Romeo yang Hilang: Bab 11

Perlu balik ke?” tanya Adam yang masih berbaring di atas katil. Kalau boleh dia tak mahu tinggalkan katil itu apatah lagi rumah mak mertuanya itu. Hampir seminggu bercuti di kampung, akhirnya tibalah masanya untuk mereka pulang ke bandar semula. Cuti sudah habis. Kini masa untuk honeymoon dengan kerja yang berlambak-lambak di Kuala Lumpur.
Habis tu?” Apy Elina bercekak pinggang. Dari tadi dia tak habis-habis mengemas pakaian mereka masuk ke dalam bagasi, suaminya pula tak habis-habis tanya soalan yang sama.
Rasanya macam baru semalam kita sampai sini,” tambah Adam lagi kecewa.
Pak cik, sedar sikit. Dah seminggu kita di sini,” balas isterinya.

Apa kata kalau kita tinggal di sini terus? Kesian mak awak tinggal seorang, tak ada sesiapa meneman,” cadang Adam terus bangun dengan terujanya.
Habis tu kerja awak macam mana? Siapa nak jadi bos kat ofis tu?” Apy Elina cuba mengingatkan Adam.
Adam mengeluh panjang. Betul kata isterinya itu. Ada banyak kerja yang sedang menantinya setibanya di Kuala Lumpur nanti. Dia berat hati hendak tinggalkan kampung yang aman damai ini. Sepanjang hidupnya, belum pernah lagi dia menjalani hidup dengan aman dan tenteram begini. Tempat ini sama seperti tempat yang dia impikan selama ini.
Janganlah risaukan mak saya tu. Dekat sini dia banyak adik-beradik dan saudara mara. Lagipun Angah tinggal tak jauh dari sini. Boleh dikatakan selang seminggu dia balik. Kalau dia nak ponteng kerja pun dia datang sini juga. Jadi, tak perlulah risau sangat,” tambah Apy Elina lagi.
Seperti Adam, dia juga risaukan emaknya. Pernah juga dia ajak emaknya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur tapi seperti biasa emaknya pasti akan menolak perlawaannya itu dengan alasan yang cukup skema.
Kalau mak tinggal dengan kau di sana, siapa nak bagi ayam dengan itik kat belakang tu makan?”
Alasan ini cukup terkenal yang pernah didengarnya. Padahal maknya bukan meneternak ayam atau itik di belakang rumah. Memanglah banyak ayam dan itik di belakang rumahnya tapi kebanyakannya ayam dan itik tidak bertuan. Hanya datang untuk makan di belakang rumahnya kerana emaknya rajin bagi makan.
Bila si emak sudah bagi alasan begitu, dia sebagai anak, kena faham. Itu maknanya walau apa pun yang berlaku, emaknya memang tak suka tinggalkan rumah peninggalan itu. Apy Elina hanya mengharapkan jiran-jiran dan saudara mara yang tinggal berdekatan menemani emaknya.
Setakat ini belum lagi terjadi apa-apa. Mungkin kerana rukun tetangga masih lagi kuat di area situ. Maklumlah kebanyakan yang duduk di sekeliling kampung itu merupakan ibu tunggal yang tinggal seorang diri. Jadi, rondaan rukun tetangga memang diperkuatkan.
Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan deringan telefon bimbit Adam. Adam segera mengeluarkan telefon bimbitnya di poket seluarnya. Dia melihat skrin, satu panggilan daripada private nombor diterimanya.
Abang tunggu kat bawah,” ujarnya kepada isterinya sebelum bergegas keluar dari bilik.
Apy Elina mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya itu. Tiap kali ada panggilan mesti Adam akan menjawab jauh daripadanya. Bukan sekali tapi banyak kali. Yang peliknya, hanya mereka berada di kampung. Selalunya walau ada urusan syarikat apa pun, Adam pasti akan menjawab panggilan di hadapannya. Cuma kali ini.
Adam ada kekasih baru? Atau ada perempuan simpanan? Atau isteri simpanan? Macam macam yang difikirkannya. Lelaki. Kalau jawab panggilan sembunyi-sembunyi macam itu pastilah mesti ada rahsia yang mereka sembunyikan.
Walaupun dia berfikir begitu, tapi dia kurang yakin Adam ada hubungan sulit. Dia tahu siapa Adam. Dia kenal perangai Adam. Jeling untuk tengok perempuan yang lalu di depan mata pun tak pernah. Tapi kalau tengok bola keranjang melantun-lantun di depan mata, memang tak berkelip dilihatnya. Itulah Adam.
Ini tak lain dan tak bukan mesti pasal hal keluarga Alexander. Apy Elina mengeluh panjang. Walaupun Adam tak pernah berkongsi tentang itu, tetapi dia tahu suaminya itu masih belum boleh tarik diri sepenuhnya daripada keluarga Alexander. Kalau pergi ke mana-mana, orang masih lagi menghormati Adam sebagai sebahagian daripada keluarga Alexander. Seperti kata Mellissa, Adam tak boleh lari daripada keluarga itu sebab dia pernah jadi sebahagian daripada keluarga itu.
