Peraturan Blog ini

Baca BOLEH
Puji BOLEH
Komen BOLEH
Kutuk BOLEH
Tiru TAK BOLEH
Copy & paste (entry) TAK BOLEH

Sountrack

About the Blog

Blog ini diwujudkan sejak awal tahun 2008 dengan tujuan untuk berkongsi karya-karya saya kepada penggemar novel dan sesiapa sahaja yang berminat penulisan novel. Kesemua enovel atau karya dalam blog ini adalah kepunyaan hak mutlak saya dan saya harap tiada pihak yang menyalahgunakan karya-karya dalam blog ini dengan menyalin dan menampalnya di dalam blog lain atas apa tujuan sekalipun.

Adalah dinyatakan juga, kesemua karya dalam blog ini kemungkinan akan diterbitkan dalam versi cetak. Jadi, saya tidak akan meletakkan kesemua bab untuk sesebuah enovel. Kemungkinan juga versi enovel tidak akan sama 100% seperti versi cetak. Oleh yang demikian, apa yang anda baca dalam blog ini adalah idea asal manakala apa yang anda baca dalam versi cetak adalah idea terbaharu.

Sebarang pertanyaan mengenai enovel dan novel akan datang, anda boleh bertanya di Facebook saya atau emelkan pertanyaan anda kepada ratu.bulan.antasya@gmail.com.

Harap maklum ^_^


Pengikut

JOM LEPAK!

JOM LEPAK!
klik pada gambar

23 Ogos 2011

4: KEPERCAYAAN


Zarul mengurut lehernya yang terasa lenguh. Dia melihat jam pada tangannya. Tepat pukul 9:30 malam. Mungkin terlampau asyik sangat mengadap kerja-kerjanya sehingga dia tidak sedar bahawa hari sudah hampir lewat malam. Badannya disandarkan di kerusi yang pernah menjadi tempat arwah ayahnya bekerja. Serta-merta dia terkenangkan kehidupan lamanya.

Dia masih ingat lagi, ketika arwah masih hidup, dia selalu habiskan masa di kelab-kelab malam dan pulang diawal pagi. Ayahnya langsung tidak pernah menegur perbuatannya seolah-olah tidak peduli dengan aktivitinya pada waktu malam. Hubungan dia dengan ayahnya agak renggang berikutan mereka berdua jarang bertemu di rumah.

Kini, setelah ayahnya meninggal dunia dia terpaksa mengambil alih setiap kerja-kerja ayahnya. Sama ada dia suka atau tidak, dia terpaksa menggantikan tempat ayahnya. Pada masa itu barulah dia tahu kesensaraan ayahnya yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah para pemegang saham yang bermuka-muka. Sejak itu jugalah dia tidak lagi menghabiskan masanya di kelab-kelab malam lagi. Kini masanya banyak dihabiskan di pejabat kecil di rumah peninggalan ayahnya itu. Disebab itu juga dia terpaksa menjejak kaki ke universiti yang paling dibencinya.

“Siapa?” tanya Zarul apabila mendengar sesuatu di sebalik pintu bilik bacaannya itu.

Tiada jawapan tetapi bunyi detapan tapak kaki masih lagi kedengaran.

“Pak cik Taha?” panggil Zarul yang menyangka Pak Cik Taha yang menghasilkan bunyi itu. Apabila tiada sebarang sahutan, Zarul memberanikan diri berlalu membuka pintu. Koridor yang menghubungkan bilik bacaan dengan bahagian tengah rumahnya itu dilihatnya. Tiada sesiapa.

Setelah melihat tiada sesiapa, Zarul kembali menutup pintu bilik bacaannya. Namun, baru sahaja dia mengorak langkah menghampiri mejanya, dia merasai terdapat seseorang cuba menyerangnya dari belakang. Serentak itu, dia pantas mengelak. Semuanya berlaku dengan pantas. Serangan tadi mengenai laptopnya.

“Siapa kau?” tanya Zarul kepada seseorang yang menutup hampir keseluruhan mukanya dengan topeng Opera. Di tangannya terdapat sebilah pedang yang dahagakan darah manusia. Dia bernasib baik kerana sempat mengelak jika tidak dia pasti akan menjadi korban penceroboh itu.

“Seseorang yang akan ambil nyawa kau,” gertak penceroboh itu sebelum menghayun pedang pada tangannya menyerang Zarul.

Zarul terus berlari ke sebuah almari dan mencapai sepucuk pistol. Namun, belum sempat dia hendak mengacukan pistol ke arah penceroboh itu, mukanya ditumbuk dengan gagang pedang. Serta-merta pandangannya menjadi gelap. Dia pengsan di atas lantai.

