Special Entry: Tangisan


Sejak dari tadi, Apy Elina berasa risau dengan keadaan Alex. Walaupun Alex datang latihan seperti biasa pada pagi itu, tetapi dia tetap melahirkan rasa risau terhadap Alex. Awal-awal lagi Alex melangkah masuk ke dalam dewan, dia dapat melihat wajah Alex yang lesu dan keletihan seperti baru sahaja bermain bola keranjang sepanjang hari. Apabila ditanya, Alex langsung tidak menjawab soalannya.

Kini apabila melihat cara Alex beraksi di gelanggang, dia menjadi bertambah bimbang. Bukannya kerana Alex tidak dapat tumpukan perhatian atau membuat serangan lemah walaupun kehilangan seperti telah kehilangan separuh daripada tenaganya, tetapi kerana Alex sering bertindak membuta tuli ketika membuat serangan. Malah, serangannya juga tidak mengena. Akibatnya, Alex tidak dapat pungut lebihan mata.

Melihat keadaan Alex yang begitu membimbangkan, Apy Elina segera menghentikan perlawanan itu dan memberi mereka rehat sebentar. Setelah masing-masing berehat di tepi, Apy Elina segera mendapatkan Alex yang terduduk di tengah-tengah gelanggang.

“Ini bukan selalu awak buat macam ni. Kenapa? Ada sesuatu yang mengganggu fikiran awak?” tanya Apy Elina cuba berkomunikasi dengan Alex secara baik. Melihat keadaan Alex begini, Alex pasti akan meradang tidak tentu pasal apabila salah tegur.

“Tak ada apa,” jawab Alex perlahan.

Walaupun itu bukan jawapan yang dia hendak, tetapi dia tetap bersyukur kerana Alex menjawab pertanyaannya dengan baik. Mungkin ini salah satu petanda baik untuk dia terus masuk ke dalam dunia lelaki itu. Namun, belum sempat dia hendak bertanya lebih lanjut lagi, Alex telah bangun dari duduknya dan mencapai bola jingga yang tidak jauh daripadanya itu.

“Hentikan,” dia pantas merampas bola dari tangan Alex. “Keadaan awak tak memuaskan. Lebih baik awak berehat dulu.”

Namun, Alex langsung tidak mendengar amarannya apabila mengambil sebiji bola lagi. Apy Elina segera menghalangnya dengan menarik Alex yang bermandikan peluh itu.

“Untuk kali ni, tolonglah dengar cakap cikgu,” rayunya.

Alex kembali berpaling memandangnya. Lama sehingga dia ingin lari dari pandangan Alex itu. Tetapi pandangan Alex yang seperti ingin menceritakan sesuatu kepadanya itu membuatkan dia memberanikan diri bertentang mata dengan Alex. Kemudian, Alex memandang tangannya yang dipegang.

“Maaf,” Apy Elina lantas melepaskan tangan Alex. “Cikgu tak nak tengok awak macam ni. Walau apa pun masalah awak, tolong jangan dera diri sendiri. Fikirkan tentang The Legend juga. Mereka perlukan awak, kalau awak terus begini… Alex!” marahnya lagi apabila Alex merampas bola dari tangannya ketika dia sedang leka bercakap.

Keadaan senyap seketika. Tiada sesiapa pun yang berani bersuara.

“Adam,” ujar Alex sepatah.

“Hah?”

“Adam. Panggil saya Adam.”

Apy Elina kelihatan keliru. Hari ini Alex berbeza sangat dengan hari lain. Jika dahulu, Alex pasti akan membalas kata-katanya, tetapi hari ini Alex banyak berubah dengan bercakap sesuatu yang dia sendiri tidak fahami.

‘Apa dah berlaku padanya?’ hatinya berdetik.

Kali ini dia tidak mampu hendak menghalang Alex yang kini menyambung bermain bola keranjang seorang diri di gelanggang.

“Alex dah baca diari tu,” ujar Izwan yang entah bila berada di tepinya. “Inilah yang paling saya dan Mellissa takutkan. Alex takkan beritahu apa yang dia rasa pada orang lain. Kalau boleh dia nak simpan perasaan tu dan lepaskan segala masalahnya dengan bermain bola keranjang. Dia takkan berhenti selagi dia tak dapat lepaskan semuanya,” tambah Izwan lagi.

“Tak ada cara lain ke?” Apy Elina bertanya.

Izwan sekadar menggeleng.

“Kenapa dia mesti harungi semua ni?” ujar Apy Elina dengan nada kecewa. Dia kecewa apabila mendapat tahu perkara sebenar daripada Izwan. Dia tidak faham, kenapa Alex dibuat sedemikian rupa.

Tiba-tiba Alex berhenti bermain. Apy Elina yang melihatnya dari jauh menyedari ada sesuatu tidak kena dengan Alex. Tidak sampai beberapa saat, Alex tiba-tiba jatuh pengsan di tengah gelanggang. Tanpa perlu disuruh, dia segera mendapatkan Alex yang sudah tidak sedarkan diri itu.

***

“Terlampau ketat sangat ke latihan sampai dia boleh jatuh pengsan?” soal Doktor Hanisah yang bertugas di bilik rawatan pada hari itu selepas merawat Alex yang pengsan tadi.

“Dia tak ada apa-apakan?” soal Apy Elina tidak terus menjawab soalan Doktor Hanisah. Dia kemudiannya mendengar Doktor Hanisah mengeluh lemah.

“Perut dia kosong. Badan dia seram sejuk. Malah, langsung tak ada tenaga. Nasib baik tekanan darahnya masih diparas yang baik. Tak ada apa yang perlu dirisaukan cuma berinya rehat sehari dua,” beritahu Doktor Hanisah.

“Syukurlah,” Apy Elina menarik nafas lega.

“Buat masa ni, saya dah biar dia berehat di sini. Bila dia bangun nanti, jangan lupa suruhnya makan,” pesan Doktor Hanisah sebelum meminta diri.

“Izwan,” panggil Apy Elina menghampiri Izwan. “Cikgu serahkan The Legend pada awak hari ni. Cikgu nak temankan Alex sampai dia bangun, takut nanti dia terus tinggalkan katil macam tu saja.”

Izwan mengangguk dan turut mengangkat kaki. Selepas Izwan pergi, barulah dia melangkah masuk ke dalam wad yang turut tersedia di bilik rawatan itu. Kelihatan Alex sedang terbaring tidak sedarkan diri sambil lengannya dicucuk dengan dengan paip kecil yang memberinya tubuhnya air.

Dia melabuhkan punggungnya di sebuah bangku bersebelahan dengan katil Alex dirawat. Mujurlah tiada apa-apa yang serius berlaku pada Alex. Kalau tidak, satu hal lagi dia hendak menjawab pada Dato’ Azlina.

“Semoga cepat sembuh,” ujarnya.


Alex mula tersedar dari lenanya. Dia memandang sekeliling yang asing baginya. Memandangkan kepalanya masih lagi pening dan terasa seperti dirinya sedang melayang-layang di udara, dia memejamkan matanya seketika. Setelah merasakan keadaannya mulai stabil, barulah dia membuka matanya. Walaupun pandangannya masih kabur tetapi dia masih dapat melihat keadaan sekeliling. Barulah dia menyedari bahawa dia sedang terbaring di atas katil di bilik rawatan.

Kemudian, apabila dia memandang ke sebelah, dia terkejut apabila mendapati jurulatihnya sedang tidur berbantalkan lengan beralas katilnya. Dia cuba mengingati apakah yang telah berlaku sehingga dia boleh terbaring di situ, tetapi lagi diingatnya, lagi kepalanya terasa sakit berdenyut-denyut.

Berasa tertekan kerana tidak dapat mengingati apakah yang berlaku, dia perlahan-lahan bangun dari baringnya kerana tidak mahu mengejutkan jurulatihnya. Matanya dipejam sebentar kerana berasa seperti dunianya sedang berputar sebaik-baik sahaja bangun dari baringnya itu. Menyedari IV tercucuk pada lengannya, dia terus menanggalkannya.

Kemudian, dia bangun perlahan-lahan turun dari katilnya. Diambil selimut biru yang membaluti tubuhnya tadi dan diselimutkan pada bahagian belakang tubuh jurulatihnya itu. Perlahan-lahan juga dia mencapai beg dan kunci keretanya sebelum berlalu keluar dari bilik rawatan dengan langkah yang lemah.

Alex terus keluar mendapatkan keretanya yang diletak berhadapan dengan dewan gelanggang bola keranjang. Apabila dia keluar dari bilik rawatan, barulah dia menyedari bahawa hari sudah gelap. Dia sendiri tidak pasti, berapa lama dia tidak sedarkan diri.

Baru sahaja dia hendak membuka pintu keretanya, satu tangan tiba-tiba menolak pintu keretanya kembali sehingga tertutup rapat. Barulah dia menyedari kehadiran Apy Elina di sebelahnya itu.

“Awak masih belum sembuh,” ujar Apy Elina.

Alex langsung tidak bersuara tetapi sebaliknya kembali membuka pintu keretanya. Namun, sekali lagi jurulatihnya menolak pintu itu sehingga tertutup.

“Awak faham tak? Awak masih belum sembuh sepenuhnya. Awak perlu berehat. Lepas awak berehat dan dapatkan kembali tenaga awak yang hilang tu, awak boleh pergi ke mana awak nak. Tapi buat masa sekarang…,” kata-katanya terhenti.

Matanya pejam celik pejam celik beberapa kali.

“Wei, kenapa?” tanya Alex yang menyedari kehadiran jurulatihnya yang terhuyung-hayang seperti ingin jatuh.

“Rasanya macam dunia ni berpusing,” jawab Apy Elina hampir terjatuh. Nasib baik Alex pantas menyambutnya. “Lapar….”

“Hah?”

***

“Ah, akhirnya dapat juga perut ni makan,” sorak Apy Elina puas setelah menghabiskan dua burger Mc Donald. Selepas sahaja dia memberitahu bahawa dia lapar, Alex terus memandu kereta membawanya ke restoran Mc Donald untuk menjamu selera.

“Kenapa tak makan tadi?” tanya Alex yang turut dipaksa menjamah sedikit makanan. Nasib baiklah Alex mengikut kataj-katanya dengan menjamah hampir lima biji burger Mc Donald. Terkejut Apy Elina buat seketika apabila melihat Alex menghabiskannya dalam masa yang singkat.

“Lupa,” jawabnya ringkas.

“Makan pun boleh lupa?”

“Err… oleh sebab cikgu tak nak awak lari… cikgu tunggu awak… sebab tu tak sempat nak makan,” jawabnya teragak-agak.

“Kenapa cikgu buat semua ni?” tanya Alex.

“Tentulah sebab The Legend.”

“Itu saja?”

Perlahan-lahan Apy Elina mengangguk.

“Kalau macam tu, jangan risau. Saya tahu jaga diri. Pergi dulu,” ujar Alex lantas meninggalkan tempat duduknya.

“Tunggu! Awak nak pergi mana?” tanya Apy Elina mengejar Alex.

“Tolonglah. Hari ni saya tak ada mood nak bermain,” kata Alex mengeluh lemah.

“Cikgu tetap akan ikut awak ke mana saja awak pergi! Tak kira apa pun, cikgu nak pastikan awak betul-betul tak lakukan perkara yang bodoh lagi!” tegas Apy Elina.

Alex terus berjalan ke keretanya.

“Alex! Tak ada masalah dalam dunia ni tak boleh diselesaikan. Walau apa pun masalah awak, awak tak boleh biarkan masalah ni kawal diri awak. Awak kena bangkit dan berhadapan dengan masalah ni. Kalau awak tak nak berkongsi dengan cikgu tentang masalah awak pun tak mengapa. Cikgu tak kisah tapi fikirkanlah tentang The Legend juga. The Legend perlukan awak. Cikgu juga perlukan awak. Beberapa hari lagi cikgu akan tinggalkan The Legend. Kalau boleh, cikgu nak tinggalkan The Legend tanpa sebarang masalah,” kata Apy Elina lagi terus membuatkan kaki Alex mati melangkah.

Alex berpaling memandang ke arahnya.

“Betul cikgu nak ikut saya ke mana saja?” tanya Alex.

Apy Elina mengangguk bersungguh-sungguh.

“Naik kereta,” arah Alex sambil membuka pintu kereta untuknya.

Bibir Apy Elina terukir senyuman manis. Tanpa buang masa dia segera melangkah masuk ke dalam perut kereta Alex. Pintu kereta ditutup rapat oleh Alex. Kemudian, Alex berlalu masuk ke tempat pemanduan.

“Kita nak ke mana?” tanya Apy Elina sebaik-baik sahaja Alex menutup pintu kereta dan menghidupkan enjin.

“Cameron,” jawab Alex pendek.

“Hah?!

***

“Awak nak pergi cameron semata-mata kerana nak tengok matahari terbit?” tanya Apy Elina kepada Alex sebaik-baik sahaja sampai ke tanah Cameron Highland. Kereta yang dipandu oleh Alex berhenti disebuah tanah tinggi yang lapang. Dari situ dia dapat melihat cahaya matahari terbit pada sebelah timur.

“Kenapa? Tak boleh?” tanya Alex yang turut menikmati keindahan matahari yang mulai terbit itu.

Apy Elina mengangkat bahu. Entah kenapa dia merasakan orang di sebelahnya itu bukan Alex. Kalau dahulu memang susah hendak berkomunikasi dengan Alex, seperti ada tembok halangan yang membuatkan tiada sesiapa dapat masuk ke dalam dunianya. Tetapi hari ini, Alex seperti telah membuka sedikit ruang untuknya menghampiri lelaki itu.

Suasana sunyi seketika apabila masing-masing mendiamkan diri menikmati keindahan cahaya matahari yang terbit. Sejujurnya, Apy Elina berasa kekok dengan keadaan itu. Dia berharap Alex bercakap sesuatu tetapi melihat gaya Alex yang kelihatan termenung itu, dia sudah tahu Alex tidak akan bercakap jika dia tidak mulakan dahulu.

“Awak tahu tak, masa cikgu bersekolah rendah dahulu, kami pernah bercerita tentang destinasi percutian apabila dewasa kelak ataupun selepas berkahwin. Biasalah perempuan memang tak terlepas daripada berangan-angan. Kebanyakan mereka beritahu destinasi percutian di luar negara seperti Paris, New York, Jepun dan macam-macam lagi. Bila giliran cikgu bercakap, cikgu beritahu destinasi cikgu adalah menara Kuala Lumpur atau Cameron Highland,” kata Apy Elina cuba menceriakan keadaan.

“Kolot,” balas Alex.

Dia mengukir senyuman. Walaupun balasan Alex tidak seperti yang diharapkan, tetapi dia gembira Alex mendengar apa yang diberitahu tadi dan membalasnya.

“Awak boleh cakap cikgu kolot atau tak ada cita rasa yang tinggi seperti kawan-kawan cikgu. Tapi bagi cikgu, tempat tu agak istimewa. Pertama, sebabnya masa tu cikgu tak pernah pergi melancong ke mana-mana. Keluarga cikgu bukan dari golongan yang senang, jadi percutian cikgu cuma di rumah sambil menonton televisyen saja. Kedua, sebab cikgu suka tempat yang tinggi. Kalau boleh nak tengok matahari terbit dan terbenam. Ketiga, jimat duit. Kita tak payah nak belanjakan beribu-ribu semata-mata kerana nak alami percutian yang hebat. Kedua tempat tu juga apa kurang hebatnya,” tambahnya lagi.

“Memang kolot,” balas Alex sambil tersenyum.

“Eh, awak senyum! Adam Alexander senyum!” soraknya keriangan seperti tidak pernah melihat senyuman Alex sebelum ini.

“Wei mak cik, takkan tak pernah tengok orang senyum?” balas Alex dengan nada seperti biasa. Seolah-olah Alex yang lama sudah kembali.

“Orang senyum pernah tengok tapi Adam Alexander senyum, amat-amat jarang dilihat!” ujarnya yang begitu teruju. “Senyum lagi boleh?”

“Kolot.”

Tiba-tiba telefon bimbit Apy Elina berbunyi. Begitu juga dengan Alex. Mereka pantas mencapai telefon bimbit masing-masing dan membuka mesej yang diterima mereka.

“Alamak! Lupa! Hari ni ada latihan. Mereka mesti dah tunggu lama,” kata Apy Elina sambil memandang Alex yang turut mendapat mesej. Pastinya ahli The Legend yang lain sedang mencari mereka berdua.

“Err… kita lama lagi ke dekat sini?” tanya Apy Elina teragak-agak.

“Beritahulah kita ada hal,” balas Alex sambil menutup telefon bimbitnya seperti tidak mahu sesiapa pun menganggunya pada ketika ini.

“Hal apa?” tanya Apy Elina tidak dapat menangkap maksud kata-kata Alex tadi.

“Alang-alang dah datang sini baik tengok matahari terbenam sekali,” beritahu Alex.

***

“Cikgu tak dapat hadir. Katanya ada hal,” beritahu Wawa setelah mendapat mesej daripada jurulatihnya. Namun begitu, dia masih lagi menatap skrin telefon bimbitnya. Mesej yang diterimanya itu dibaca berulang-kali. Takut dia sahaja yang tersilap baca.

“Alex pula?” tanya Azhar kepada Izwan yang cuba menghubungi Alex tetapi tidak dapat.

“Dia tutup handset,” jawabnya.

“Alex pun tak dapat hadir. Dia ada hal,” jawab Wawa lagi.

“Mana kau tahu?” tanya Izwan.

“Cikgu yang beritahu,” jawab Wawa sambil memberi telefon bimbitnya kepada mereka semua. Masing-masing membaca mesej yang diberi oleh jurulatihnya.

Maaf. Cikgu dengan Alex ada hal. Jangan risau, semuanya di bawah kawalan cikgu. Kami akan balik esok – Apy Elina.

“Cikgu dengan Alex?” soal Leo.

“Alex dengan cikgu?” tanya Khairul sambil memandang rakannya yang lain.

“Diorang berdua pergi mana?” tanya Panjang pula.

Masing-masing mengangkat bahu. Semua tidak dapat pastikan ke mana Alex dan jurulatih mereka berada sekarang. Yang pasti, mereka berdua pergi bersama.

“Berbulan madu?” teka Haiqal.

Mereka sekali lagi berpandangan. Memang sah, pasti ada sesuatu yang tidak diketahui antara Alex dan jurulatihnya!

***

Selesai melawat ladang teh dan membeli-belah apa yang ada di kedai yang dibawa Alex. Selesai sahaja membeli-belah barangan makanan seperti buah stroberi dan beberapa kotak teh stroberi, Alex kemudiannya membawanya ke sebuah rumah teres dua tingkat yang berada tidak jauh dari tempat mereka berhenti tadi.

“Rumah siapa ni?” tanya Apy Elina sebaik-baik sahaja melangkah keluar dari perut kereta.

“Bekas pengasuh,” jawab Alex.

“Alex,” sapa seorang wanita yang dalam lingkungan 40an melulu keluar sambil memeluk Alex. Alex membalas pelukan wanita itu. “Tak sangka kamu datang ke sini. Kenapa datang beritahu dan siapa ni?” tanya wanita itu setelah menyedari ada seorang lagi yang turut datang bersama Alex.

“Saya Apy Elina. Jurulatih Alex dalam pasukan bola keranjang,” lantas Apy Elina menjawab dan menghulurkan salam. Salamnya disambut mesra oleh wanita yang mahu dikenali dengan panggilan Mak cik Maimon. Mereka kemudiannya dijemput masuk oleh Mak cik Maimon.

***

Petang itu, mereka berdua meminta diri untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sempat juga Mak cik Maimon menyediakan bekal kepada mereka berdua sebelum pulang. Walaupun Apy Elina menghabiskan masa yang singkat bersama Mak cik Maimon tetapi dia berasa seperti sudah mengenali wanita itu. Malah, mereka berdua menghabiskan masa berbual daripada hal Alex sehinggalah kepada hal remeh temeh.

Setelah beberapa minit kereta Alex meninggalkan pekarangan rumah pengasuhnya itu, Alex memandu keretanya ke tempat yang sama mereka melihat matahari terbit pagi tadi. Dia tidak sangka Alex benar-benar menunaikan kata-katanya untuk melihat matahari terbenam.

“Terima kasih,” ujar Alex tiba-tiba memecah suasana sunyi di antara mereka.

“Kenapa?” tanya Apy Elina.

“Cikgu tetap bersama saya walaupun saya tak layan cikgu dengan baik,” jawab Alex yang kelihatan teragak-agak.

Apy Elina tersenyum.

“Anggap saja ni tugas seorang jurulatih. Ini juga mungkin tugas terakhir cikgu. Kalau boleh cikgu nak serahkan The Legend tanpa ada masalah dalaman. Walaupun ini berkenaan The Legend, tapi terus terang cikgu kata, cikgu amat ambil berat tentang awak,” jawabnya dengan ikhlas.

“Saya minta maaf sebab buat cikgu risau,” ujar Alex lagi kali ini dia bercakap dengan sepenuh hati seperti sudah lama dia ingin meluahkannya.

“Bukankah cikgu kata, walau apa pun masalah awak, cikgu tetap akan berada di sisi kamu. Walaupun awak tak cakap apa masalah awak, cikgu faham. Mesti ada sebab awak buat tak nak berkongsi bukan?”

Alex kembali senyap.

“Apa cikgu akan buat bila dapat tahu seseorang yang kita sayang selama ini bunuh diri sebab ingin lindungi kita?” tanya Alex.

“Memang sukar nak terima tapi kalau perkara itu telah terjadi, tak ada gunanya kita sesal. Mungkin ada hikmah dari kejadian tu. Kalau awak rasa bersalah terhadap apa yang berlaku pada kakak awak, awak patut buang perasaan tu. Mellissa mungkin ada alasannya yang tersendiri dan awak dan orang lain tak ketahui.”

“Mungkin….”

“Alex, awak perlu bangkit. Jangan sia-siakan pengorbanan kakak awak. Awak patut berasa terharu kerana ada kakak sepertinya yang sanggup gadaikan nyawa sendiri untuk selamatkan adiknya. Terus terang cikgu cakap, walaupun ramai orang ada adik beradik, tetapi hanya segelintir sahaja yang sanggup pertaruhkan nyawanya untuk masa depan adiknya. Mellissa seorang kakak yang hebat,” tambahnya lagi.

“Kakak memang tak pernah tunjukkan kelemahannya. Terus terang, saya masih tak percaya dia sanggup bunuh diri. Seolah-olah saya tak kenal dia. Kakak takkan bunuh diri semata-mata atas desakan orang ataupun kehidupannya yang penuh derita. Dia seorang kuat sebab dia dari keluarga Alexander. Tak ada seorang pun dalam keluarga kami seorang yang pengecut.”

“Keluarga kami juga terlibat dalam hal kongsi gelap. Kami pegang beberapa kawasan di sekitar Asia dan kakak merupakan orang kuat keluarga Alexander. Semua orang hormat dia. Walaupun kami tak suka campur urusan kongsi gelap, tapi kami ada pengikut fanatik sendiri. Tiada siapa yang kenal kakak secara keseluruhannya. Kakak mungkin nampak seperti gadis biasa. Periang dan suka membuat lawak, tetapi apabila berurusan dengan kongsi gelap yang lain, kita akan nampak dia seperti memiliki dua personaliti yang berbeza. Sebab tu saya tak sangka, dia tewas dengan cara macam tu,” Alex menerangkan segalanya.

Apy Elina tersenyum kelat. Sejujurnya dia berasa terkejut apabila mendengar Alex bercerita tentang hal keluarganya. Dia juga terkejut apabila diberitahu bahawa keluarga Alex ada kena mengena dengan urusan kongsi gelap. Mungkin inilah yang dikatakan Izwan dan Daniel. Keluarga Alexander bukan sebarangan keluarga.

“Cikgu tak terkejut?” tanya Alex.

“Setiap orang ada rahsia sendiri tapi itu bukan alasan seseorang itu berasa terasing. Tak kisah siapa dan dari mana awak berasal, hanya yang cikgu tahu Adam Alexander hanyalah seorang kapten pasukan The Legend. Itu adalah identiti awak. Bukan kerana awak pewaris Empayar Alexander atau ketua kongsi gelap,” ujarnya dengan nada lembut.

Kemudian, Apy Elina membuka pintu keretanya.

“Nak ke mana?” tanya Alex.

“Mungkin dengan cara ni dapat lepaskan apa yang terbuku di hati awak. Jangan risau, cikgu takkan tengok,” kata Apy Elina lagi sambil berlalu keluar dari kereta tersebut dan berdiri di tidak jauh dari kereta Alex menghadap cahaya matahari yang kian menghilang.

Kepada Hikayat,

Ini kali pertama aku melihat air mata seorang lelaki. Ini juga pertama kali aku melihat dia menangis. Sejujurnya, aku tak tahu hendak buat apa lagi selain melihatnya menangis. Apa yang dilaluinya amat sukar hendak diterima. Dia bukan sahaja kehilangan orang yang disayanginya, tetapi dia juga kehilangan identitinya sendiri. Aku harap, keadaannya akan bertambah baik selepas ini. Aku cuma boleh berdoa, dia akan hidup dengan gembira seperti orang lain dan melupakan segalanya.

23 si charming:

  1. yu-hee berkata...:

    kak ratu....nanti dah keluar novel hikayat ni bagi tau la. saya nak beli...

  1. zila aischi berkata...:

    kak nurfa , i love youuu coz buat special entry niehh .

    kalau bole nak special entry bnyk2 kali pun tak pe . hehee .
    tetap setia tunggu versi cetak .

    chaiyok !!

  1. NukSe berkata...:

    waa.. ada special entry.. best2... ala xsabarnya nk tunggu versi cetak.. lama lg ke nk tunggu..:(

  1. josyu berkata...:

    sedih :'(
    saye nagis!!wohh :((

  1. very nice episd... x sbr nk tunggu y dibukukan.... :)

  1. Izzah berkata...:

    tak sabar nak baca buku dia!! mesti best. sakali baca non-stop terus, hehe

  1. aFaiSh berkata...:

    always waiting

  1. akira_bita berkata...:

    yahhh!! ada entry khas!! huwaa!!! best2... adam alexender nangis?? woo!!

    lps ni panggil adam! taknak panggil alex lg!! hehehehehehehe!!

    so sweet!!! huhuhuh.... nak lagi~~

  1. yana aryana berkata...:

    sgt2 sukakan mereka....
    nurfa, if da kuar versi cetak, cepat2 gitau yer....

    hurm...y versi cetak tu cite dr awal lg, kan....????

  1. Miss Kira berkata...:

    lps ni mesti akan rindu dgn alex n apy..kak ratu..cpt la trbtkn novel..x sbr nk taw smbgnnya.. ;D

  1. nemo kaler oren berkata...:

    salam...
    cter hc ni mmg best...
    salu x sbr nk ke n3 sterusny... (cm skema plak ayt ni..)
    dh nk buku kn ker????
    sumer cter cik bulan best2...
    tp cter ni sy sgt2 suka...
    sbb sy ska basketball..
    hehehe...
    paper pn gud luck n hope 2 c u soon...

  1. x sbr nk tnggu ble nvl nie nk kuar... gud luq :D

  1. ummidanpapa berkata...:

    bestnya..masih ader entri sblm novel terbit..tq..

  1. YONG JIAO XIU berkata...:

    really, thanks. tak tau nak cakap apa cz memang tak jangka adaa lagi entry, igt kena tunggu versi cetak dah. tak sabar nak baca keseluruhan cerita. thumbs up and hail to you!

  1. cactaceous opuntia berkata...:

    sian nye la alex...sdihnye kene tggu lame lg bru ley bce

  1. nuhara berkata...:

    kak ratu terbaik!!!!!
    suka2 nnt buat lagi special n3 okj :)

    http://nurulhafizahramli.blogspot.com

  1. Tanpa Nama berkata...:

    sebuah cerita yang menarik..

  1. alang berkata...:

    oh yeah! ..tq! tq! for the special entry!

  1. pinkpurle amie berkata...:

    adam... panggil sye adam... (how sweet)

    cik ratu cptla kuarkan novelnyew... cter antara the best hahaha...
    blew dah kuar 2 g tau ek cik ratu :)

    love amie

  1. nani jurainie berkata...:

    bila kuar buku ni? sapa publisher? saya naaaakkkkkk......... best sgtttt... penantian yg sangat lama..huhu

  1. -KaMi- berkata...:

    xsaba nak tnggu buku ni kuar.. kak ratu da kuar novel ni bgtau k..
    penghujungnya mesti mantap

  1. HikaYat Cik AppLe berkata...:

    semakin jatuh cinta ng HC...♥♥♥

  1. Hanie_Dew berkata...:

    kak ratu..kite dah meroyan nak tgu setiap entri e-novel akak... makan tak lena, mandi tak kenyang, tido pun tak basah...

    sangat tak sabar nak tgu sume e-novel ni jadi novel..akan ku beli kesemuanya..muaahahahahahaha...♥

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages