil bercerita tentang kejadian malam itu. 

“Huh, nasib baik ada dia. Keadaan malam tu agak kelam-kabut,” luah Haslina perlahan.

“Tapi nasib baik kau selamat juga.” balas Kejora sambil menghulur air oren kepada Haslina. “Tapi aku sedih kau nak drop belajar macam tu je.”

“Bukan sebab trauma,” jawab Haslina perlahan. “Aku ada sedikit masalah keluarga. Ada benda yang perlu diuruskan.”

Kejora tunduk seketika. “Aku rasa bersalah sebab aku yang paksa kau join juga. Kalaulah aku tak degil…” Kejora mengeluh perlahan. 

“Eh, jangan fikir macam tu,” pintas Haslina lembut. “Benda dah terjadi. Jangan simpan rasa bersalah tu dalam hati. Yang penting kita berdua selamat.”

Kejora mengangguk. Ya. Yang penting, Haslina selamat. Hatinya tenang dan gembira melihat sahabatnya di depan mata, sihat dan tersenyum. Mereka terus berbual sambil menikmati steamboat, sesekali ketawa besar mengimbau kenangan lama. 

Pertemuan itu bukan sahaja mengikat semula tali persahabatan mereka, tetapi juga menjadi bukti bahawa Kejora kini mampu mengawal dirinya. Dia berasa selesa, tenang dan selamat. 

Namun dari jauh, Firdaus hanya memerhati mereka berdua tanpa berkelip. Wajahnya serius. Bukan kerana bimbang akan keselamatan Haslina atau tidak percayakan Kejora tetapi kerana ada sesuatu yang dia rasakan… sesuatu yang belum pasti. 

***

Malam di Istana Jati terasa luar biasa tenang. Angin sepoi-sepoi menyusup masuk melalu celah jendela besar, membawa bersama bau kayu gaharu dan bunga cempaka yang ditanam di halaman belakang. Firdaus terjaga daripada lena. Ada sesuatu yang dirasanya tidak kena. Seperti ada panggilan halus yang mengusik nalurinya pada malam itu. 

Tanpa banyak fikir, Firdaus bangun dan mencapai jaket hitamnya. Zip ditarik perlahan, bunyi bergema perlahan. Dia keluar dari bilik dan menuruni tangga utama. Setibanya di bawah, pandangan Firdaus tertumpu pada satu sudut ruang tamu. Di situ, Haslina sedang duduk di sebuah meja bulat, seorang diri. Asap nipis naik dari cawan teh di tangannya, melingkar perlahan di udara sebelum lenyap di bawa angin. 

Namun, yang menarik perhatian Firdaus bukanlah teh itu tetapi pandangan Haslina yang tertumpu pada dinding gergasi di hadapannya. Dinding itu dipenuhi ukiran kayu yang rumit, menggambarkan hutan purba dengan pepohon yang menjulang, akar yang berselirat dan bayang-bayang makhluk-makhluk aneh yang tersirat di celahnya. 

Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri Haslina. Dalam masa yang sama, ingatannya melayang teringatkan kejadian pada malam berdarah itu…

Ulasan