Mata Zahira meliar membaca setiap patah
perkataan yang tercatit pada sehelai kertas A4 yang diberikan oleh seorang
pelajar perempuan yang berdiri di hadapannya sekarang. Sesekali dia akan
memandang pelajar universitinya itu sambil berfikir, dari manakah pelajar itu
datang? Dari bulan? Dari planet lain atau dari dimensi lain? Setahunya belum
pernah seorang manusia di bumi berani mencabar keluarga Zainuddin dengan
menulis artikel seperti ini.
“Serangai pena berdarah?” Soal Zahira. Dia
dapat rasakan ada sesuatu yang telah berlaku sehingga menyebabkan gadis di
hadapannya itu berani menulis artikel yang mampu membuatkan Zarul berasa
tercabar.
“Hero perlu menyelamatkan dunia tapi
wartawan perlu membersihkan dunia daripada segala penyakit perosak yang
datangnya daripada manusia. Itu yang ditulis oleh mama saya semasa dia mulakan
tugasnya sebagai seorang wartawan. Saya hanya mewarisi darahnya,” jawab gadis
itu dengan tenang.
“Cik...,” Zahira berhenti bersuara sebentar
dan melihat nama yang tercatit di atas artikel yang dibacanya tadi. “... Cik
Indah, saya minta maaf. Saya tak boleh bagi kelulusan untuk siarkan artikel
seperti ini,” kata Zahira memberitahu keputusannya.
Kertas itu kemudiannya dikeronyokkan
sebelum dicampak ke dalam tong sampah.
“Tapi saya habiskan masa satu hari untuk
tulis artikel tu,” kata Indah barangkali tidak dapat menerima keputusan tadi.
“Kalau macam tu, awak patut hargai masa
awak mulai hari ini. Banyak lagi yang boleh awak tulis selain artikel seperti
ini,” balas Zahira.
“Tapi....”
“Keputusan saya muktamat. Saya banyak
kerja yang perlu disiapkan,” potong Zahira kembali menatap laptop di atas
mejanya. Menyedari Indah masih belum berganjak di hadapannya, lantas dia
menyoal, “Perlu ke saya tunjukkan jalan keluar?”
Dengan wajah kecewa, Indah akhirnya
melangkah keluar dari pejabatnya. Selepas pintu pejabatnya ditutup rapat,
Zahira kembali memandang monitor laptopnya. Satu emel yang diterima tadi
dibukanya. Namun, belum sempat dia hendak membaca emel itu, pintu pejabatnya
dibuka oleh Indah sekali lagi.
“Saya tahu keputusan Cik Zahira muktamat
tapi saya masih berharap artikel tu disiarkan. Bukan sebab saya sakit hati
dengan Zarul tapi sebab saya rasa itu adalah yang terbaik untuk Zarul,” kata
Indah sebelum sempat Zahira bersuara. Indah yang melangkah laju ke mejanya itu
pantas mencapai sebatang pen dan sehelai kertas sebelum menulis satu nombor di
atasnya.
“Ini nombor telefon saya. Kalau Cik Zahira
tiba-tiba bertukar fikiran, hubungi nombor saya,” ujar Indah lagi menyerahkan
nombor telefonnya sebelum berlalu pergi membuatkan Zahira terpinga-pinga. Belum
pernah dia dilayan sedemikian oleh pelajar universitinya.
Sejurus pintu biliknya ditutup sekali
lagi, telefon bimbitnya berbunyi. Tanpa menunggu lebih lama, Zahira menjawab
panggilan yang biasa menghubunginya itu.
“Kenapa?” Tanyanya menjawab panggilan
daripada seseorang itu. Dia mendengar dengan teliti setiap bait kata yang
disampaikan oleh si pemanggil itu. Dahinya semakin berkerut apabila mendengar
berita yang disampaikan.
“Aku akan hubungi kau nanti. Buat masa ni
kumpul semua data-data yang belum dimusnahkan,” kata Zahira sebelum menamatkan
panggilan. “Zarul... dia memang tak sayang nyawa sendiri!” Dia mendengus marah.
Serentak itu, dia menutup laptopnya, mencapai beg tangan dan kunci keretanya
sebelum meninggalkan pejabat.
“Bukankah aku dah kata, dua Z tu memang
susah nak handle,” kata Riana kepada Indah sambil duduk di sebuah bangku kosong
di kafeteria.