***

Dia tersenyum sinis selepas menumbuk musuhnya sehingga pengsan. Kini orang yang dibenci seumur hidupnya itu berada dalam tangannya. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Kerana manusia itulah dia menyimpan dendam ini. Kerana manusia itu jugalah dia terpaksa tidak dapat menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Hanya dengan membunuh manusia itu saja dia akan tenang.

Dia mengangkat pedangnya ke udara sebelum menghalakan mata pedangnya itu ke arah manusia itu. Sekejap sahaja lagi dia akan menamatkan segalanya. Dia sudah bernekad. Manusia itu perlu dibunuh!

Baru sahaja dia hendak menikam jantung mangsanya itu, dia dikejutkan dengan kedatangan seorang wanita yang menendang pintu bilik itu. Menyedari tangan wanita itu memegang sepucuk pistol, dia terus membatalkan niatnya dan berlari ke arah tingkap kaca. Dengan seluruh kekuatan yang ada dia memecahkan tingkap tersebut untuk melarikan diri. Serentak itu juga, dia mendengar beberapa tembakan yang mungkin dilepaskan oleh wanita itu.

Sebaik-baik sahaja kakinya menjejak tanah, dia pantas berlari masuk ke dalam hutan yang berdekatan. Dia berlari sekuat hati sehinggalah dia merasakan tiada lagi bahaya. Satu keluhan dilepaskan. Mujurlah dia sempat melarikan diri dengan tiada sebutir peluru pun menembusi badannya. Kalau ada pun, dia langsung tidak takut!

Tiba-tiba dia hilang imbangan. Tubuhnya yang gagah dan penuh tenaga tadi tiba-tiba berasa lemah. Topeng yang menyembunyikan mukanya tadi dibuang dan dia meneruskan langkah dengan terhuyung-hayang. Apa yang penting, dia perlu kembali ke markas segera!

Ketika hendak melintas jalan raya yang sunyi itu, dia dikejutkan dengan kehadiran lampu kereta yang dipandu laju. Kakinya tiba-tiba terhenti di tengah jalan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia masih berdiri di situ sedangkan kata hatinya berulang kali menyuruhnya melarikan diri.

Cahaya itu semakin lama semakin dekat. Matanya yang dipanah cahaya terang itu seperti tidak lagi dapat melihat dengan jelas. Seketika kemudian, segalanya bertukar menjadi hitam. Kali terakhir melihat, tubuhnya menghentam jalan raya yang basah itu.

***

“Wahai encik polis bermisai kontot, buat kali ke berapa dan terakhir kalinya saya ingin memberi penjelasan bahawa saya dan kereta saya langsung tak bersalah dalam kejadian tadi. Perlu ke saya buat sumpah laknat untuk yakinkan encik bahawa saya ni mangsa keadaan?” tegas Indah buat kali ke berapa entah, dia sendiri tidak pasti.

“Habis tu awak boleh terangkan macam mana mangsa boleh mati di tempat kejadian?” tanya pegawai polis yang menyoalnya berulang kali sejak dia dipaksa memberi keterangan di balai polis dua jam yang lalu.

“Dia datang dari celah-celah semak samun dengan berjalan terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Itu saja yang saya ingat. Tapi saya masih ingat dengan jelas, saya sempat pijak brek dahulu dan kemudian dia jatuh. Lagipun kalau saya langgar dia sudah tentu keadaannya lebih teruk. Mungkin dia dapat serangan jantung,” ujar Indah yang sudah bosan mengulangi jawapan yang sama. “Puas hati? Benarkan saya balik sekarang.”

“Kami tak akan melepaskan awak selagi kami tak berpuas hati dengan jawapan yang awak berikan,” kata pegawai itu lagi.

“Okey, encik polis awak nak jawapan yang bagaimana? Awak nak buat saya mengaku bahawa saya dah langgar lelaki tu dan menyenangkan tugas polis sebab awak tak perlu bermati-matian menyiasat tentang kes ni? Wahai encik polis, saya mungkin nampak seperti perempuan yang lemah. Jangan paksa saya mengaku sesuatu yang saya tak buat,” tegas Indah dengan berani.

“Kami tak tuduh awak yang langgar tapi ini kes langgar….”

“Masalahnya saya tak langgar! Berapa lama encik polis jadi polis? Sehari? Dua hari? Mangsa tu tak cedera langsung. Apa kata encik polis tunggu saja laporan daripada hasil bedah siasat dan kalau encik polis rasa saya bersalah, encik polis boleh datang jumpa saya. Jangan risau saya takkan melarikan diri sebab saya yakin saya tak bersalah langsung!”