Malah, sebelum berkahwin lagi, Dato’ Azrina yang pernah menjadi ibu kepada suaminya itu, pernah mengingatkan dia tentang keluarga Alexander. Mahu atau tidak, dia sudah menjadi sebahagian daripada keluarga itu. Oleh itu, dia kena bersedia dengan sebarang ancaman yang boleh merosakkan rumah tangga mereka.
Mama dah lama jadi sebahagian daripada keluarga Alexander. Apa yang mama boleh tolong hanyalah satu nasihat. Kamu perlu kuat dari segi mental dan fizikal. Kalau kamu lemah, sesiapa saja boleh ambil peluang ini dan jatuhkan kamu dalam sekelip mata. Keluarga Alexander ada ramai musuh yang dengki sampaikan kami sendiri pun tak tahu siapa mereka. Jadi, walau apa pun yang berlaku, kamu perlu kuat. Suatu hari nanti, kamu akan nampak satu persatu kebenaran dalam keluarga ni dan masa tu, jangan terkejut kalau orang yang kamu kenal jadi seseorang yang kamu tak kenal langsung.”
Kata-kata Dato’ Azrina, ibu mertuanya itu masih lagi ternyiang-nyiang di telinganya. Dia tak pernah melupakan atau mengambil mudah kata-kata itu. Dato’ Azrina lebih makan garam dalam hal ini, mungkin apa yang dikatakan oleh ibu mertuanya itu bukan untuk menakut-nakutkannya tapi supaya dia lebih berhati-hati.
Selepas mengemas kain baju dan semua barang, dia segera membawa beg bagasi ke bawah. Di bawah, bonet kereta sudah pun terbuka manakala enjin kereta telah pun dihidupkan. Dari jauh dia dapat melihat suaminya sedang berbual dengan seseorang melalui telefon.
Apy Elina tidak mengambil pusing. Kalau Adam tak mahu berkongsi dengannya, itu maknanya memang Adam tak nak dia tahu. Kalau dia berkeras juga memaksa Adam membuka mulut, itu maknanya derhaka kepada suami. Adam bukan lagi anak muridnya tapi kini sudah menjadi suaminya. Lagipun dia kenal Adam, kalau Adam hendak berkongsi, memang sudah lama dia buka mulut tanpa dipaksa. Jadi, dia tak mahu buang masa memikirkan hal itu.
Mak jangan menangis tau. Apy nak balik KL dah ni,” tegur Apy Elina kepada Puan Fatimah yang duduk di kerusi di luar rumah. Tempat itulah menjadi sarang lepak mereka sekeluarga dahulu.
Huh, tak ada maknanya mak nak menangis. Kau duduk lama-lama dalam rumah mak ni yang buat mak menangis. Jadi lebih baik kau balik KL sekarang. Dapatlah mak bersenang-lenang macam mak datin dalam rumah ni,” balas Puan Fatimah tak nak mengalah.
Mak ni macam halau Apy je,” balas Apy Elina pura-pura merajuk.
Dah hobi mak halau kau dari rumah. Kalau tak kerana mak halau kau dulu, kau mesti takkan kahwin sekarang sebab tak ada siapa yang sudi jadikan kau isteri. Hah, sekarang mak nak halau kau lagi. Semoga kali ni mak dapat cucu. Amin.”
Apy Elina terdiam. Tak tahu nak kata apa lagi dah. Nak membalas, macam bagi alasan pula. Lebih baik dia diam. Malas nak komen panjang-panjang pasal anak. Nak kata belum ada rezeki lagi nanti macam-macam pula ceramah agama yang dia kena tadah telinga dengar.
Pasangan mana yang berkahwin tak nak anak. Begitu juga dia dengan Adam. Mereka tidak merancang. Kalau boleh dia juga nak anak tapi apakan daya kalau ditakdirkan belum ada rezeki lagi.
Semua barang dah ada?” sapa Adam tiba-tiba mengejutkannya. Dia langsung tak perasan Adam sudah berdiri di sebelahnya. Bunyi tapak kasut pun dia tak dengar. Macam ninja pula berjalan tanpa bunyi.
Dah,” jawabnya sepatah. “Nak gerak sekarang ke?”
Adam mengangguk.
Mak kami balik dulu,” Apy Elina segera bersalaman dengan emaknya dan diikuti dengan Adam.
Puan Fatimah hanya melihat mereka berdua melangkah masuk ke dalam kenderaan mereka. Sayu hatinya. Hati ibu mana yang tak sedih kalau semua anak-anak yang dibesarkan dulu, kini tak tinggal dengannya.
Kalau diikutkan hati memang dia ingin semua anak-anaknya tinggal dengannya tapi arwah suaminya sudah berpesan supaya jangan memaksa anak-anak tinggal di situ. Biarlah mereka membuat keputusan sendiri. Tiba masanya pulanglah mereka ke rumah itu. Sehingga hari ini, dia masih berpegang dengan janjinya. Tak mengapalah. Asalkan semua anak-anaknya bahagia dengan hidup masing-masing.
Sebentar kemudian, kereta yang dipandu oleh Adam memulakan perjalanan. Kampung halaman ditinggalkan.
Ah, tak sangka dah seminggu kita di sini…” keluh Apy Elina kembali menoleh ke belakang. Rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya kini semakin mengecil di mata.
Mmm… tapi kita ada berita buruk,” ujar Adam tiba-tiba.
Buruk?” pantas dia memandang wajah suaminya. Serius sungguh wajah Adam ketika itu. Hatinya mula tak tenteram. Adam bukan jenis yang suka bergurau. Kalau dia kata ada berita buruk memang buruklah berita itu.
Awak nak ke mana ni?” tanya Apy Elina apbila melihat Adam berhenti di banggunan deretan kedai.
