Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR : BAB 1

 



Setelah berminggu berjuang menempuh peperiksaan akhir, kini tiba saat yang dinanti-nantikan. Cuti semester akhirnya bermula. Seperti kebiasaan, setiap kali semester berakhir, penghuni kolej akan diminta mengosongkan bilik masing-masing sebelum pulang ke kampung halaman. Namun bagi Kejora, dia perlu memikirkan ke mana harus dituju kerana dia tidak mempunyai keluarga atau rumah yang tetap untuk pulang. 

Ke rumah ibunya? Ibunya kini sudah mempunyai keluarga baru, dan hubungan dia dengan keluarga baru ibunya juga tidak begitu rapat. Pergi ke rumah bapanya? Sudah bertahun lamanya dia tidak berjumpa bapanya, malah dia sendiri tidak tahu di mana bapanya berada sekarang. 

Walaupun begitu, Kejora tidak pernah menyimpan dendam atau rasa marah terhadap mereka. Baginya, setiap orang berhak dengan jalan hidup masing-masing. Dia pula sudah terbiasa berdikari dan selesa dengan kehidupan sekarang. Bebas melakukan apa sahaja, asalkan tidak melanggar peraturan. 

Namun kali ini berbeza. Buat pertama kalinya, pada malam itu, Kejora berkemas untuk menaiki kapal persiaran. Sepanjang hidup, dia tidak pernah terfikir untuk bercuti di atas kapal mewah begitu. Mungkin kerana dia lebih gemar berjalan bebas daripada ‘terkurung’ di sebuah tempat yang dikelilingi lautan luas. 

Keesokan harinya, Harris kembali mencipta masalah. Harris sudah berjanji akan menjemput Kejora dan Haslina ke jeti, tetapi yang muncul hanyalah Firdaus. Bila ditanya, Firdaus hanya berdalih dan mengatakan Harris tengah tunggu di jeti. Dari situ, Kejora sudah dapat mengagak, Harris sudah pasti pergi menjemput Rosie. Amat nyata sekali, Harris lebih mengutamakan Rosie daripada teman wanitanya sendiri. 

Mereka tiba di jeti lebih awal daripada yang dirancang kerana jalan raya yang lancar. Tidak banyak halangan untuk sampai ke destinasi. Setibanya di jeti, suasana masih lengang dan tidak ramai orang kelihatan. Harris juga tidak kelihatan. 

Orang ramai hanya mula memenuhi kawasan itu kira-kira sejam sebelum kapal dijadualkan berangkat. Ketika itulah kelibat Harris muncul, seperti yang sudah dijangka, bersama-sama Rosie. Lebih menyakitkan hati, Rosie mendekati mereka dengan senyuman ceria tanpa sedikit pun menunjukkan rasa bersalah. Tidak hairanlah Kejora naik angin. 

Sepanjang proses pendaftaran sehinggalah masuk ke kabin di dalam kapal, Kejora memilih untuk mendiamkan diri. Diamnya bukan kerana tiada kata, tetapi kerana amarahnya terlalu berat untuk diluahkan. Lagi membuatkan dia marah biliknya dengan bilik mereka berada di lantai yang berbeza!

Rosie menjelaskan bahawa dia sengaja menempah bilik itu untuk Kejora dan Haslina kerana bilik tersebut sering menjadi pilihan utama pengunjung. Keistimewaannya terletak pada beranda yang luas serta tingkap menghadap laut, membolehkan pengunjung menikmati cahaya matahari, merasai tiupan angin segar, dan melihat panorama biru terbentang sejauh mata memandang. 

Tapi bagi Kejora, semua itu tidak penting! 

Dia hanya mahukan Harris. Tapi lelaki itu langsung tidak mempedulikannya. Langsung tidak mencarinya atau menghubunginya atau bertanya sama ada dia sudah makan atau belum. Dia tertunggu-tunggu Harris menghubunginya dan mengajaknya makan malam tapi satu mesej pun tidak diterima. Nak kata telefon dia rosak tak juga. Dia boleh saja melayari Internet dan periksa laman sosial seperti biasa. Jika ada masalah talian, sudah tentu dia tidak dapat melayari Internet sekarang. 

