Nota: Ini versi manuskrip.
****
MEREKA
berdua melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka. Arissa masih
dengan muka monyoknya mengekori langkah Nazwan melewati satu demi
satu pintu bilik hotel mencari bilik yang baru saja ditempahnya tadi.
“Apa kata kalau
kita balik KL saja? Aku rindukan katil aku. Aku tak boleh tidur dalam
keadaan demam macam ni selain daripada katil aku,” ujar Arissa.
Sejak tadi dia cuba
memujuk Nazwan untuk balik ke KL. Macam-macam alasan dia sudah bagi
tetapi Nazwan langsung tidak mengendahkan pujukkannya. Ada sahaja
modal Nazwan membalas kembali alasannya.
“Berapa kali kau
muntah dalam kereta masa pergi klinik tadi?” tanya Nazwan dengan
jelingan tajam.
Perlahan-lahan
Arissa menunjukkan dua jarinya.
“Enam kali,”
tegas Nazwan. “Kalau kita balik KL sekarang, kau akan muntahkan
semua isi perut kau tu sampai tak ada apa-apa dalam badan kau. Kau
nak macam tu?”
Arissa mendengus
marah. Ini semua Luqman punya pasal. Gatal sangat bawa lari Nazwan ke
Cameron Highland. Lepas tu berani pula dia mengajak perempuan lain,
kononnya hendak kenankan Nazwan dengan sepupu Sarah itu.
Huh, kalau tidak
kerana rancangan gila Luqman itu, aku takkan berada di sini! Marah
hati Arissa.
“Dah. Tak guna nak
salahkan Luqman. Sendiri cari pasal, sendiri tanggung,” ujar Nazwan
membuatkan Arissa terkejut.
“Wah, kau tahu apa
yang aku fikir?” tanya Arissa dengan kagum.
“Bukan ke kau
pernah kata, kita berkenalan sejak kau dalam perut lagi,” ujar
Nazwan yang berhenti di sebuah pintu bilik.
“Oh... mmm...
mungkin sebab tulah kita ni memang dah ditakdirkan untuk bersama. Ah,
kenapalah aku tak pernah terfikir pasal ni masa aku baca diari mama?
Mama kata dalam diari tu, kau adalah orang pertama yang dapat kesan
kehadiran aku. Bila aku jumpa kau buat pertama kali, aku rasa happy
sangat. Aku selesa bersama kau sebab tulah aku nak sangat jadi kawan
kau tapi tak sangka aku dah jatuh cinta dengan kau. Jadi, tak salah
lagi. Kau memang jodoh aku,” ujar Arissa dengan penuh yakin.
“Wau, demam kau
makin teruk,” ujar Nazwan yang hanya menganggap kata-kata Arissa
tadi sekadar gurauan. “Jangan lupa makan ubat dan tidur. Esok pagi,
aku nak tengok demam kau dah kebah.”
“Hah? Kau ingat
aku ke yang kawal demam tu?” balas Arissa tidak puas hati. Kalau
dia boleh tentukan suhu badannya naik atau turun dengan sendiri,
memang sudah lama dia tak perlukan ubat doktor.
“Sebab tulah aku
suruh kau makan ubat, rehat dan tidur, faham?”
Terus kepala Arissa
mengangguk tanda faham.
“Aku ada dekat
bilik sebelah,” ujar Nazwan sambil menyerahkan kunci bilik kepada
Arissa.
“Okey,” jawab
Arissa sambil mengangguk dan mengambil kunci biliknya dari tangan
Nazwan. Tanpa buang masa dia segera membuka pintu bilik itu. Namun,
baru sahaja dia hendak menutup pintu, Nazwan pantas menghalang dia
berbuat demikian.
“Aku tak percaya
kau akan makan ubat,” ujar Nazwan dengan penuh yakin. “Jadi, aku
akan tunggu sampai kau makan ubat.”
“Hah?” terkejut
Arissa dibuatnya.
Belum sempat Arissa
hendak berbuat apa-apa, Nazwan sudah pun melangkah masuk ke dalam.
Terpinga-pinga Arissa di tepi pintu. Nazwan betul-betul cuba cari
nahas. Ini macam sudah merelakan diri kena tangkap basah saja nampak
gayanya.