Tunggu jap,” Adam keluar dan berlalu ke sebuah kedai runcit. Dari dalam kereta dia nampak Adam sedang memilih surat khabar. Ini memang betul-betul berita buruk. Dia pasti! Berita buruk Adam selalunya akan terpampang dalam surat khabar. Kalau tak pasal urusan kerja mesti urusan kongsi gelap!
Tak lama kemudian, Adam kembali masuk ke dalam kereta. Surat khabar itu diberikan kepada isterinya.
Apa yang buruknya? Syarikat awak ada masalah ke?” tanya Apy Elina melilau mencari berita niaga.
Bukan. Cuba baca ruangan gosip artis,” Adam beri senaskah surat khabar yang diasingkan dengan surat khabar yang lain.
Awak ada nakal-nakal lagi ke masa saya tak ada di sini?” tanya Apy Elina sambil menjeling tajam.
Ini mesti ada apa-apa. Gosip pasal Adam jadi lelaki VVIP yang dikatakan support seorang artis wanita lagi ke? Biarpun dia tahu gosip itu adalah palsu semata-mata nak naikkan jualan akhbar tapi sebagai isteri, memang kesabarannya teruji. Apatah lagi terpaksa membaca pengakuan makhluk gedik yang mengaku ada hubungan dengan suaminya. Stres dibuatnya!
Cubalah baca dulu. Tengok siapa yang buat hal kali ni,” balas Adam.
Kata-kata Adam tadi buat Apy Elina pula cuak. Jangan-jangan kali ini dia punya gosip. Walaupun dia bukan artis tapi pernah juga sekali dia jadi bahan gosip artis dalam akhbar begini. Apa pula kali ini?
Tanpa berlengah lagi dia segera menyelak akhbar itu. Tapi dia undur kembali. Kembali lihat muka hadapan surat khabar itu. Satu wajah yang amat dikenalinya terpampang sebagai tajuk hadapan surat khabar itu.
Liliyana – Izwan sah bercinta!
Apa?” Apy Elina terkejut besar.
Izwan? Liliyana? Kalau tak silap itulah makhluk gedik yang mengaku pernah ada hubungan sulit dengan suaminya. Kini, bercuti dengan Izwan? Pelik! Ini memang pelik! Dia kenal sangat dengan Izwan. Liliyana bukan spesies yang Izwan suka.
Tapi… apa pula yang buruknya? Ini bukan berita buruk. Ini berita yang mengejutkan. Sekali lagi Apy Elina memandang tajam suaminya.
Kenapa? Jangan pandang abang macam tu, abang pun baru dapat tahu tadi.”
Boleh terangkan kepada saya kenapa awak kata ini berita buruk?” tanya Apy Elina tak puas hati.
Buruklah tu.”
Pak cik, cuba tengok betul-betul perempuan ni. Awak dah lupa perempuan ni pernah mengaku awak sebagai kekasihnya dulu? Siapa akan percaya dengan perempuan gedik macam ni. Walaupun orang kata saya ni gedik teramat sangat tapi gedik perempuan ni buat orang lain menyampah sampai menyumpah tong sampah. Agaknya dia meroyan lagi kot. Kali ni sasarannya Izwan. Mentang-mentanglah Izwan tu dah jadi pemain kebangsaan dan selebriti popular sekarang ni. Hisy, stres saya dengan dunia hiburan macam ni! Lagi stres bila awak kata ini berita buruk,” ujar Apy Elina. Ingatkan buruk sangatlah berita yang akan diterimanya. Rupa-rupanya berita tentang gosip perempuan itu dengan Izwan. Memang dia takkan percaya.
Masih tak sedar lagi berita buruknya?” tanya Adam.
Apa?” Apy Elina langsung tak faham.
Bila kali terakhir rumah kita jadi tunggang langgang disebabkan seseorang?” tanya Adam.
Apy Elina cuba berfikir. Rasanya selama ini mereka hidup aman damai. Belum ada lagi orang lain datang cuba tunggang-langgangkan rumah mereka kecuali…
Oh tidak!” dia teringatkan seseorang.
Seseorang yang duduk menumpang di rumah mereka dan buat rumah mereka jadi tunggang-langgang. Bukan itu saja, orang itu juga selalu buat perkara yang tak senonoh. Antaranya, teropong anak teruna orang tengah-tengah malam. Anak teruna yang menjadi sasaran ialah Izwan yang tinggal tidak jauh dari situ. Izwan! Sekarang baru dia dapat kaitkan berita buruk itu.
Habislah… Mellissa!” Apy Elina mula dapat tangkap.
Adam hanya mengukir senyuman. Laju juga otak isterinya memproses maklumat. Tak perlu dia terangkan lagi.
Nanti, kalau Mellissa tahu Izwan ada hubungan dengan Liliyana pasti…”
Tak lama kemudian, telefon bimbit Adam kedengaran. Adam segera membaca mesej yang diterimanya.
“… pasti dia dah berada tak jauh dari kita sekarang…” sambung Adam sambil menunjukkan mesej yang diterimanya itu. Mesej bergambar. Seorang wanita sedang selfie dengan berpura-pura membuat muka comel. Ada satu caption di bawah gambar itu. Satu pertanyaan.
Hai, Adam! Teka di mana akak berada sekarang! – Mellissa.
Melihat latar belakang gambar itu, Apy Elina sudah tahu yang Mellissa kini berada di KLIA! Ini mesti tentang Izwan. Mellissa memang jarang jejakkan kaki ke Malaysia tapi bila dia jejak… itu maknanya, bom jangka sudah berdetik!


SURPRISE!” jerit Mellissa sebaik sahaja Apy Elina membuka pintu.
Memang dia sudah agak Mellissa yang mengetuk pintu rumahnya itu tapi dia tetap surprise cara Mellissa berikan salam. Mujurlah jantungnya masih sihat walafiat. Kalau tidak gerenti dia masuk bilik mayat.
Mellissa melulu memeluknya dengan erat. Kuat sangat sampai dia hampir rasa tak bernafas. Mujurlah Mellissa lepaskan dia. Kalau tidak, kena cari tong oksigen pula.
Mak cik, macam ni ke masuk rumah orang? Salam mana?” tegur Adam dengan suara kereknya.
Opss… salam. Lupa pula. Maklumlah tinggal di Taiwan jarang sekali bagi salam kalau masuk rumah orang ni. Ehem…” Mellissa kembali ke muka pintu dan berpura-pura mengetuk pintu rumah itu dengan gaya lemah lembutnya.
Assalamualaikum tuan rumah yang baik hati. Boleh saya masuk sekarang?” ujar Mellissa dengan suara lemah gemalai. Seram bulu roma Apy Elina dibuatnya.
Waalaikumsalam. Tuan rumah tak…” belum sempat Adam nak kata ‘tak bagi masuk’, kakaknya itu sudah bergegas masuk ke dalam.
Adam, akak pinjam Apy kejap ye…” cepat-cepat Mellissa tarik Apy Elina naik ke atas.
Adam hanya memerhati mereka berdua berlalu ke atas. Hilang sahaja kelibat mereka, dia menggeleng kepala. Bagasi milik Mellissa ditarik bawa masuk ke dalam. Itu mesti ada hal perempuan yang dibincangkan. Kalau tidak, bagasi ini tak akan tertinggal di luar.
Selepas menutup pintu, dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang. Hanya dua deringan panggilannya disambut. Suara Izwan kedengaran.
Mak cik kesayangan kau dah balik sini,” Adam memulakan mukadimah.
Serius?” suara Izwan kedengaran terkejut. “Bila?”
Baru tadi sampai rumah.”
Cepat sungguh! Dia marah tak?” tanya Izwan.
Kalau dia marah, dia dah hantar bom kat rumah kau. Setakat ni, rumah kau masih tak meletop lagi,” balas Adam selamba.
Dia mendengar Izwan mengeluh lega.
Aku boleh tolong kau setakat ni saja. Selebihnya semua bergantung dengan usaha kau sendiri.”
Tapi sebelum tu tolong bagi tip macam mana nak singkirkan perempuan gedik tu. Handset aku hampir meletop disebabkan dia asyik call aku tau!”
Adam ketawa sendirian.
Kau jangan risau, kakak aku pandai uruskan orang macam dia… jangan lupa. Kakak aku tu umpama bom jangka. Perempuan tu bukan lawannya…” ujar Adam.
Hah?” Izwan kedengaran terkejut.
Jadi, bertindaklah cepat,” tambahnya lagi dan segera menamatkan perbualan.