Kejora mendengus marah. 

Tatkala itulah Haslina memujuknya ke restoran. Setiap pengunjung diberi kupon makan malam secara percuma. Tetapi jikalau pengunjung mahu menikmati makanan lain seperti makanan Jepun, Korea, Chinese, Western dan makanan Melayu, ada 5 buah restoran yang boleh mereka kunjungi. Cuma kena bayar pakai duit sendiri. 

Memandangkan mereka masih belajar, jadi mereka lebih memilih untuk menggunakan kupon sedia ada. Tapi Kejora masih lagi marah. Dia tidak ada mood hendak makan. Haslina pujuk macam mana pun, dia tetap berkeras. Akhirnya Haslina akur dan pergi makan seorang diri. 

Selepas Haslina pergi, Kejora kebosanan di dalam bilik. Lalu, dia pun keluar mengambil angin. Dia sengaja pilih dek yang tidak ramai orang. Dari situ dia dapat melihat keadaan laut pada waktu malam yang gelap terbentang luas di waktu malam. 

Dek itu hanya diterangi satu dua cahaya lampu. Tidak semeriah dek utama yang berdekatan dengan kolam renang. Namun Kejora tidak peduli. Yang penting, tiada siapa mengganggunya. 

Baru sahaja dia hendak layan perasaan, dia terdengar sesuatu. Matanya mengecil apabila melihat satu susuk tubuh sedang duduk mencangkung di suatu sudut. 

“Firdaus? Apa kau buat kat sini?” 

“Saja. Nak hirup udara segar,” jawab Firdaus tenang. 

“Kau mabuk laut?” 

Dia ketawa perlahan. “Kau boleh ketawa kalau itu boleh buat kau gembira.”

Kejora tidak dapat menahan tawa. Dia sangka Firdaus hanya bergurau, tapi rupanya lelaki itu benar-benar mabuk laut. Lalu Kejora menolong Firdaus duduk di sebuah bangku malas yang disediakan di dek itu. 

“Kau perlukan pertolongan untuk kembali ke bilik?” tanya Kejora. 

“Mungkin kau boleh hubungi Harris. Kebetulan aku tak bawa handset,” jawab Firdaus laju. 

“Kalau macam tu aku tak boleh tolong kau. Aku masih marah dengan Harris.”

“Okey,” Firdaus kembali bersandar di kerusi. Angin malam menyapa lembut membawa bau laut yang masin. Dia perasan Kejora memeluk tubuh seperti kesejukan. Perlahan-lahan dia menanggalkan jaketnya dan hulurkan kepada Kejora. 

“Kau pula? Tak sejuk?” tanya Kejora serba salah. 

“Aku dah pakai tiga lapis baju,” Firdaus menunjukkan lapisan pakaian yang dipakainya, termasuk sweater tebal. 

Kejora tergelak kecil. “Sorry la. Aku mengaku, aku terlampau ikut perasaan sampai heret kau sekali naik cruise ni. Aku pun rasa menyesal sekarang. Tak ada apa yang menarik. Macam terperangkap di sebuah pulau di tengah-tengah laut.”

“Sekurang-kurangnya ‘pulau’ ini penuh dengan orang dan restoran,” balas Firdaus tenang. “Tapi kalau kau terkandas di pulau seorang diri, jangan takut. Pengalaman tu yang akan membuat kau lebih berani.”

“Bau laut membuatkan kau pandai berfalsafah ke?” Kejora tertawa kecil. “Realitinya, peluang untuk terus hidup di sebuah pulau tanpa berpenghuni adalah tipis. Tak semua orang akan jadi seperti Tarzan.”

“Itulah keberangkalian. Peluang hidup itu tipis. Kau takkan tahu selagi kau tak bertarung. Kalau kau mati selepas berusaha, sekurang-kurangnya bukan mati dengan sia-sia. Tapi kalau awal-awal kau dah menyerah, mati hidup semula pun takkan bermakna lagi,” kata Firdaus dengan nada tenang. 

Kejora tiba-tiba mendapat idea. “Aku rasa… aku patut kenalkan kau dengan Haslina. Dia pandai berfalsafah. Kau orang berdua patut berbual selalu. Mana tahu… jodoh.” Dia tergelak kecil. Entah kenapa baru sekarang terlintas fikirannya hal itu. Boleh jadi kerana dia tidak beberapa kenal Firdaus. Dia hanya tahu Firdaus selalu hangout dengan Harris dan Harris tidak pernah berbual tentang Firdaus. 

Oh ya, hanya sekali. Harris pernah beritahu betapa peliknya Firdaus. Firdaus umpama lelaki halimunan. Dia sentiasa ada tapi orang tak perasan dia wujud. Mungkin sebab Firdaus suka buat hal sendiri dan tak ganggu hidup orang. Dia sentiasa ada jika Harris perlukan bantuan dan akan menolong sesiapa tanpa mengharapkan balasan. Cuma kadangkala Firdaus bersikap tidak peduli dengan situasi yang berlaku di sekitarnya.  

Perut Kejora tiba-tiba berbunyi kuat. 

“Lapar?” Firdaus juga mendengar dengan jelas. 

“Kau fikir aku ada selera makan bila boyfriend sendiri layan perempuan lain?” Kejora buat muka. 

Firdaus tersenyum dan menghulur sebuah beg plastik berisi bekas makanan lut sinar. “Nah. Aku pun tak ada selera makan sebenarnya.”

“Apa ni?”

“Nasi goreng.”

“Nasi goreng warna merah? Gaul dengan darah manusia ke?” ujar Kejora berseloroh. 

“Kalau ya, aku orang pertama yang terjun laut sekarang,” Firdaus membalas selamba. “Ni nasi goreng buah naga. Biasanya ungu sikit, tapi mungkin mereka guna buah naga berwarna merah kali ini…”

Kejora mengangkat kening. “Aku tak pernah dengar atau makan nasi goreng buah naga…”

“Baguslah. Gembira aku mendengarnya. Maknanya aku dah kenalkan makanan baru kepada kau. Macam tukang masak mencipta resepi baru untuk pelanggan.”

“Jadi, pelanggan yang jakun ini berhak complain menu baru ini.” Kejora akhirnya membuka bekas itu. Perutnya sudah tidak tahan lagi. Lalu dia menyuap sesudu nasi ke mulut. 

“How?” tanya Firdaus. 

“Shut up, Firdaus! Kenapa sekarang baru kau muncul dan kenalkan nasi goreng buah naga?” Kejora tiba-tiba marah bercampur suka. Selama ini dia benci nasi goreng sebab banyak minyak. Dia bukan takut gemuk tapi dia amat pemalas nak bersenam dan lari 10 kilometer setiap hari. Kali ini dia makan dengan penuh selera. 

Firdaus tersenyum bangga. 

“Kalau aku gemuk sebab makan nasi goreng ni, aku saman kau!”

“Bill me.” 

Sedang Kejora asyik makan, telefon pintarnya berbunyi. Haslina menghubungi melalui WhatApp video. Kejora segera menjawab. 

“Ke mana kau pergi?” tanya Haslina yang mungkin sudah kembali ke bilik mereka. 

“Di deck. Makan.”

“Makan apa? Seorang diri?” 

“Ada Firdaus sekali. Dia mabuk laut jadi dia bagi aku nasi goreng paling sedap atas kapal ni. Jangan risau, aku takkan kebuluran.”

Panggilan ditamatkan selepas Haslina berpuas hati keberadaannya. Namun Kejora ada rasa pelik. Haslina tidak banyak soal selepas dia sebut nama Firdaus. Firdaus tengah mabuk laut kot. Mustahil Haslina boleh mengharapkan Firdaus boleh tunjukkan jalan jika dia lupa jalan? 

“Nampaknya Haslina begitu percayakan kau,” kata Kejora. 

“Sebab?”

“Susah sikit aku nak terangkan. Tapi kadangkala aku rasa Haslina ni macam orang tua yang makan garam secukup rasa.”

“Aku tak faham.”

“Maksud aku, kadangkala aku rasa dia macam versi mak-mak yang sangat-sangat prihatin dengan anak mereka. Contohnya, dia nak tahu dengan siapa aku berkawan dan dengan siapa aku makan. Pernah sekali aku keluar pergi beli barang dan aku terserempak dengan budak fakulti lain dan dia pelawa untuk tumpangkan aku. Disebabkan aku kenal dia, jadi aku pun setuju. Tapi bila Haslina dapat tahu, dia punya risau tu buat aku taubat naik dengan mereka. Tapi bila dia dengar aku ada dengan kau, dia umpama bagi green light.”

“Maknanya kau ada kawan yang baik dan prihatin. Mungkin persekitaran dia hidup sebelum ni membuatkan dia lebih peka dengan kawan-kawan baik dia. Jadi, jangan sia-siakan kawan macam Haslina.”

“Kau masih tak faham lagi? Aku tengah perkenalkan betapa baiknya Haslina. Setahu aku kau masih single. Apa kata, ambil peluang ni pikat dia…” Kejora tersengih. 

“Terima kasih…” Firdaus tersengih. Wajahnya tampak kurang selesa berbicara hal ini. Jadi, Kejora tidak mahu sambung sembang topik ini. 

“Kau pasti kau boleh survive esok? Ada satu malam lagi mabuk laut yang kau kena hadapi.”

“Jangan risau. Ini bukan kali pertama…”

“Bila kali terakhir?”

“Mungkin… 15 tahun yang lepas…”

“Apa jadi masa tu?” 

“Ibu bapa aku meninggal dunia,” kata Firdaus perlahan. 

Kejora tersentak. “Sorry, aku tak sengaja nak ungkit.” Dia cuma mahu bersembang ringan, tak sangka pula topik itu menyentuh kenangan pahit.

“Tak apa. Semuanya sudah berlalu. Lagipun ada orang lain yang lagi malang daripada aku,” Firdaus balas dengan nada tenang. 

“Betul cakap kau. Aku pun selalu ingatkan diri aku macam tu. Ibu bapa aku bercerai masa aku kecil. Mulanya aku rasa dunia ni tak adil tapi bila mula hidup berdikari di asrama, aku jumpa bermacam-macam pengalaman orang lain yang lagi dahsyat daripada apa yang aku alami. Dalam situasi aku, sekurang-kurangnya ibu bapa aku masih hidup. Mereka mungkin terlampau sibuk dengan kehidupan masing-masing, aku tak pernah rasa mereka dah lupakan aku. Sebab tu aku tak nak simpan dendam pada mereka. Aku hanya nak hargai kehidupan aku. Cari kebahagiaan aku. Sebab tu aku berusaha untuk pastikan Harris akan jadi milik aku!”

Firdaus hanya tersenyum. Tak sangka Kejora begitu kuat daripada jangkaannya. 

“Ah, panjang umur dia…” guman Kejora apabila ternampak Harris sedang menghampiri mereka. 

“Hai Harris. Long time no see. Apa kau buat di sini?” Kejora menegur Harris dengan nada sinis.

“You tak perlu perli I macam I dah buat satu kesalahan yang besar,” balas Harris. “I datang pun sebab Haslina call I banyak kali.”

“So, you nak komplen pasal Haslina sekarang?”

“I tak nak gaduh dengan you malam ni,” ujar Harris. 

Kejora yang sudah habis makan bangun dari tempat duduk. Ketika itu barulah Harris menyedari jaket yang dipakai oleh Kejora. Dia kenal jaket itu. Milik Firdaus. 

“Bagus. I pun tak nak gaduh dengan you,” kata Kejora sebelum berlalu pergi. Hari ini dia sudah penat. Dia tiada tenaga untuk bergaduh dengan Harris lagi. Lebih baik balik bilik dan tidur.


Prolog

Bab 2

Ulasan