“Cik Indah sila beri kerjasama.”

“Encik polis nak saya gunakan khidmat peguam ke? Kalau saya guna, saya pasti encik polis takkan dengar satu suara pun dari mulut saya. Sekarang saya dah beri kerjasama. Saya tak langgar dia. Dia jatuh sendiri dan mati di situ. Jadi, ini nasihat saya, tunggu laporan bedah siasat sebelum tuduh saya yang bukan-bukan, boleh tak?” ujarnya dengan geram.

Belum sempat pegawai polis itu hendak bercakap, telefon di atas mejanya berdering. Panggilan tersebut terus dijawab sambil Indah terpaksa menunggu. Seketika kemudian, panggilan ditamatkan.

“Awak boleh balik sekarang,” kata pegawai polis itu.

“Hah! Bukankah senang!” Lantas dia bangun dari duduknya.

“Tapi lain kali hati-hati memandu. Hari ni awak terlepas….”

“Ya… encik macam papa saya. Tak habis-habis guna dialog yang sama,” potong Indah sebelum mengorak langkah menghampiri Hero yang duduk di ruang menunggu balai itu. “Kau beritahu mak cik dan pak cik?” tanya Indah.

“Kalau aku tak beritahu pun dia orang akan tahu juga. Tapi kau jangan risau, aku dah yakinkan mereka supaya jangan risau. Aku tahu kau mesti pandai putar belit kenyataan,” balas Hero sambil berlalu keluar dari balai polis tersebut.

“Bukan putar belit tapi memang dah kenyataan. Bukan aku yang langgar,” tegas Indah sekali lagi sambil mengorak langkah ke keretanya. “Ah, aku lupa kunci kereta!”

“Aku tak sangka kau panik,” kata Hero seolah-olah memerli.

“Aku tak panik. Aku hanya terlupa ambil kunci kereta. Memandangkan mood aku tak beberapa baik, mungkin lebih baik kau masuk semula ke dalam untuk ambil kunci kereta aku. Aku rasa ada atas meja tadi.”

Hero hanya menggeleng. Mahu tidak mahu dia terpaksa berpatah balik mengambil kunci kereta Indah yang mungkin tertinggal di dalam sana. Namun, baru sahaja dia ingin melangkah masuk dia terdengar beberapa perbualan yang menyentuh tentang mangsa kejadian itu.

“Tak masuk akal. Dalam masa yang singkat saja mayat tu hilang tanpa dikesan. Pihak atasan pula mahu perkara ini dirahsiakan.”

“Macam mana boleh hilang?” soal satu suara.

Hero yang berdiri di sebalik pintu itu memasang teliga. Entah kenapa perbualan mereka itu menarik perhatiannya.

“Hah, awak nak apa?” sergah seorang anggota polis dari belakang. Serentak itu, sekumpulan polis yang sedang berbual tentang kehilangan mayat itu berhenti bercakap.

“Err… Indah tertinggal kunci,” jawab Hero.

“Ini?” tanya pegawai polis yang menyoal Indah tadi sambil menunjukkan kunci kereta yang berada di atas mejanya.

“Ya,” kunci kereta itu bertukar tangan. Melihat sekumpulan anggota polis itu memandangnya semacam, Hero terus mengangkat kaki keluar.

“Lamanya,” rungut Indah sebaik-baik sahaja kunci keretanya bertukar tangan. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam kereta. Tanpa berlengah lagi Indah memandu keretanya keluar dari pekarangan balai polis dengan hati yang membara.

“Kau tahu kenapa kau dibebaskan?” soal Hero sebaik-baik sahaja Indah memulakan pemanduan.

“Sebab aku tak bersalah,” jawab Indah.

“Sebab mayat tu hilang.”

“Hah?!”

***

Mata Zahira tidak berkelip melihat rakaman CCTV yang merakam kejadian sebentar tadi. Melalui rakaman itu dia dapat melihat dengan jelas bagaimana penceroboh itu memasuki rumah yang dikawal ketat itu dan menyerang Zarul dari belakang. Selepas meneliti rakaman itu dia memandang Pak Cik Taha yang bertanggungjawab memastikan keselamatan rumah itu.

“Sistem keselamatan dalam rumah ni dua kali ganda lebih kental dari sistem di White House tapi dia dapat pecahkan dengan senang tanpa disedari sesiapa. Nampaknya dia bukan calang-calang orang,” ujar Zahira sambil tersenyum.

“Mungkinkah apa yang berlaku pada Tuan Zainuddin akan berulang lagi?” tanya Pak Cik Taha yang bimbang dengan keselamatan tuan mudanya itu.

“Jangan risau, Zarul bukan mudah dikalahkan. Hari ni pertama kali dia diserang. Lain kali dia pasti akan lebih berhati-hati. Pak cik pun kenal dia, bukan? Masalahnya sekarang ni, Zarul pasti tidak akan duduk diam. Kalau hal ini berterusan, dia akan syak sesuatu,” terang Zahira yang merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku tidak lama lagi.

“Buat masa ni pak cik boleh tolong tapi pak cik tak boleh berjanji sampai bila kita dapat rahsiakannya daripada Zarul. Sekarang ni Zarul mula syak sesuatu dan mengupah penyiasat persendirian tentang kematian Tuan Zainuddin,” kata Pak Cik Taha.

“Saya akan uruskan tentang hal tu. Buat masa ni kerja pak cik hanya laporkan segala tindak-tanduk Zarul. Zarul tak perlu tahu tentang semua ini. Itu pesan Tuan Zainuddin sebelum dia meninggal dunia. Tapi, kalau Zarul tetap berkeras nak hentian pembiayaan Operasi Hidup, mungkin usaha Tuan Zainuddin selama ini akan menjadi sia-sia!”

Pak Cik Taha menyokong dengan anggukkan. Sejurus kemudian, pintu bilik bacaan di ketuk seseorang. Pak Cik Taha membuka pintu bilik itu.

“Tuan Zarul sudah sedar,” beritahu seorang wanita yang sudah lama bekerja sebagai pembantu rumah di rumah itu.

***

Zarul mengerah tenaga yang ada padanya untuk bangun dari pembaringan. Pada saat itu dia merasai dunianya seakan berputar serentak itu kepalanya terasa berdenyut-denyut. Lantas dia menutup matanya sebentar dan mengimbangi pernafasannya sepertimana yang pernah diajar oleh Pak Cik Taha yang mengajarnya tentang Qigong.

Seketika kemudian dia membuka matanya. Kepalanya yang sakit berdenyut-denyut tadi semakin berkurangan dan dunianya kembali stabil. Dia memandang sekeliling sambil berfikir apakah yang sudah berlaku sehingga dia terbaring di atas katil dengan bahunya yang terasa sakit seperti dihentak sesuatu. Namun, belum sempat dia hendak mengingati keseluruhan, pintu biliknya dibuka oleh seseorang. Zahira melangkah masuk.

“Bukankah aku dah beri amaran....”

“Kalau bukan disebabkan aku, kau mungkin dah mati dibunuh oleh perompak tu,” ujar Zahira pantas bersuara sebelum Zarul sempat menghabiskan kata-katanya.

“Oh, kalau macam tu, terima kasih sebab dah berjaya menakutkan aku. Jangan ingat aku tak tahu, kau yang rancang semua ni. Berpura-pura hantar orang gila untuk bunuh aku kemudian kau bertindak sebagai hero,” ujar Zarul yang langsung tidak mempercayai Zahira.

“Ayah kau pernah ajar aku, sesuatu yang membazir dalam dunia ni adalah membuat orang lain percayakan kita. Aku tak nak bazirkan masa aku untuk buat kau percaya. Walaupun kalah dengan seorang perompak memang memalukan bagi seorang lelaki macam kau tapi sekurang-kurangnya kau masih hidup. Hari pun dah malam, semoga tidur kau tak diganggu dengan mimpi ngeri,” ujar Zahira sebelum mengorak langkah ke pintu bilik. Namun, baru sahaja dia ingin keluar dari bilik itu, Zarul bersuara.

“Walaupun kau dah selamatkan aku, tapi aku tak akan bertukar fikiran. Pembiayaan Operasi Hidup akan dihentikan. Melainkan kalau kau ceritakan apa sebenarnya di sebalik Operasi Hidup,” kata Zarul cuba berurusan dengan cara baik.

“Baiklah, kalau macam tu, esok aku akan hantar seorang lagi perompak dan berpura-pura nak bunuh kau dan sekali lagi aku menjadi hero selamatkan kau. Mungkin selepas tu kau akan berlembut hati dan teruskan pembiayaan Operasi Hidup,” ujarnya sambil tersenyum memerli Zarul. “Cubaan yang bodoh, Zarul. Kau patut belajar bagaimana nak berurusan dengan orang yang sudah lama berada dalam dunia perniagaan ni.”

***

“Oh, come on. Tak ada berita yang sensasi dekat universiti ni. Aku berharap sangat nak tulis berita-berita yang mencabar seperti Hero seorang makhluk asing yang datang ke Bumi untuk tawan planet ni. Haslina seekor vampire yang dahagakan darah. Indah seorang ahli sihir yang suka makan jantung manusia manakala Ghani pula...” Riana berhenti bercakap sambil memandang ke arah Ghani yang sedang mengosok lenser kameranya. “... seorang manusia yang sering jadi mangsa serigala jadian,” tambah Riana seketika kemudian.

“Dan kau pula seorang pengganas yang berhasrat nak musnahkan bumi ni,” Indah menambah.

“Ya. Bukan ke tu satu berita yang hebat?” sorak Riana mengiyakan gurauan Indah itu.

“Kenapa aku tergolong dalam golongan mangsa serigala jadian?” tanya Ghani mencelah.

“Sebab orang macam kau tak sesuai pegang watak jahat,” pantas Indah menjawab.

“Ya, kau hanya sesuai pegang watak yang perlu dikorbankan,” Riana turut menambah.

“Betul tak wahai tuan penulis novel?” Indah cuba dapatkan sokongan Hero.

Serentak itu Ghani memandang Hero inginkan jawapan yang pasti. Bukan Ghani seorang sahaja yang berbuat demikian, tetapi Indah, Riana dan Haslina juga turut inginkan jawapan.

“Aku bukan Tuhan yang tentukan segalanya,” jawab Hero agak gugup apabila bertentangan mata dengan Haslina.

“Hero dan jawapan skema memang tak boleh dipisahkan,” keluh Indah menggeleng perlahan.

“Okey Indah, jawapan apa yang kau harapkan?” soal Hero.

“Jawapan tu sangat klise dengan jawapan dalam novel dan skrip drama yang ada sekarang. Seolah-olah penulis tak ada idea lain nak beri jawapan apa. Kau patut jawab macam ni, 'manusia berhak menilai apa saja tentang seseorang tapi dia tak ada kuasa untuk jadikan seseorang itu seperti apa yang diperkatakan olehnya'. Kau nampak apa bezanya? Sebagai seorang penulis, kau bukan saja perlu cari kelainan dalam cerita kau tapi kau juga perlu kelainan dalam menulis dialog,” terang Indah.

“Wau, dia hebat,” kata Riana kepada Hero. Dia agak terkejut apabila mendapati Indah tahu serba sedikit tentang ilmu penulisan.

“Kalau macam tu kau tak patut sia-siakan ilmu yang kau ada. Kau patut tulis sebuah novel dan aku yakin novel kau pasti akan meletup sebab kau pandai cari kelainan,” balas Hero.

“Aku benci nak bercakap tentang hal ni tapi sesuatu yang kau perlu tahu, kebanyakan kenalan aku adalah penulis. Walau betapa hebatnya pengaruh yang dia orang cuba tanam dalam diri aku, tetapi aku tetap tak ada keinginan untuk jadi penulis. Biarlah orang yang betul-betul cintakan dunia penulisan perjuangkan cita-cita mereka,” jawab Indah.

“Okey, apa-apa pun seseorang ada minatnya yang tersendiri. Begitu juga dengan aku. Aku berminat dengan berita menarik, jadi kau nak ceritakan apa yang dah berlaku pada malam tadi?” soal Riana yang tidak berputus asa sejak dari pagi tadi.

“Ah, itulah salah satunya aku benci kerja wartawan. Tak habis-habis nak tanya soalan,” keluh Indah.

“Tanya soalan memang dah jadi sebahagian daripada kerja wajib wartawan. Kalau aku tak tanya, maklumat yang aku nak tulis untuk artikel nanti tak lengkap dan aku tak boleh tulis ikut kepala sendiri sebab tugas utama wartawan adalah menyalurkan infomasi terkini dan tepat kepada pembaca,” jawab Riana.

“Satu lagi jawapan skema. Kalau kau nak jadi seorang wartawan yang berjaya, apa yang kau perlu buat adalah jadi agresif. Kau tak perlu mencari orang dan bertanya tentang soalan yang murah macam tu. Kau perlu bangun dan siasat sendiri. Gunakan otak untuk berfikir. Gunakan mata untuk melihat dan gunakan pena untuk sebarkan kebenaran. Dengan tu kau takkan terasa teragak-agak lagi untuk pastikan maklumat yang kau salurkan itu tepat atau palsu,” ujar Indah sekali lagi.

Riana terdiam sebentar.

“Boleh tak kau terangkan kenapa kau benci dunia penulisan?” tanya Riana yang ragu-ragu tentang sesuatu. “Dari gaya kau cakap, kau seolah-olah lebih berpengalaman daripada kita orang. Seolah-olah kau belajar tapi kau berusaha jauhkan diri dengannya.”

“Aku tak benci!” tegas Indah. Satu keluhan berat dilepaskannya. Matanya terpandang seorang mak cik yang sedang menyapu sampah di luar kafeteria yang mereka duduk sekarang. Tiba-tiba dia terfikir satu idea yang mungkin dapat menolongnya mengelak daripada menjadi mangsa Riana yang kemaruk inginkan berita sensasi. “Okey, kau nak berita yang hebat bukan? Baiklah, aku bagi kau satu berita yang lebih kurang hebatnya dengan kejadian semalam.”

“Apa dia?”

“Kau nampak mak cik tu?” tanya Indah sambil menunjuk ke arah mak cik yang sedang menyapu sampah itu.

“Apa kena mengena dengan mak cik tu dengan berita sensasi?”

“Mestilah ada kena mengena. Cuba kau fikir, setiap kali mak cik tu cuci tandas, dia tak benarkan seseiapa pun masuk dalam tandas tu walaupun masa tu dia tengah basuh singki.”

“Itu bukan sesuatu yang abnormal. Dia memang tak suka tengok apa yang dia bersihkan kotor balik. Jadi, ia bukan tergolong dalam berita sensasi.”

“Satu lagi nasihat aku, jangan mudah membuat kesimpulan kalau kau tak pasti. Kalau kau selalu baca buku penyiasatan kau akan nampak persamaan dalam hal ini iaitu kebanyakan kluenya disentuh beberapa kali tapi kita sebagai pembaca tak pernah terperasan tentang hal ini. Sama juga dengan kes mak cik tu. Mungkin ada rahsia yang sengaja dirahsiakan di sebalik tertutupnya pintu tandas semasa operasi membersih,” kata Indah lagi cuba menyakinkan Riana.

“Buat pertama kali aku sokong Indah,” pantas Hero bersuara. “Kita patut siasat perkara ni supaya dapat elakkan situasi yang tak diingini contohnya seseorang masuk ke dalam tandas yang bertentangan dengan jantinanya,” tambahnya lagi.

Indah di sebelahnya menghadiahkan jelingan tajam.

“Aku dah menjelajah hampir satu dunia kecuali kutub utara dan kutub selatan dan ini baru pertama kali aku jumpa seorang mak cik yang tak bagi orang lain masuk bila dia basuh tandas. Mesti ada apa-apa yang tak kena. Mungkin kau siasat. Agaknya ada peristiwa yang menghayat hati contohnya ada orang pernah jatuh ke dalam lubang tandas waktu dia pernah cuci tandas,” tambah Indah lagi walaupun dia tahu apa yang dia cakapkan itu memang tidak ada logiknya.

“Hebat sungguh imaginasi kau,” ujar Hero.

“Hidup tanpa imaginasi umpama seperti makan nasi tanpa lauk,” kata Indah sambil berlalu bangun dari duduknya. “Aku nak pergi tengok papan kenyataan untuk tengok siapakah yang bertuah sangat dapat partner seperti aku.”

“Sampaikan salam takziah kepadanya,” balas Hero sambil tersenyum memerli.

“Jangan risau, Skema. Walaupun bakal partner aku nanti lebih handsome dan lebih layak jadi hero daripada kau, tapi kita tetap akan menjadi pasangan Tom and Jerry,” ujar Indah sebelum berlalu pergi.

Hero sekali lagi mengeluh lemah manakala Riana di hadapannya cuba menahan tawa.

“Sesuai dengan namanya, dia memang 'indah' bukan?” kata Riana kepada Hero.

“Ya. Mulut dia memang 'indah'. Suka bercakap sesuatu tanpa memikirkan perasaan orang dan berlagak seolah-olah dia tahu tentang segalanya. Tak bermakna dia berkawan dengan ramai penulis, dia boleh labelkan dirinya setaraf dengan penulis,” ujar Hero meluahkan sedikit perasaannya.

“Sejujurnya apa yang dia cakap tadi memang ada betulnya. Walaupun dia kata dia benci kerja wartawan tapi sebenarnya dia tak boleh lari dari kenyataan sebab darah wartawan mengalir dalam tubuhnya,” terang Riana.

Hero mengerut dahi.

“Takkan kau sendiri tak tahu?” soal Riana kepada Hero.

“Aku hanya tahu aku ada sepupu beberapa hari yang lepas.”

“Tadi aku sengaja tanya untuk pastikan sesuatu tapi Indah memang pandai menyimpan rahsianya sendiri. Pertama kali aku berjumpa dengan Indah, dia seakan mirip seseorang. Jadi, aku cuba buat sedikit kerja dan mendapati Indah adalah anak kepada Lia Nur.”

“Lia Nur?” tanya Haslina ingin pastikan sesuatu.

“Siapa?” tanya Hero yang pertama kali mendengarnya.

“Dia antara wartawan wanita yang mendapat gelaran lagenda dalam usia yang masih muda. Kebanyakan artikel yang dikupas olehnya melibatkan jenayah berprofile tinggi. Dia pernah membongkar rahsia berkenaan dengan satu eksperimen berbahaya yang didalangi seorang jutawan berpegaruh tapi selepas kebenaran tu terbongkar dia dilaporkan menghilangkan diri bersama-sama bukti kukuh. Dengar kata dia dibunuh...,” kata Haslina menjelaskan serba sedikit.

“Sampai sekarang tiada siapa pun yang tahu sama ada dia masih hidup atau tak. Mungkin sebab itulah Indah bencikan kerja wartawan. Sebab dia kehilangan seorang ibu sewaktu kecil,” tambah Riana.

***

“Akmal Zarul bin Zairuddin?” ujar Indah membaca nama yang tertera pada kertas yang ditampal di papan kenyataan itu. “Kenapa aku rasa macam pernah dengar saja nama ni?” tambahnya lagi sambil cuba mengingati sesuatu.

“Kau Indah?” sapa seseorang.

Indah pantas berpaling dan berhadapan dengan seorang gadis yang memiliki ketinggian seperti model antarabangsa, blous merah dan digandingkan dengan skrit pendek atas paras lutut.

Indah tidak segera menjawab tetapi memandang gadis berpakaian serba merah itu dengan pandangan yang pelik. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat perempuan yang cantik bagaikan model tetapi hodoh apabila menggunakan mekap. Dengan mekap dan celak yang tebal membuatkan dia berasa jelik ingin memandangnya.

“Aku Kamelia.”

Tuan empunya suara itu memperkenalkan diri tanpa ditanya atau lebih tepat lagi, Indah tidak berasa ingin bertanya nama gadis itu.

“Hai, salam perkenalan,” sambut Indah sambil menghulurkan tangan.

Dia pernah mendengar tentang tatasusila seorang junior apabila bertemu dengan senior apabila berada di universiti yang sama. Memandangkan dia adalah junior, dia perlu menunjukkan perangai yang baik walaupun pada hakikatnya dia memang tidak suka bermuka plastik bila berhadapan dengan orang yang baru dikenalinya.

“Boleh blah dengan salam perkenalan kau tu,” kata Kamelia sambil menepis tangan kanan Indah yang menghulurkan salam tadi.

Dua orang gadis yang berdiri di kiri dan kanan Kamelia tersenyum seperti mentertawakan Indah. Namun, Indah tetap berlagak biasa. Bukan sekali dia pernah jumpa dengan orang seperti Kamelia, malah ada lagi yang lagi gedik dan lagi menjengkelkan dari Kamelia sehingga dia terpaksa menghadiahkan satu tumbukan kerana terlalu geram. Disebabkan peristiwa itu, dia dibuang sekolah.

“Dengar sini, aku nak beri amaran pada kau. Zarul tu hak aku. Jangan sesekali rampas dia daripada aku, faham?!” kata Kamelia separuh menjerit sehingga separuh daripada fakultinya itu bergema dengan suara Kamelia. Serentak itu juga pelajar-pelajar yang turut berada di situ juga memberi tumpuan ke arah mereka.

Indah terdiam. Bukannya dia takut dengan amaran Kamelia tadi tetapi dia sendiri tidak tahu apa punca sebenar sehingga Kamelia memarahinya tanpa usul periksa. Dan Zarul... Otaknya mula mencerna maklumat.

“Oh, kau Kamelia a.k.a kekasih hati Zarul yang juga merupakan partner aku untuk kelas Marketing,” teka Indah yang baru sahaja dapat mengagak apa yang membuatkan Kamelia menyerangnya membabi buta.

“Huh, takkan kau tak kenal aku? Aku antara pelajar popular di universiti ini. Pelajar junior macam kau wajib tahu siapa Kamelia,” balas Kamelia dengan suara lagak.

“Wahai cik opera merah membara, kau bukan Kate Middleton dan populariti kau hanyalah sekecil kuman saja di universiti ini. Jangan harap pelajar junior yang baru masuk tak sampai seminggu dekat sini tahu siapa Kamelia. Percayalah, walaupun kau lagi popular dari abang yang jual air dekat cafeteria tu tapi kau perlukan masa untuk naikkan populariti kau dalam kalangan pelajar junior. Jadi, tak mustahil aku tak kenal kau,” kata Indah yang sudah memulakan sesi perbahasan dengan Kamelia. “Dan terima kasih sebab kata aku cantik.”

“Bila masa aku kata kau cantik!” tengking Kamelia yang mula hilang sabar itu.

“Kiasan. Kau dah menggelabah semacam bila dapat tahu yang partner pakwe kau tu perempuan dan tanpa usul periksa, tanpa kenal siapa aku, kau terus serang aku macam aku dah bermalam di rumah pakwe kau. Bukankah tu salah satu sebab orang cemburu dengan kecantikan perempuan lain?”

“Kau...!”

“End conversation!” pantas Indah bersuara sebelum meninggalkan tempat itu. Jika dia masih berada di situ, mungkin mereka akan berperang besar. Memandangkan dia sudah berjanji pada papanya bahawa dia tidak akan menimbulkan masalah, dia perlu menjauhkan diri dari Kamelia secepat yang mungkin dan mungkin juga pada masa akan datang.

***

Zarul memberhentikan keretanya secara mengejut apabila menyedari terdapat seorang perempuan berdiri di tengah-tengah jalan seperti sengaja hendak membunuh diri. Biarpun dia telah memberhentikan kereta, namun, perempuan yang tidak dikenalinya itu masih belum berganjak. Berikutan itu, dia terus membuka pintu kereta dan berlaku keluar.

“Aku tahu, aku memang antara lelaki yang menjadi rebutan ramai gadis dalam universiti ini sehingga semua tergilakan aku tapi aku tak berharap kau gilakan aku sampai sanggup serahkan nyawa kau dengan berdiri di tengah-tengah jalan macam ni,” kata Zarul sebaik-baik sahaja keluar dari kereta.

“Kadangkala seseorang tu perlu jadi gila apabila berjumpa dengan orang waras yang pandu kereta 200 kilometer sejam di kawasan kampus,” balas perempuan itu tanpa sebarang senyuman.

“24 jam takkan jadi 25 jam dalam masa sehari. 200 kilometer sejam juga akan jadi 100 kilometer sejam kalau kita tak tahu bagaimana nak atur masa dengan betul, Cik Indah,” tambah Zarul yang sudah mengagak dengan siapakah dia sedang bercakap kini.

“Hebat. Aku tak sangka aku berada dalam senarai nama-nama gadis yang perlu kau ingat dalam kepala kau,” balas Indah.

Zarul tersenyum.

“Aku dapat hampir 20 mesej, 30 miss call dan 10 daripadanya dimasukkan dalam peti pesanan suara daripada seseorang yang beritahu namanya Indah. Dan tiada siapa yang sanggup jadi mangsa korban dengan berdiri di tengah jalan kalau bukan Cik Indah.”

“Wahai Prince Charming segala alam, aku tak nak bergaduh dengan kau hanya disebabkan perkara kecil. Kau tak datang ke kuliah, aku cuba hubungi kau tapi kau langsung tak layan, jadi aku terpaksa fikirkan strategi lain semata-mata nak berjumpa dengan kau untuk serahkan ini,” kata Indah sambil menghulurkan beberapa helai kertas yang telah dikepilkan kepadanya.

“Apa ni? Kontrak kahwin paksa?” gurau Zarul sengaja ingin bermain dengan kesabaran Indah.

“Hah! Sangat kelakar. Bak kata orang yang hidupnya bergantung pada biasiswa dan gaji mak bapak yang bekerja siang malam untuk tanggung pengajian anaknya di universiti ni, kertas ini adalah nyawa yang perlu dijaga bersama-sama rakan dalam satu kumpulan. Kalau seorang sengaja masuk ke dalam mulut jerung, seorang lagi akan turut serta. Lebih kurang seperti pepatah manis orang bercinta, if you jump, I jump.”

Jawapan daripada Indah tadi membuatkan dia berasa lucu mendengarnya tetapi dia dapat rasakan Indah bukan sebarangan perempuan yang pernah dijumpai setakat ini.

“Pertama kali aku jumpa partner yang sangat baik hati.”

“Kau patut cakap, pertama dan terakhir kali sebab ini merupakan kali terakhir kau repeat paper ni. Esok, jam 11 pagi, jumpa di library tuk bincang assignment ni,” kata Indah.

“Kau yakin aku datang esok?” tanya Zarul. Belum sempat Indah hendak menjawab Zarul terlebih dahulu sudah masuk ke dalam kereta dan memandu keretanya semula.

2 komen:

Via berkata...

Best2....suke sgt2 ngan cte nie, t'utamanya Indah =)

..G a R a P p U.. berkata...

sis,, bila nak keluarkan novel utk cerita ni ngan cerita hikayat cinta?? ta sabar nak beli nih? - dilla
http://idopmemangrumit.blogspot.com/2011/08/jangan.html

~Segalanya Tentang Cinta dan Bulan~