APY ELINA langsung tak boleh berbuat apa-apa. Dia pun terkejut dengan tindakan kakak iparnya itu. Tariknya mengejut masuk ke bilik tetamu yang juga bilik yang menjadi tempat Mellissa apabila datang ke sini. Pintu dikunci.
Mellissa, kakak kepada Adam. Walaupun bukan kakak betul tapi hubungan mereka berdua masih lagi akrab seperti dahulu. Panggilan ‘mak cik’ bermula daripada sikap Mellissa yang seringkali buat Adam pening kepala melayan. Panggilan itu jugalah panggilan yang paling berharga. Kedengaran agak keterlaluan tapi bila keluar dari mulut Adam, itulah panggilan paling sweet yang dia dengar. Sekarang, dia masih berkongsi panggilan itu dengan Mellissa. Reda jelah.
Okey…” Mellissa menarik nafas panjang-panjang. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan ditunjukkan kepada Apy Elina.
Siapa minah terlebih gedik ni?” tanya Mellissa.
Apy Elina tak dapat menahan diri daripada ketawa. Dia sudah agak! Mellissa pasti akan tanya tentang Liliyana, seorang pelakon suam-suam kuku yang popular dengan gosip sana sini. Sah, dia datang sini sebab Izwan.
Rileks. Dia ni memang suka cari publisiti. Dulu dia juga yang gedik mengaku ada hubungan dengan Adam, ingat?”
Ohhh… budak tu…” Mellissa mengangguk banyak kali. Patutlah dia rasa macam pernah lihat sahaja perempuan dalam gambar ini. Dia tengok lagi sekali gambar itu. Sekali lagi dia mengangguk apabila dapat cam orangnya.
Patutlah tak dapat cam. Dia buat pembedahan plastik rupa-rupanya. Dulu muka dia tak adalah lonjong macam ni. Pipi pun dah naik botox. Mmm… hidung dia tetap fail. Mancung dia lain macam dah,” komen Mellissa siap mengutuk lagi.
Jangan risaulah. Dia tu bukan taste Izwan pun,” balas Apy Elina cuba tenangkan kakak iparnya itu.
Apy, jangan terlampau confident. Perempuan macam ni, boleh buat lelaki sukakan dia dalam sekelip mata je tau. Selagi kita boleh jauhkan mereka, kita kena jauhkan. Jadi, mana teropong aku?” tanya Mellissa sambil membuka sebuah laci demi laci.
Apy Elina hanya menggeleng sambil memerhatikan Mellissa menggeledah laci demi laci sehingga menjumpai teropong yang menjadi alat untuk mengintip pergerakan Izwan. Atau dengan kata lain, skodeng Izwan dari rumah ini! Apy Elina segera keluar dari bilik itu. Dia malas hendak masuk campur.
Nasib kaulah Izwan dapat peminat macam ni…