“Oh Nazwan,
walaupun aku nak sangat kahwin dengan kau dan jadi isteri kau tapi
bukan dengan cara macam ni. Aku nak jadi isteri kau dengan cara yang
bermaruah,” ujar Arissa geram dengan perangai Nazwan itu.
“Mana ubat yang
doktor bagi tadi?” pinta Nazwan langsung tidak mengendahkan
kata-kata Arissa tadi.
“Memang tak makan
saman betullah. Baiklah, kalau kau rela kena tangkap basah, aku pun
rela. Jadi, duduklah selama mana kau nak dalam bilik ni!” Arissa
mendengus marah sambil menghempas pintu.
“Ubat,” pinta
Nazwan lagi.
Arissa mencapai beg
tangannya dan mengeluarkan satu plastik yang terkandung ubat-ubatan
yang diberi oleh doktor tadi. Nazwan bertindak pantas mengambil
plastik itu dari tangannya.
Tidak lama kemudian,
Nazwan menghulurkan beberapa biji pil kepadanya. Terkejut Arissa
dengan jumlah pil yang perlu ditelannya. Ada lima kesemuanya. Mungkin
bagi yang tidak takut makan ubat, jumlah itu kecil sahaja tapi bagi
Arissa yang sejak dulu lagi takut makan ubat, tengok sahaja jumlah
itu, lagi menjadi demam yang dihidapinya.
Tension!
Satu keluhan
dilepaskan. Dia tahu, kalau dia berjaya menukar mukanya menjadi muka
kucing yang comel pun, dia tidak akan berjaya mengubah pendirian
Nazwan. Ubat itu harus ditelan.
Muktamad.
***
SETELAH
Arissa tertidur, barulah Nazwan keluar dari bilik itu. Pintu bilik
Arissa di tutup rapat. Dia sengaja mengambil kunci bilik Arissa.
Takut pula kalau ada sesuatu yang berlaku pada Arissa di dalam sana.
Mungkin selepas ini dia boleh minta bantuan daripada Sarah supaya
menjaga Arissa pada malam itu.
“Dia dah tidur?”
tanya Naufal yang datang menghampiri ketika Nazwan sedang membuka
pintu biliknya.
“Hmm,”
pertanyaan Naufal dibalas dengan anggukkan sebelum dia melangkah
masuk ke dalam. Naufal turut mengekorinya dari belakang.
“Aku tahu kau
marahkan aku sebab bawa Kak Rissa ke sini....”
“Naufal,” pantas
Nazwan bersuara memotong kata-kata Naufal tadi. “Dia memang degil.
Kalau aku marah kau pun, tak guna juga. Dia tetap akan datang sini
walau apa pun yang berlaku.”
“Dia cintakan
kau.”
“Aku tahu,” akui
Nazwan.
“Kau cintakan
dia?” tanya Naufal tanpa berkias lagi.
Nazwan mengeluh
kecil. Soalan Naufal tadi betul-betul memberikan kepalanya berdenyut.
Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu. Naufal bukan
budak kecil lagi yang boleh dibohong. Malah, dia lihat Naufal semakin
matang. Kalau tidak, Naufal tidak akan berani bertanya soalan begitu.
“Kau keliru,”
ujar Naufal.
“Naufal, benda ni
bukan mudah yang kau sangka.”
“Mudah saja. Kau
masih teringatkan kekasih lama kau dan kau tak tahu sama ada kau
mampu bahagiakan Kak Rissa,” ujar Naufal.
“Arissa beritahu
kau?” soal Nazwan yang terkejut dengan apa yang diberitahu oleh
Naufal tadi.
“Tak,” jawab
Naufal sepatah. “Tapi diari dia.”
“Kau baca diari
dia?” sekali lagi Nazwan terkejut dengan Naufal.
“Kadangkala kita
perlu bertindak dengan lebih drastik untuk dapatkan jawapan. Aku tak
nak bazirkan masa dengan bertanya soalan-soalan yang tak mungkin ada
jawapan,” jawab Naufal langsung tidak rasa bersalah dengan
tindakannya itu.
“Tapi baca diari
orang... bukan satu jalan penyelesaian.”
“Kalau macam tu,
kau ada jalan penyelesaian lain?” tanya Naufal.
Soalan Naufal tadi
hanya tinggal soalan. Nazwan tidak berminat hendak menjawab soalan
itu. Tambah lagi dia tidak berminat hendak berbincang tentang hal itu
buat masa ini. Kalau dia hendak bercakap pun, bukan dengan Naufal.
Baginya, walaupun dia mengenali Naufal sejak kecil lagi tetapi Naufal
tetap orang asing dalam hidupnya.
“Kau nak tahu
tentang kandungan diari tu?” tanya Naufal lagi.
Nazwan mengerut
dahi. Entah kenapa dia rasa macam Naufal memang sengaja hendak
mencabar kesabarannya.
“Aku tak berminat
nak bersubahat dengan kau,” jawab Nazwan tidak berminat hendak tahu
isi diari Arissa. Baginya diari perempuan tiada beza dan dia sudah
dapat agak apa yang terkandung dalam diari itu. Pasti penuh dengan
perasaan.
“Ah, ruginya,”
keluh Naufal sambil menghempas tubuhnya ke katil Nazwan. “Kak Rissa
terlampau risaukan semua kawan-kawan dia sampai sanggup korbankan
masa dan tenaga dia tapi malangnya, tiada siapa yang peduli pasal
dia.”
“Kalau aku tak
pedulikan dia, aku takkan bawa dia pergi klinik dan paksa dia makan
ubat tadi. Diari perempuan memang macam tu. Penuh dengan benda
mengarut,” balas Nazwan.
“Kalau macam tu,
kau patut beritahu dia pasal Natasya.”
Nazwan mengeluh
lemah. Tidak habis-habis sebut pasal Natasya. Tadi, bertubi-tubi dia
disoal Arissa tentang Natasya dan kini Naufal pula bertanya.
“Dah berapa kali
aku beritahu, aku tak tahu apa-apa. Aku baru kenal dia hari ni. Aku
tahu pasal rancangan Luqman tapi jangan harap aku akan jatuh cinta
dalam masa satu hari. Kau dengan Arissa terlampau banyak berfikir
pasal hal yang bukan-bukan.”
“Aku tak bercakap
pasal Natasya yang baru tu. Aku cakap pasal Natasya, bekas kekasih
kau yang meninggal dunia tu.”
“Kenapa dengan
Natasya?” tanya Nazwan mula tidak sedap hati.
Senyap. Tiada
sebarang jawapan daripada Naufal. Bila dia berpaling, dia nampak
Naufal sudah pun terlelap.
“Wei, jangan nak
pura-pura tidur. Kau belum jawab soalan aku tadi.”
“Aku
penat.Esok-esoklah aku jawab,” jawab Naufal separuh mamai.
“Huh, kau memang
sengaja, bukan?” keluh Nazwan tidak puas hati. Kalau diikutkan hati
hendak sahaja dia simbah Naufal dengan sebaldi air. Mujurlah itu
katilnya, kalau tidak memang sudah basah Naufal dibuatnya.
Tiba-tiba dia
teringat sesuatu.
“Hei! Bangun. Ini
katil aku! Kalau kau nak tidur, pergilah bilik kau,” ujar Nazwan
sambil menarik bantal putih itu dari kepala Naufal.
“Aku malas nak
tempah bilik lain. Buat apa nak membazir duit. Lagipun katil ni
luaslah. Cukup dua orang,” jawab Naufal sambil mencapai sebuah
bantal lagi dan kembali sambung tidur.
***
ARISSA
terjaga daripada tidurnya apabila terdengar suara-suara yang begitu
asing di sekelilingnya. Bila dia mencelik mata, dia mendapati
televisyen yang terletak bertentangan dengan katilnya terbuka. Dia
memandang sekeliling. Suasana dalam bilik itu cukup asing baginya dan
dia yakin, dia bukan berada di dalam biliknya sendiri.
Lebih kurang seminit
kemudian, barulah dia mengingati kembali apa yang sudah berlaku
sehingga dia boleh tertidur di bilik asing itu. Perlahan-lahan dia
bangun dari pembaringan dan terkejut apabila melihat satu kepala di
tepi hujung katilnya.
“Ah, Nazwan!”
lantas tangannya mencapai bantal dan membalingnya ke arah Nazwan.
Kecut perutnya apabila melihat kepala orang. Ingatkan hantu mana yang
hendak bermain cak-cak dengannya di bilik hotel itu. Bila matanya
fokus, barulah dia mengenali pemilik kepala itu.
“Sakitlah!”
marah Nazwan apabila kepalanya diserang dengan bantal dengan
tiba-tiba. “Apa hal ni? Bangun saja terus serang orang. Mengigau
ke?”
“Huh, memang patut
pun kau kena serang. Apa kau buat dalam bilik aku?”
“Tengok tv,”
jawab Nazwan selamba.
“Eee...,” Arissa
melepaskan kegeramannya.
Boleh pula Nazwan
jawab dengan begitu selamba. Umpama macam orang tiada perasaan. Ah,
lupa. Sekarang hati Nazwan sudah jadi batu. Hati batu memang tidak
akan ada daya sensitiviti terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.
“Tadi Mama Fiza
ada call. Lebih baik kau call dia balik. Dia tengah risau tu,” ujar
Nazwan yang masih menonton televisyen. Tapi bagi Arissa, dia sudah
dapat baca semuanya. Mata sahaja pandang televisyen tapi fikirannya
melayang entah ke mana.
“Dia tahu aku
demam lagi?” tanya Arissa.
“Mestilah.”
“Hah? Kenapa kau
beritahu?”
“Habis tu, aku nak
bohong apa lagi? Bila dia tahu aku jawab handset kau dah
tentu-tentulah dia akan soal macam-macam.”
“Cakap jelah aku
pergi tandas.”
“Berapa jam kau
tidur tadi? Takkan aku nak beritahu yang kau ada dalam tandas setiap
kali Mama Fiza telefon? Fikirlah logik sikit.”
“Ini semua Nazwan
punya pasal,” rungut Arissa perlahan.
“Ya, semua Nazwan
punya pasal. Lain kali, guna sikit otak tu. Takkan hal macam ni pun
kau nak menggelabah sampai sanggup naik Cameron Highland? Dah tahu
tempat ni sejuk lagi nak cari nahas!” bebel Nazwan. Lagi.
“Kau pun sama!
Ikut sangat cakap Luqman. Kau tak tahu ke yang aku risaukan kau? Aku
takut kau pun jatuh sakit dekat sini,” balas Arissa tidak mahu
mengaku kalah.
“Aku hanya akan
jatuh sakit, bila kau jatuh sakit, faham?”
“Faham,” jawab
Arissa lambat-lambat. Bila dengan Nazwan, dia memang kalah habis.
Sekuat mana pun dia cuba bertahan, dia tetapi kalah.
“Aku tak ada
apa-apa dengan perempuan tu,” beritahu Nazwan.
Jawapan Nazwan tadi
sudah cukup mengembalikan senyuman Arissa. Bukan senyuman sahaja,
tenaganya yang hilang tadi juga mula berkumpul semula. Mungkin inilah
kuasa cinta.
“Luqman memang
suka memaksa aku tapi itu tak bermakna aku mudah jatuh ke dalam
perangkapnya. Aku tahu apa yang dia fikir. Kau jangan risaulah. Lain
kali kalau Luqman buat lagi perkara macam ni, jangan cepat sangat
terperdaya. Macamlah aku ni mudah sangat jatuh cinta,” ujar Nazwan
lagi dengan nada memujuk.
“Mana tahu kalau
tiba-tiba kau terjatuh cinta dengan perempuan tu. Sudahlah namanya
sama dengan nama Natasya,” balas Arissa.
“Kalau rupanya
sama dengan rupa Natasya pun, belum tentu aku akan jatuh cinta
dengan tiba-tiba,” balas Nazwan kembali.
Arissa mengukir
senyuman. Dia mengeluh lega. Sejak dari pagi tadi, barulah dia dapat
menghela nafas lega. Semuanya Luqman punya pasal. Tapi dia tetap
berterima kasih kepada Luqman kerana memberitahu percutian mereka
itu. Dapat juga dia berjumpa Nazwan setelah beberapa hari tidak
berjumpa. Terubat rindunya.
“Nazwan, boleh aku
tanya sesuatu?” tanya Arissa setelah lama mereka mendiamkan diri.
“Mmm?”
“Apa yang
sebenarnya yang sudah berlaku pada malam tu?” tanya Arissa akhirnya
memberanikan diri bertanya.
“Malam apa?”
“Malam Natasya
meninggal dunia. Aku tunggu salah seorang daripada kau orang bertiga
beritahu apa yang berlaku tapi sampai sekarang tiada seorang pun yang
nak berkongsi dengan aku perkara yang sebenar. Aku nak tahu, apa yang
dah berlaku pada Natasya pada malam tu. Betul ke dia bunuh diri
seperti gosip yang aku dengar?” tanya Arissa.
Nazwan langsung
tidak bersuara. Lama juga Arissa tunggu tetapi satu bunyi pun dia
tidak dengar daripada Nazwan. Namun, dia tidak berputus asa.
“Dia ada telefon
aku malam tu dan marah-marah. Aku tak faham kenapa dia marah aku.
Gaya dia marah macam dia takut aku nak rampas kau daripada dia.
Serius, aku tak pernah ada perasaan pada kau sebelum tu. Aku memang
suka bila kau orang bersama. Tapi bila dia pergi dengan tiba-tiba...
aku rasa bersalah. Rasanya macam aku dah buat salah dengan dia.
Rasanya macam aku yang menyebabkan dia meninggal dunia,” tambah
Arissa lagi meluahkan apa yang disimpan selama ini.
Tiada sebarang
reaksi yang diterima daripada Nazwan. Nazwan hanya duduk di tepi
katilnya dengan senyap. Arissa menghela nafas panjang. Nampak gayanya
Nazwan memang tidak berminat hendak bercakap tentang hal itu.
Rasanya, cukup sampai di sini sajalah dia memaksa Nazwan.
“Ah, Nazwan,
laparlah. Apa kata kalau kita pergi makan? Kau tahu, sejak pagi tadi
aku hanya makan maggie saja,” ujar Arissa sambil bangun dari
baringnya. Memang betul perutnya sudah berkeroncong. Mungkin itulah
yang menjadi punca dia hilang tenaga sepanjang hari ini.
“Kenapa kau
rahsiakan hal Natasya daripada aku?” tanya Nazwan yang mula
bersuara.
“Hah? Hal apa?”
“Apa yang dia
pernah buat masa dia jadi model dulu,” kata Nazwan lagi.
Arissa mengerut
dahi. Tidak faham dengan apa yang sedang mereka bincangkan. Rasanya
dia tidak menyimpan rahsia besar tentang Natasya daripada Nazwan.
“Kau bercakap
tentang apa?” tanya Arissa.
“Tentang ni,”
ujar Nazwan sambil memberikan handset miliknya kepada Arissa.
Handset Nazwan tadi
bertukar tangan. Arissa melihat beberapa keping gambar yang
menyerupai seseorang. Bila diperhatikan, barulah dia mengenali gambar
itu. Itu adalah gambar separuh bogel Natasya yang pernah dilihatnya
dulu.
“Malam tu, masa
hantar Natasya, aku dapat mesej bergambar ni,” ujar Nazwan sebelum
Arissa membuka mulut. “Kami bergaduh besar dan putuskan hubungan.”
“Apa?” terkejut
Arissa mendengarnya. “Kau putuskan hubungan dengan dia? Kenapa? Kau
tahukan Natasya cukup setia dengan kau. Dia takkan buat benda bodoh
macam ni. Aku tak sangka kau mudah tertipu dengan semua ni,” keluh
Arissa.
“Ada aku cakap aku
percaya dengan semua tu?” ujar Nazwan semula.
“Habis tu, kenapa
sampai nak putuskan hubungan?”
Nazwan mengeluh
kecil. Lelaki itu dilihat cuba memberi tahunya akan sesuatu tetapi
bertindak berdiam diri. Pasti ada sesuatu yang cuba dirahsiakan
daripadanya. Dia ingat lagi, pada malam itu, Nazwan ada
menghubunginya dan bertanya tentang soalan yang pelik. Tidak lama
kemudian, Natasya ada menghubunginya. Bila dia terlepas cakap pasal
Nazwan, Natasya mula naik marah.
“Aku dah agak kau
orang bergaduh kalau tak, mustahil Natasya akan telefon aku malam tu
dan marah-marah. Cuma aku tak faham, kenapa dia anggap aku cuba nak
rampas kau. Okey, kalau dia masih hidup dan tahu aku dah terjatuh
cinta dengan kau, mungkin memang patut dia marah aku tapi masa tu...
aku langsung tak ada apa-apa perasaan terhadap kau. Dan, apa yang aku
tak faham, kau orang bergaduh pasal gambar ni... jadi, apa kena
mengena dengan aku?” soal Arissa sambil cuba mengaitkan segala
kemungkinan yang berlaku.
“Tengoklah siapa
yang hantar,” ujar Nazwan.
Jari jemari Arissa
lantas menekan butang pada hanset Nazwan untuk melihat siapa yang
berani menghantar gambar itu. Kalau benar gambar itu dihantar kepada
Nazwan dengan tujuan untuk memusnahkan hubungan mereka dahulu dan
sekali gus membawa kepada kematian Natasya, memang dia tidak akan
maafkan orang itu.
“Ini...,”
jari-jemarinya kaku apabila melihat nombor pengirim mesej bergambar
itu. “Ini nombor aku yang dulu!”
Arissa bergegas
turun dari katil dan duduk berhadapan dengan Nazwan. Wajah Nazwan
ditatap dengan berani. Gambar itu bukan dia yang hantar. Pendek kata
dia bukan dalang di sebalik kematian Natasya. Jadi, tiada apa yang
perlu ditakutkan. Kalau dia takut, lagilah Nazwan akan syak yang
bukan-bukan.
“Nazwan, kau kena
percayakan aku. Memang ni nombor telefon aku yang dulu tapi aku tak
pernah hantar gambar macam ni pada kau. Sumpah!” kata Arissa cuba
mempertahankan dirinya.
“Aku dah tak
peduli siapa yang hantar gambar tu tapi aku peduli pasal gambar tu.
Kau tahu pasal gambar tu, bukan?” tanya Nazwan memandangnya dengan
tajam.
Arissa tunduk. Kali
ini dia tidak berani menatap wajah Nazwan yang bagaikan hendak
menerkamnya. Seperti dia telah melakukan satu kesalahan yang besar.
Tambah lagi, tiba-tiba sahaja bulu romanya naik meremang apabila
disoal tadi.
“Kau tahu pasal
gambar tu, bukan?” soal Nazwan sekali lagi. Kali ini dengan nada
mendesak. Kecut perut Arissa mendengarnya.
“Tahu,”
perlahan-lahan Arissa menjawab.
Wajah Nazwan kembali
ditatap. Dia menghela nafas panjang dan mengumpul segala kekuatan
yang ada untuk meluahkan perkara sebenar. Tapi, baru sahaja mulutnya
ingin bersuara, semangatnya hilang tiba-tiba apabila teringat
sesuatu.
“Aku tak boleh
beritahu,” ujarnya tidak berani bertentang mata dengan Nazwan.
“Kenapa?” tanya
Nazwan.
“Aku dah janji
dengan Natasya takkan beritahu kau pasal ni,” jawabnya dengan
perasaan serba salah.
“Natasya dah tak
ada. Tak guna juga kau rahsiakan lagi,” kata Nazwan.
“Tapi janji tetap
janji!”
“Arissa,” desak
Nazwan.
“Pendek kata,
Natasya tak buat semua tu. Gambar ini gambar palsu. Gambar edit. Dia
kena ugut. Disebabkan gambar inilah dia berhenti jadi model. Aku
boleh jamin,” kata Arissa cuba meyakinkan Nazwan sekali lagi.
Tiada sebarang
reaksi daripada Nazwan. Arissa sendiri tidak tahu sama ada Nazwan
percaya atau tidak tetapi apa yang dia beritahu tadi memang benar
belaka. Namun, Nazwan tetap memandangnya dengan tajam. Tiada reaksi
yang menunjukkan Nazwan percaya dengan kata-katanya tadi.
“Nazwan,
percayalah. Dia kena ugut dengan kawan dia sendiri!”
“Kawan?” sekali
lagi Nazwan memandangnya dengan tajam. Meninggalkan maksud yang
mendalam.
“Bukan! Bukan aku.
Aku takkan buat macam tu pada dia. Takkan kau tak kenal aku. Aku tak
akan tikam kawan sendiri. Yang aku maksudkan orang lain,” sekali
lagi Arissa cuba menyakinkan Nazwan.
“Kalau bukan kau,
jadi, maknanya... Sarah?” teka Nazwan.
“Bukan! Orang
lain. Kau tak kenal dia. Aku pun tak kenal perempuan tu sangat. Dia
kawan lama Natasya semasa dia jadi model. Perempuan tu pun model
jugak tapi disebabkan dia cemburu dengan apa yang Natasya dapat, dia
gunakan taktik kotor tu dengan ugut Natasya tinggalkan dunia
modeling.”
“Kemudian?” soal
Nazwan ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi.
“Dah tentulah
Natasya tinggalkan dunia modeling yang teruk tu. Lagipun dia memang
dah tak tahan dengan kerja tu,” terang Arissa secara ringkas.
“Macam mana dengan
perempuan yang ugut dia tu?” tanya Nazwan.
“Lepas aku bagi
sejumlah duit kepada dia, kes tu tamat sampai situ.”
“Habis tu macam
mana gambar ni boleh wujud lagi?” tanya Nazwan lagi.
“Sumpah. Aku tak
tahu. Aku cuma pernah tengok sekali. Itupun Natasya yang tunjuk. Aku
tak pernah simpan gambar tu. Aku sendiri tak tahu macam mana kau
boleh dapat gambar tu dari nombor telefon aku,” sekali lagi Arissa
terpaksa mempertahankan dirinya.
“Kau ingat aku
bodoh ke?” soal Nazwan sekali lagi memandangnya dengan wajah yang
serius seolah-olah apa yang dia terangkan tadi tidak dapat membuatkan
Nazwan percaya kepadanya.
Arissa tidak dapat
menahan air matanya daripada jatuh membasahi pipi. Sukar untuk dia
terima semua ini. Sudah tentu Nazwan tidak akan percaya biarpun dia
sudah menceritakan hal yang sebenar. Tiada tokok tambah. Namun,
Nazwan tetap tidak percaya bila bukti kukuh menunjuk ke arahnya.
“Kenapa kau
menangis?” tanya Nazwan.
“Aku tak buat.
Natasya kawan aku. Aku sayang dia. Nazwan, percayalah. Aku tak buat
semua tu,” tangisnya teresak-esak cuba menyakin Nazwan.
“Siapa kata aku
percaya kau yang buat semua ni?” ujar Nazwan.
“Hah?” terkejut
Arissa mendengarnya. Terus dia berhenti menangis. “Apa kau kata
tadi?” tanya Arissa ingin memastikan apa yang didengarnya tadi.
“Aku kata, aku
percayakan kau,” ulang Nazwan sambil menjentik dahi Arissa.
“Sakit!” Arissa
mengaduh kesakitan. “Kalau kau percaya kenapa kau jentik dahi aku
lagi?”
“Sebab kau memang
senang ditipu,” jawab Nazwan selamba.
“Hah?”
“Kali pertama aku
tengok gambar tu, aku tahu itu memang gambar edit. Aku juga tahu
bukan kau yang hantar gambar tu walaupun gambar tu dihantar melalui
handset kau. Orang yang buat ni boleh tipu kau dan Natasya tapi dia
tak boleh tipu aku,” kata Nazwan.
“Wah, Nazwan
memang hebat!” puji Arissa sambil bertepuk tangan. “Jadi, kau
percaya yang aku tak buat semua ni?” soal Arissa kembali.
Nazwan mengangguk.
“Aku percayakan kau.”
“Nazwan! Aku
sayang kau!” sorak Arissa dengan penuh gembira. Dia terlampau
gembira sehingga dia tidak dapat mengawal diri dan ingin memeluk
Nazwan. Sekali lagi dahinya menerima jentikan kuat oleh Nazwan.
“Sakit!”
“Siapa suruh ambil
kesempatan,” Nazwan menjeling tajam.
Arissa menarik
muncung. “Nazwan memang teruk!”
“Kalau macam tu,
berhentilah pikat aku,” balas Nazwan selamba.
Muncung Arissa
hilang begitu sahaja dan diganti dengan senyuman cerianya.
“Nazwan memang
seorang lelaki yang teramat baik di dunia dan tak ada seorang pun
yang boleh tandingi kebaikan Nazwan!” puji Arissa.
“Simpan ajelah
pujian kau tu untuk bakal suami kau,” balas Nazwan.
“Aku seratus
peratus pasti yang kau adalah bakal suami aku,” ujar Arissa tanpa
segan silu. Hendak segan apa lagi kalau dia sudah meluahkan rasa
cintanya pada Nazwan sejak awal-awal lagi.
“Ohh... aku
seratus peratus pasti yang Naufal adalah bakal suami kau,” balas
Nazwan tanpa sedar. Dia tidak sedar yang mulutnya menyebut nama
Naufal.
“Naufal?” Arissa
mengerut dahi apabila nama Naufal disebut Nazwan. “Oh ho... ada
orang cemburu,” Arissa tersengih-sengih sambil menepuk tangan.
Menyakat.
“Boleh tak jangan
perasan sangat?” ujar Nazwan dengan menjeling tajam.
“Kau nampak comel
bila cemburu,” usik Arissa lagi.
“Arissa,” tegur
Nazwan sudah tidak tahan dengan usikkan Arissa.
“Ye sayang,”
sekali lagi dia mengusik.
Mood menggatal sudah
mula aktif. Berkelip-kelip matanya yang bulat merenung wajah Nazwan.
Tersenyum dia apabila melihat Nazwan yang serupa macam malu-malu
kucing. Ini yang membuatkan dia lagi bertambah miang. Meow!!
Tiba-tiba sekali
lagi dahi Arissa menerima jentikan kuat daripada Nazwan. Kali ini
lebih sakit daripada yang diterima tadi.
“Nazwan! Dahi aku
ni bukan kebal. Sakit tau!” marah Arissa sambil menggosok dahinya
yang sakit. Sudah lama Nazwan tidak menjentik dahinya. Sekali dia
jentik memang sakit.
“Kenapa kau tengok
aku macam tu?” tanya Arissa apabila perasan akan Nazwan yang asyik
merenungnya.
“Terima kasih,”
ucap Nazwan.
“Terima kasih
kerana mencintai kau?” soal Arissa malu-malu kucing.
“Tak, terima kasih
kerana selalu bagi aku masalah,” balas Nazwan dengan jelingan
tajam.
Arissa mengeluh
kecil. Dia tahu, Nazwan hanya bergurau tetapi entah kenapa hatinya
terasa sakit apabila mendengarnya. Tiba-tiba sahaja hatinya menjadi
begitu sensitif. Pelik. Selama dia mencintai seseorang, tidak pernah
lagi hatinya terluka hanya kerana kata-kata gurauan. Ini kali pertama
dia merasainya.
“Wei, aku gurau
sajalah,” ujar Nazwan yang menyedari ada sesuatu yang tidak kena
dengan Arissa yang mendiamkan diri.
“Aku tahu kau
bergurau tapi aku serius,” ujar Arissa serius. “Selagi aku masih
hidup dan cintakan kau, aku tetap akan bagi kau masalah. Sekarang,
aku lapar. Jom temankan aku cari makanan!”
Nazwan menghela
nafas lemah.
“Masalah lagi.”
“Cepat!” arah
Arissa yang sudah bangun dari duduknya.
“Apa kata kalau
order saja dari pihak hotel?” cadang Nazwan yang malas hendak
berganjak dari duduknya.
“Tak nak!” tegas
Arissa mula dengan perangai kebudak-budakkan.
“Bukan ke kau
masih demam?” Nazwan sengaja mencari alasan.
“Cepat!” arah
Arissa yang sudah membuka pintu.
“Okey,” jawab
Nazwan keterpaksaan.
“Seronok nampak.
Macam pengantin baru,” sapa satu suara sebaik sahaja Nazwan menutup
pintu bilik.
Baik Arissa mahupun
Nazwan, masing-masing terkejut apabila suara itu menyapa. Terus kecut
perut mendengarnya. Bukan saja kecut perut, tapi bulu roma pun turut
meremang satu badan. Itu belum lagi bertentang mata dengan orang
empunya suara.
Perlahan-lahan kaki
Arissa melangkah bersembunyi di belakang Nazwan. Dia tidak berani
hendak memandang ke hadapan dan bertentang mata dengan sesiapa pun di
hadapannya kini.
“Nenek...,”
Nazwan bersuara.
Habis, masalah lagi.
tertangkap suda...jwb ler nazwan'kawen kn kami nek',haha