“Aku terfikir nak siarkan saja artikel tu
tanpa kelulusan Cik Zahira,” balas Indah yang masih lagi tidak berpuas hati
dengan keputusan tadi. Mana tidaknya, seharian dia habiskan masa duduk di
hadapan komputer untuk mereka ayat yang sopan tetapi pedas khas untuk Zarul.
Malangnya, semua usahanya sia-sia.
“Sebelum kau buat perkara tu, kau kena
fikirkan tentang kelab Buletin terlebih dahulu. Aku tak nak kelab Buletin
diambil alih oleh Kamelia,” kata Riana yang tidak bersetuju dengan idea gila
Indah.
“Ah, aku perlukan satu tongkat ajaib yang
boleh ubah keputusan Cik Zahira!” Indah mendengus marah.
“Aku tak tahu kau pun berminat nak jadi
Cinderella,” sapa Hero yang entah bila berdiri di belakangnya.
“Kau tahu apa persamaan aku dengan
Cinderella?” Soal Indah sebaik-baik sahaja Hero yang datang bersama Haslina
duduk di hadapannya.
“Kau orang berdua tak kenal antara satu
sama lain?” Teka Hero.
“Salah. Persamaannya, kedua-dua kami
dilahirkan di dunia yang berbeza. Dia lahir dari alam otak manusia manakala aku
dilahirkan di dunia serba moden,” jawab Indah selamba.
Hero hanya menggeleng. Memang sukar hendak
mengagak apabila bercakap dengan Indah yang gemar memanipulasikan keadaan.
“Okey, lupakan seketika pasal Cinderella,”
ujar Riana sambil menghulurkan kedua tangannya kepada Hero dan Haslina. “Aku
masih tertunggu-tunggu hasil pertama dari kau orang berdua.”
“Jangan risau, kami dah siapkan,” ujar
Haslina sambil mengeluarkan beberapa helai kertas dari fail birunya dan
diberikan kepada Riana. Hero juga melakukan perkara yang sama.
“Terima kasih,” ucap Riana sambil membaca
sekali imbas hasil kerja mereka berdua. “Okey, untuk bahagian Haslinda dan Hero
dah settle. Sekarang tinggal bahagian aku dan Indah. Tapi, apa yang aku nampak
bahagian Indah agak samar-samar.”
“Artikel tu akan disiarkan. Tak kira apa,
artikel tu mesti disiarkan,” ujar Indah.
“Walaupun aku tak rapat dengan Cik Zahira
tapi aku tahu perangai dia. Kalau dia kata ‘Tidak’ maka tidaklah jawapannya.
Kau perlu terima.”
“Papa aku pernah berkata, jangan sesekali
mengaku kalah selagi kita belum kalah. Mungkin Cik Zahira takkan ubah fikiran
tapi itu tak bermakna aku mengaku kalah dengan senang. Aku akan fikirkan cara
bagaimana nak jatuhkan Prince Charming perosak alam tu!”
“Kau dah melampau Zarul!” Lantang suara
Zahira memecah kesunyian rumah yang kini hak milik Zarul itu.
“Aku tahu kau akan dapat berita tu dan
serang rumah aku,” ujar Zarul yang sedang menikmati minum petang sambil membaca
surat khabar.
“Tiada siapa yang berani upah samseng dan
musnahkan makmal bawah tanah selain kau! Kau tahu tak, kau dah buat kita
menanggung kerugian disebabkan perangai kebudak-budakkan kau. Ayah kau dah
melabur banyak untuk bina makmal tu dan memusnahkannya bagaikan memusnahkan
titik peluh ayah kau sendiri,” ujar Zahira yang tidak dapat terima tindakan
Zarul yang terburu-buru itu.
Zarul masih dengan riak muka yang selamba.
Kata-kata Zahira tadi langsung tidak menakutkannya, malah lagi membuatnya
bertambah kuat menghadapi segala kemungkinan. Dia tahu apa yang dilakukannya
itu telah menyebabkan syarikat yang dibina oleh arwah ayahnya dahulu menanggung
kerugian yang banyak tetapi hanya itu cara yang dia dapat fikirkan jikalau dia
ingin berlawan dengan Zahira.
“Kenapa senyap?” Soal Zahira.
Zarul menatap wajah Zahira yang sedang
marah itu. Dia berasa bersyukur kerana wanita itu belum sempat berkahwin dengan
ayahnya, jika tidak pasti wanita itu sudah bermaharajalela di rumah itu dan
mengawal setiap pergerakannya.
Zarul tidak mahu bercakap banyak. Dia
mencapai sebuah fail dan mencampaknya di hadapan Zahira. Tanpa disuruh, Zahira
terlebih dahulu mencapai fail itu dan membukanya.
“Bukankah aku kata, jangan bermain dengan
aku. Mungkin aku masih muda tapi aku bukan budak-budak,” kata Zarul sebelum
menghirup air kopinya. “Si perompak yang dikatakan merompak rumah aku tempoh
hari, bukan perompak dan kau tahu tentang tu.”
“Aku harap kau tak terkejut. Kau dah jadi
jutawan segera, jadi tak mustahil nyawa kau dah jadi perhatian musuh-musuh ayah
kau,” jawab Zahira tenang sambil meletak fail itu kembali. “Tapi memusnahkan
makmal kajian disebabkan hal macam ni masih lagi dipanggil tindakan kebudak-budakkan.”
Zarul sekadar tersenyum.
“Aku tak terkejut kalau seorang perompak
bertukar menjadi seorang pembunuh tapi aku sangat terkejut apabila dapat tahu
si pembunuh tu adalah seorang remaja lelaki yang telah meninggal dunia 2 tahun
yang lalu. Persoalannya, macam mana remaja lelaki yang meninggal dunia
tiba-tiba muncul 2 tahun kemudian sebagai pembunuh?” Soal Zarul mengeluarkan
jerangkap samarnya.
“Itu satu berita yang hebat dan agak
dongeng,” jawab Zahira tenang.
“Mmm... aku harap macam tu tapi setelah aku
siasat dengan lebih terperinci, aku dapati orang yang serang aku ni dilaporkan
meninggal dunia di Hospital Nusantara yang dibina oleh ayah. Dan semakin aku
siasat, data dia ada di makmal yang aku suruh mereka musnahkan tu,” tambah
Zarul lagi.
“Aku patut dengar nasihat ayah kau, jangan
sesekali perkecilkan kebolehan kau,” kata Zahira masih lagi tenang walaupun dia
tahu sebahagian daripada rahsia yang dipegangnya kini sudah diketahui Zarul dan
mungkin suatu hari nanti Zarul akan mengetahui semua rahsia yang disimpan
olehnya. “Aku nak kau dengar nasihat aku pula, jangan sesekali masuk campur
dalam hal ni. Kalau tak, aku takkan dapat jamin keselamatan kau.”
“Terima kasih atas nasihat kau. Aku akan
ingatnya sampai bila-bila,” ujar Zarul sambil tersenyum sinis.
Indah memandang kiri dan kanannya. Semua
orang sedang tekun menyalin sesuatu pada buku nota mereka dan ada juga yang
sedang tekun mendengar penerangan daripada Puan Wahida yang sedang menerangkan
prinsip-prinsip asas untuk memulakan perniagaan. Sejujurnya dia tidak pernah
terfikir hendak menjadi ahli perniagaan apatah lagi belajar ilmu perniagaan.
Semuanya sudah ditetapkan oleh papanya.
Dia juga tidak mempunyai cita-cita yang
tetap. Apa yang dia inginkan adalah mengembara ke serata dunia kerana sejak dahulu
lagi dia amat meminati sesuatu yang lasak. Namun, hobinya itu sering ditentang
oleh papanya dengan alasan dia selalu mendatangkan masalah besar setiap kali
dia mengembara.
Malah dia sendiri mengakuinya. Setiap kali
dia mengembara ke luar negara pasti ada sahaja masalah yang timbul. Seolah-olah
dirinya memang sudah disumpah akan mendatangkan masalah tidak kira tanah mana
dia sedang pijak. Disebabkan itulah dia dipaksa duduk bersama pak cik dan mak
ciknya. Tetapi sampai sekarang dia tidak tahu tujuan sebenar papanya
menghantarnya ke tanah yang diberi nama Nusantara itu.
“Indah!” Lantang suara Puan Wahida
menyapanya di hadapan. Serentak itu juga, semua semua pelajar di dalam kuliah
itu memandang ke arahnya. “Putera dari kayangan takkan jejak ke Bumi kalau awak
terus mengelamun macam tu. Jadi, sila beri tumpuan dalam kelas saya atau saya
halang awak masuk ke kuliah saya buat selama-lamanya!”
Perlahan-lahan
dia menarik nafas lemah. Kini barulah dia percaya, dia memang pembawa masalah.
Setiap orang yang dijumpainya pasti tertarik dengannya sehingga orang itu ingin
melancarkan perang dingin dengannya.
“Baiklah,
kamu semua tahu tak pembaziran yang paling utama dalam dunia ini?” Soal Puan
Wahida menyambung kembali syarahannya yang terganggu tadi.
Semuanya senyap atau lebih tepat lagi
tidak berani bersuara. Siapa yang sanggup jadi mangsa percuma wanita yang
dahagakan setiap kesilapan orang itu.
“Takkan tak ada sesiapa pun yang boleh
jawab soalan yang senang tu!” Sekali lagi Puan Wahida mengaum. “Indah, apa
jawapan awak?” Soal Puan Wahida yang seperti sengaja ingin menguji kesabaran
Indah.
Sekali lagi Indah menjadi tetapan pelajar
dalam kelas itu. Baru sahaja dia ingin menjawab soalan tadi, tiba-tiba telefon
bimbitnya mengalunkan muzik yang rancak. Muka Puan Wahida yang bengis tadi
hampir bertukar menjadi muka The Hulk.
“Siapa punya telefon tu?” Soal Puan Wahida
sambil memandang seorang demi seorang pelajar dalam kelasnya itu.
“Saya,” jawab Indah selamba sebelum
mematikan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali tadi. Kalau dia
menjawab panggilan itu maknanya mencari mautlah dengan Puan Wahida.
“Kan saya dah beritahu awal-awal lagi,
jangan sesekali...,” kata-kata Puan Wahida terputus apabila Indah bersuara.
“Puan tahu tak apa pembaziran yang paling
utama? Bukan duit, bukan masa dan bukan juga tenaga tapi pembaziran harta
intelektual. Tahu tak berapa lama Alexander Graham Bell mengambil masa untuk
sumbangkan sesuatu kepada generasi sekarang? Tanpa Alexander Graham Bell, tanpa
pengetahuan intelek dia, tanpa evolusi dalam harta intelek, tak akan adanya
telefon bimbit. Dan perlu ke saya adakan sesi perbahasan kenapa telefon bimbit
adalah salah satu benda wajib yang perlu dimiliki?” Ujar Indah yang sudah mula
ingin memberontak.
“Awak
ingat saya bodoh? Tak kisah walau apapun kepentingan sains dan teknologi,
perbuatan awak tu dah menganggu…,” Sekali lagi belum sempat Puan Wahida
menghabiskan ayatnya, telefon bimbit Indah berbunyi sekali lagi.
Tanpa
mempedulikan Puan Wahida yang sudah naik darah di hadapan, Indah terus menjawab
panggilan tersebut.
“Cik Indah,” sapa satu suara di hujung
talian.
“Err... ya,” jawab Indah teragak-agak
apabila namanya disapa begitu sahaja. Dia tidak dapat mengagak siapakah yang
berada di talian sekarang.
“Awak ada masa 30 minit dari sekarang
datang ke pejabat saya dan bawa apa yang perlu awak bawa!” Suara itu menegaskan
sesuatu. Otak Indah pantas bertindak balas.
“Cik Zahira?”
“30 minit sebelum saya ubah fikiran,”
tegas suara itu lagi sebelum talian dimatikan.
“Yes!” Dia bersorak gembira tanpa
mempedulikan semua mata yang masih memandang ke arahnya. Begitu juga dengan
Puan Wahida yang bagaikan The Hulk versi wanita yang kelaparan daging manusia.
“Maaf Puan Wahida, saya tak suka membazir
harta intelek yang ada pada saya. Seperti yang puan pernah cakap sebelum ini,
seseorang usahawan perlu pandai menghargai masa dan merebut peluang yang datang
bergolek. Sekarang, peluang dah datang bergolek dan saya takkan sesekali
lepaskannya. Pergi dulu,” ujar Indah sempat mengemas begnya dan bergegas keluar
mengikut pintu belakang.
“Front page?” Tanya Riana mencapai sehelai
kertas yang ditunjukkan oleh Indah tadi. Tulisan Cik Zahira selaku pengarah
kampus yang menulis perkataan “Front page” atas kertas yang tertulis artikel
Indah itu ditelitinya. Sukar dia hendak percaya bahawa itu memang tulisan Cik
Zahira.
“Wow, aku tak sangka dia betul-betul akan
ubah fikiran. Mungkin ada sesuatu yang tak kena antara dia dengan Zarul,” teka
Riana yang kelihatan gembira dengan berita itu.
“Sorry Riana, aku dah curi front page
kau,” ujar Indah.
“Oh, tak mengapa. Walaupun berita tentang
mak cik tu agak sensasi tapi demi menjaga nama baik mak cik tu dan beberapa
orang yang bersubahat dengan dia ditambah lagi sebab nak menjaga nama baik
universiti kita, aku rela berita ni tak disiarkan. Lagipun mereka semua dah
terima surat cinta dari lembaga tatatertib. Kes ditutup,” balas Riana.
“Tapi kau dah bersedia untuk lalui hari
esok?” Soal Riana.
“Setiap orang ada takdir masing-masing.
Mungkin dah ditakdirkan hidup aku selalu menimbulkan masalah dengan orang
sekeliling. Nak tak nak kita kena teruskan hidup, bukan?”
“Komen aku, kau memang ditakdirkan untuk
jadi seorang wartawan sebab darah wartawan sedang mengalir dalam badan kau.”
Zarul
melangkah masuk ke dalam sebuah kafe berhampiran Universiti Nusantara yang juga
merupakan tempat lepaknya jika dia tidak berminat hendak memasuki kelas.
Jikalau arwah ayahnya dahulu tidak meletakkan syarat bahawa dia perlu
menamatkan pengajian sekurang-kurangnya memiliki Ijazah di Universiti Nusantara
dalam wasiat ayahnya itu, mungkin dia sudah lama meninggalkan tanah Nusantara
yang menjadi saksi tempat kelahirannya ini.
Sehingga
ke hari ini dia masih lagi tidak faham tujuan ayahnya menulis syarat seperti
itu. Dia berpendapat mungkin ayahnya sudah dapat menjangka apa yang berada di
dalam fikirannya dan bertindak menghalangnya dengan mengadakan wasiat yang
tidak masuk akal. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kerana dia tidak mahu
kehilangan apa yang dimiliknya pada hari ini.
“Air
kopi dengan setengah sudu gula,” sapa seorang pelayan perempuan yang selalu
melayannya apabila dia datang ke kafe itu. Secawan air kopi diletakkan di atas
meja.
“Terima
kasih,” ucap Zarul sambil mengenyit mata kepada pelayan perempuan itu.
“Kenapa?” Tanya Zarul apabila pelayan perempuan yang hanya dikenali dengan nama
Nafirah itu tidak berganjak dari tadi.
Nafirah
menghulurkan surat khabar Buliten kepadanya.
“Aku
cuma tertanya-tanya, berapa ramai gadis yang tidur dengan kau dalam sehari?”
ujar Nafirah sebelum berlalu dari situ dengan nada sindiran.
Prince
Charming; Makhluk Perosak Alam oleh Nur Indah.
Tajuk
besar pada muka hadapan surat khabar Buliten itu dibacanya. Walaupun dia tidak
membaca kandungan artikel itu lagi tetapi dia sudah dapat mengagak ada yang
terkandung di dalamnya jikalau si penulis artikel itu adalah Indah yang
ditemuinya beberapa hari yang lalu.
“Dalam beberapa jam buliten kita dah habis
dijual. Terima kasih kepada artikel Indah yang pedas,” ujar Riana bertepuk
tangan bersorak meraikan kejayaan buat kali pertama dalam sejarah kelab Buliten
itu.
“Kau patut berterima kasih kepada Prince
Charming perosak alam tu,” balas Indah.
“Aku tak sangka kau berani tulis artikel
macam ni,” kata Hero yang baru sahaja habis membaca artikel yang ditulis oleh
Indah itu. “Kau masih baru dekat sini mungkin kau tak tahu dengan siapa kau
bermain sekarang.”
“Betul tu,” sokong Haslina. “Walaupun aku
tak pernah berjumpa dengan Zarul tapi aku ada dengar banyak cerita yang kurang
baik tentang dia. Dia ada duit dan itu membuatkan dia lebih berkuasa kat sini.
Apa yang aku dengar, sesiapa yang sengaja cari pasal dengannya, orang tu takkan
hidup aman,” tambah Haslina lagi.
“Jangan risau. Dia bukan anak orang kaya
pertama yang pernah aku jumpa,” balas Indah.
“Kalau macam tu, aku mungkin anak orang
kaya terakhir yang kau akan jumpa selepas ni,” sapa satu suara mencelah
perbualan mereka.
Masing-masing berpaling memandang ke arah
Zarul yang berdiri di muka pintu bilik Kelab Buliten. Di tangannya terdapat
senaskah surat khabar Buliten yang laris bagaikan pisang goreng panas tadi.
“Zarul, aku tak sangka kau baca buliten
universiti. Aku ingat kau cuma akan layan majalah Playboy,” ujar Indah langsung
tidak berasa takut dengan kedatangan Zarul ke kelab Buletin. Memang dia sudah
bersedia dengan apa-apa sahaja yang bakal terjadi sejak awal lagi.
“Playboy? Kenapa aku perlu layan majalah
Playboy sedangkan aku boleh dapat perempuan dengan senang saja?”
Indah sekadar tersenyum.
“Tapi itu tak bermakna aku jenis macam tu.
Aku tak suka dapatkan sesuatu yang senang nak dapat. Kalau tak, mungkin dah
lama aku ada anak luar nikah,” tambah Zarul yang kini berhadapan dengan Indah.
“Jadi, kau datang sebab nak bagi amaran
atau nak mulakan perang saraf?”
“Aku tak suka bergaduh dengan perempuan.”
“Walaupun perempuan tu pernah lakukan
salah satu teknik judo terhadap kau?”
“Kau tahu, hidup seorang prince charming
seperti aku ni memang banyak pengikut fanatik terutama sekali daripada kaum kau
sendiri.”
“A'hah. Kenapalah aku tak terfikir sebelum
ni bahawa kejayaan seorang lelaki terdapat seorang wanita di belakangnya. Tapi,
kau fikir semua pengikut fanatik kau tu setanding dengan aku?”
Zarul hanya tersenyum.
“Aku tak berani jamin. Walau apapun,
semoga hidup kau aman damai selepas ni,” ujar Zarul sebelum berlalu pergi dari
situ.
“Dia betul-betul marah,” kata Riana
selepas Zarul meninggalkan bilik itu.
“Jangan risau, itu sikap semula jadi
manusia. Semua orang marah kalau kita letak bom dalam kawasannya,” balas Indah
selamba.
“Dan kau tak takut?” Tanya Hero.
“Takut dengan Zarul?” Indah tersenyum.
“Hero, kalau kau nak jadi hero yang sebenar, kau perlu dengar nasihat aku.
Jangan sesekali....”
“Ada perasaan takut?” teka Hero.
“Tak. Jangan sesekali kencing dalam
seluar.”
“Aku
tahu kau akan datang cari aku hari ni,” kata Zahira sebaik-baik sahaja
melangkah masuk ke dalam pejabatnya dan mendapati Zarul sudah berada di dalam
menunggu kedatangannya.
“Aku dapat tahu kau yang meluluskan
artikel ini,” ujar Zarul sambil menunjukkan surat khabar Buliten yang
mengandungi artikel berbau fitnah ke atas dirinya.
“Aku hanya menjalankan tugas.”
“Tugas... tapi, kenapa aku nampak seperti
balas dendam saja?”
“Ayah kau dah bagi universiti ni pada aku
dan aku ada hak nak buat apa pun. Kalau aku nak buang kau dari kolej ni pun
boleh. Tapi memandangkan aku akan kehilangan apa yang ayah kau wasiatkan kepada
aku kalau aku buang kau dari kolej ni, lebih baik kita lupakan apa yang berlaku
antara kita. Jadi, 1-1,” kata Zahira.
“Walaupun sampai sekarang aku tak faham
kenapa ayah tinggalkan wasiat yang tak masuk akal tu, tapi aku tetap percaya,
kau yang rancang semua ni dan aku akan pastikan suatu hari nanti aku dapat
rampas balik apa yang sepatutnya jadi hak aku!” Zarul terus meninggalkan
pejabat Zahira.
“Kalau macam tu, aku akan pastikan semua
tu takkan berlaku!” ujar Zahira sambil mengukirkan senyuman sinis.





0 komen:
Catat Ulasan