MANA dia pergi tak balik-balik lagi ni?” keluh Mellissa sambil melihat jam di tangannya. Hampir jam 12.00 malam.
Matanya tidak berkelip memandang ke arah sebuah rumah teres dua tingkat yang tidak jauh dari rumahnya itu. Dari beranda luar, dia dapat lihat dengan jelas rumah teres itu tidak disinari cahaya lampu. Luar mahupun dalam. Itu bermakna tuan empunya rumah itu masih belum balik. Puas dia menunggu sejak tadi.
Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pagar rumah itu. Menggelabah dia memakai semula teropong. Pintu pagar rumah itu terbuka secara automatik dan kereta itu pun dipandu masuk ke dalam. Beberapa saat kemudian, lampu kereta dimatikan. Secara automatik, lampu hadapan rumah itu juga dinyalakan secara automatik.
Balik pukul 12.00 tengah malam. Kau pergi mana ni hah, Izwan?” tanyanya seorang diri apabila melihat kelibat Izwan keluar dari kereta. Dia mengintip setiap pergerakan lelaki itu dengan teropong di tangannya sehinggalah Izwan masuk ke dalam.
Huh, nasib baik dia tak bawa balik perempuan tu. Kalau tak, memang aku bom rumah tu!” rungutnya sendirian. Bau-bau cemburu masih lagi menggunung.
Ehem!”
Tiba-tiba dengar bunyi orang berdehem dengan kuat. Mellissa yang sedang meneropong itu segera berpaling. Terkejut bukan kepalang lagi apabila melihat Adam berdiri sambil memeluk tubuh di sebelahnya. Lantas dia cuba menyorokkan teropong itu di belakang.
Belum tidur lagi?” tegur Mellissa pura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia berasa hairan. Dari mana pula adiknya datang? Kalau tak silap dia sudah pun kunci pintu bilik awal-awal lagi sebab dia tahu pasti adiknya itu akan mengagak rancangan mengendap anak teruna orang ini.
Dia memandang pintu bilik. Terbuka luas. Dia menepuk dahi. Sudah tentulah adiknya itu boleh masuk walaupun dia sudah kunci pintu. Ini rumah adiknya dan ini bermakna sudah tentulah adiknya ada kunci untuk buka pintu itu.
Ah, lembab betul!
Mengintai anak teruna orang? Tak ada kerja lain ke?” tanya Adam serius. Ini bukan kali pertama kakaknya buat hal. Sudah banyak kali sampai jiran-jiran sebelah rumah mereka takut dengan kakaknya yang suka mengintip orang dengan teropong.
Mana ada…” dia cuba menafikannya.
Kalau dah suka kenapa tak luahkan kepada Izwan?”
Bila masa akak kata akak sukakan Izwan?” Mellissa menarik muncung.
Habis tu?”
Saja nak tengok Izwan tu kaki perempuan ke tak,” jawabnya selamba.
Izwan bukan kaki perempuan,” ujar Adam sambil menghulurkan tangannya. Dia memberikan isyarat meminta teropong yang disorok oleh Mellissa itu. Nak tak nak Mellissa terpaksa beri teropong itu.
Dan kalau dia sukakan seseorang, dia akan tunggu dengan setia,” tambah Adam lagi sebelum berlalu dari situ.

Serentak itu Mellissa mengeluh panjang. Memang Izwan lelaki yang setia tapi dia yang tak layak dicintai...

7 si charming:

  1. Unknown berkata...:

    serius dorg husband n wife ni comel gila,,,,
    masih setia izwan lama dia tunggu

    RBN best2

  1. iyads berkata...:

    RB agak2 thn nie dpt peluk x RYH ni? xpuas la bc..huhu..newey thanx eh.. :)

  1. Unknown berkata...:

    Sweet la Mellissa ni... Ikut kepala dia jer...

  1. edubelaja berkata...:

    hehehehe! omg~ hehehehehheehe.. sengih sensorang baca bab ni!

  1. Unknown berkata...:

    best nak lagi....

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages