Peraturan Blog ini

Baca BOLEH
Puji BOLEH
Komen BOLEH
Kutuk BOLEH
Tiru TAK BOLEH
Copy & paste (entry) TAK BOLEH

Sountrack

About the Blog

Blog ini diwujudkan sejak awal tahun 2008 dengan tujuan untuk berkongsi karya-karya saya kepada penggemar novel dan sesiapa sahaja yang berminat penulisan novel. Kesemua enovel atau karya dalam blog ini adalah kepunyaan hak mutlak saya dan saya harap tiada pihak yang menyalahgunakan karya-karya dalam blog ini dengan menyalin dan menampalnya di dalam blog lain atas apa tujuan sekalipun.

Adalah dinyatakan juga, kesemua karya dalam blog ini kemungkinan akan diterbitkan dalam versi cetak. Jadi, saya tidak akan meletakkan kesemua bab untuk sesebuah enovel. Kemungkinan juga versi enovel tidak akan sama 100% seperti versi cetak. Oleh yang demikian, apa yang anda baca dalam blog ini adalah idea asal manakala apa yang anda baca dalam versi cetak adalah idea terbaharu.

Sebarang pertanyaan mengenai enovel dan novel akan datang, anda boleh bertanya di Facebook saya atau emelkan pertanyaan anda kepada ratu.bulan.antasya@gmail.com.

Harap maklum ^_^


Pengikut

JOM LEPAK!

JOM LEPAK!
klik pada gambar

25 Mei 2011

1: INDAH vs HERO



“Hei Cik Akak, tak nampak aku tengah basuh tandas?” teguran seorang wanita lewat 40an yang sedang memegang berus sabut itu mengejutkan Nur Indah yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam tandas yang nampaknya sedang dicuci.

“Tentulah nampak,” balas gadis yang lebih selesa dengan panggilan Indah. Tanpa mempedulikan mak cik yang sedang cuci tandas itu, dia terus mara melangkah. Namun, baru beberapa langkah mak cik itu menariknya kembali ke muka pintu.

“Kalau dah nampak kau tak reti-reti keluar?”

“Saya cuma nak buang apa yang patut. Bukan ke mak cik tengah cuci singki?” soal Indah tidak mengerti.

“Tak boleh! Aku tak suka orang masuk tandas masa aku tengah cuci tanda!,” tegas mak cik itu lagi sambil menolak Indah sehingga keluar dari tandas tersebut. Serentak dengan itu juga, pintu tandas ditutup rapat.

“Really?”

Indah mengeluh lemah apabila tidak dapat membuka pintu tandas kerana sudah dikunci atau disekat sesuatu dari dalam. Niat dihati hendak sahaja dia menggunakan tendangan saktinya membuka pintu itu, tetapi memandangkan dia memegang janji untuk menjadi pelajar yang mematuhi undang-undang, terus dia melupakan niatnya itu.

Jam pada tangannya dijeling. Walaupun baru sahaja dua minit dia berada di luar dengan niat untuk menunggu mak cik cuci tandas itu habis mencuci, tetapi hajat yang ingin dilepaskannya tidak memahami situasinya sekarang.

Anak matanya terpandang papan tanda tandas lelaki disebelah tandas perempuan. Satu idea datang dalam keadaan terdesak. Sebentar kemudian, bibirnya terukir satu senyuman.

“Papa pernah bercakap, apabila satu pintu ditutup, pintu lain telah sedia menanti,” ujarnya sendirian. Tanpa buang masa dia segera membuka pintu tandas lelaki. Setelah memastikan tiada orang di dalamnya, Indah segera melangkah ke dalam.

***

Seorang lelaki yang memakai baju kameja yang berbutang dileher, berkaca mata manakala rambutnya disikat tepi itu melangkah masuk ke dalam tandas tidak bermaya. Beg sandang yang dibelinya semasa masuk tingkatan 5, diletak di tepi singki yang kering itu. Kemudian, dia menatap wajahnya di hadapan cermin.

“Hero?”

Dia teringat peristiwa pagi tadi semasa sesi suai kenal dengan pelajar-pelajar dalam kuliahnya. Sebaik-baik sahaja dia memberitahu namanya, satu dewan ketawakannya. Dia semamangnya sudah mengagak mereka yang tidak mengenalinya pasti akan terkejut dan seterusnya gelak sampai tidak ingat dunia selepas mengetahui nama sebenarnya.

Namun, seperti biasa dia hanya mampu berdiam diri. Bukannya takut hendak membalas tetapi dia sememangnya tidak suka bergaduh dengan orang hanya kerana nama. Hal ini sudah banyak kali dipesan oleh ayahnya yang banyak mengajarnya erti kesabaran.

Namun, dia tidak tahu sampai bila dia boleh bersabar apabila mereka mempersendakan namanya. Salahkah orang sepertinya diberi nama Hero?

Sekali lagi dia menghela nafas lemah. Hari ini benar-benar meletihkannya. Dia pernah bercita-cita hendak mengubah nasibnya apabila menjejak kaki ke universiti, tetapi dia masih tidak boleh lari daripada bayangan lamanya.

Hero yang tidak dianggap hero.

“Kehidupan di kolej memang membosankan,” katanya sendirian.

“Itu yang aku beritahu pada papa aku tapi dia tak percaya,” sapa satu suara perempuan tiba-tiba membuatnya terkejut. Dari cermin di hadapannya, Hero melihat seorang gadis keluar dari tandas di belakangnya. Walaupun gadis itu memiliki potongan rambut seperti lelaki, tetapi kegadisannya tetapi menonjol.

Tidak percaya dia melihat seorang gadis dalam tandas itu, Hero terus berpaling ke belakang untuk memastikannya lagi. Ternyata matanya tidak berbohong.

“Aku tak faham dengan fikiran orang sekarang. Semuanya pentingkan sijil dan kelulusan. Semua berlumba-lumba nak belajar. Semuanya nak dapat markah yang tinggi sampai ada yang sanggup hafal satu buku semata-mata nak sehelai kertas yang kononnya mereka dapat tukarkan dengan gaji beribu-ribu. Bagi aku, sijil hanyalah sekeping kertas yang tercatit kelulusan seseorang tapi bukan tercatit kejayaan seseorang dalam hidup, betul tak?” tambah gadis yang tidak dikenali itu menegurnya seperti sudah lama kenal.

“Err…,” Hero terus kehilangan kata-kata. Otaknya langsung tidak dapat mencerna apa yang diperkatakan oleh gadis yang kini berdiri di sebelahnya.

“Kenapa dengan kau?” tanya gadis itu merenungnya dengan pelik.

“Err… saya rasa, saya tersilap masuk tandas,” ujarnya sambil mencapai beg sandangnya dan terus berlari lintang-pukang keluar dari tandas tersebut. Pintu tandas ditutup dengan rapat. Dia yang berdiri di luar pintu tandas menghela nafas lega. Mujurlah tiada orang yang terserempak atau melihat dia tersalah masuk tandas.

“Eh, ini tandas lelaki,” katanya sendirian apabila melihat papan tanda yang terlekat pada pintu tandas yang dia masuk tadi. Beberapa kali dia menggosok matanya. Sekali lagi matanya tidak berbohong.

Tidak lama kemudian, pintu tandas itu dibuka oleh gadis yang menegurnya di dalam tadi. Dia yang hendak bertanya, terus kelu lidahnya apabila melihat wajah selamba gadis itu.

“Kenapa kau perlu keluar? Ini tandas lelaki,” kata gadis itu dengan nada yang selamba seolah-olah tiada apa yang perlu dipertikaian apabila perempuan masuk tandas lelaki.

Sekali lagi lidah Hero kelu untuk berkata-kata. Inilah pertama kali dia berjumpa dengan seorang gadis yang berani masuk tandas lelaki dan buat seperti tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Skema,” tambah gadis itu lagi diikuti dengan tawa kelucuan. Entah apa yang melucukan, dia pun tidak tahu.

“Hei,” panggil Hero sebaik-baik sahaja gadis itu mula mengangkat kaki.

Panggilannya tadi berjaya menghentikan langkah gadis itu.

“Sebelum kau tuduh aku yang bukan-bukan, aku nak terangkan. Tandas perempuan sedang dibasuh oleh seorang mak cik yang garang. Dia tak benarkan aku guna tandas walaupun pada masa tu dia sedang basuh singki. Dan satu-satunya tandas yang kosong adalah tandas lelaki,” ujar gadis itu tanpa perlu ditanya.

Sekali lagi lidah Hero kelu untuk berkata-kata. Gadis itu seperti mempunyai satu kuasa membuatkan lidahnya beku.

“Siapa dia tu?” tanya Hero selepas gadis misteri itu melangkah pergi.

***

Sebaik-baik sahaja Hero melangkah masuk ke dalam rumahnya, dia terkejut apabila melihat beberapa kotak besar diletak di ruang tamu. Setelah diamati, dia amat mengenali kotak-kotak yang menghuni bilik kosong di bahagian atas rumah teres dua tingkat itu.

Tidak lama kemudian, terdapat seseorang dari atas menuruni anak tangga sambil membawa sebuah kotak besar yang tampak berat. Tanpa berlengah lagi, Hero segera menolong dengan menyambut kotak yang berat itu dari pegangan ibunya.

“Terima kasih,” ucap ibunya. Walaupun ibunya berumur dalam lingkungan 40an, tetapi wanita itu masih lagi kelihatan gagah mengangkat barang berat.

“Kenapa dengan semua ni?” tanya Hero setelah meletak kotak yang disambutnya tadi.

“Ibu tak sempat nak beritahu pagi tadi. Semalam Uncle Razak telefon,” ujar Puan Badariah.

“Uncle Razak?”

“Kamu mesti terkejut. Dia pak cik kamu dan juga merupakan adik kepada ayah kamu. Kami memang tak pernah beritahu tentang hal uncle Razak sebab ada masalah keluarga. Kamu tahu sajalah ayah kamu bila dah marah. Tapi baru-baru ni hubungan mereka makin menunjuk tanda positif,” terang ibunya secara ringkas.

“Dan dia akan datang dan menetap di sini?” teka Hero memandangkan semua barang-barang yang disimpan dalam bilik itu dikeluarkan.

“Lebih kurang macam tu tapi bukan Uncle Razak.”

“Habis itu?”

“Anak perempuan dia….”

“Anak perempuan? Bunyi macam budak kecil. Saya dah besar panjang. Sepatutnya kena panggil anak gadis tapi saya amat anti dengan perkataan gadis. Begitu juga dengan papa,” celah satu suara yang pernah didengarinya sebelum ini di belakangnya.

Bagaikan seperti tidak percaya dengan suara di belakangnya mirip seperti suara gadis misteri yang dijumpainya di universiti tadi, Hero terus memalingkan kepala. Sekali lagi dia terkejut apabila melihat gadis yang sama yang dijumpai secara tidak sengaja di tandas. Seperti dia, gadis itu juga kelihatan terkejut sebaik-baik sahaja dia berpaling.

“Indah, kenalkan ini anak mak cik. Namanya Hero,” Puan Badariah segera memperkenalkan anak lelakinya kepada Indah. “Dan Hero, kenalkan ini Indah. Anak Uncle Razak dan juga sepupu kamu.”

“Hero?” ujar Indah seakan ingin tergelak tetapi ditahan-tahannya. “Lebih hebat daripada apa yang aku jangkakan,” tambah Indah lagi sambil mengukir senyuman.

“Salam perkenalan daripada saya, Cik Indah Water,” balas Hero turut tersengih.

Dalam masa yang singkat, keduanya saling berbalas pandangan.

“Korang berdua pernah berjumpa?” tanya Puan Badariah seperti dapat membaca apa yang berlaku terhadap mereka berdua sehingga saling berbalas pandangan.

“Ya, semasa di tan….”

“Semasa di universiti tadi. Kami berjumpa semasa sesi suai kenal,” pantas Hero memotong sebelum sempat Indah menyebut perkataan ‘tandas’. Dia tidak mahu disoal-siasat oleh ibunya yang sangat tegas dalam hal-hal demikian.

“Oh, baguslah. Mak cik harap kamu berdua dapat berkawan dengan baik,” kata Puan Badariah lagi melahirkan perasaan gembira apabila mendengar mereka berdua sudah berkenalan.

“Mak cik Bada jangan risau. Saya langsung tak ada masalah berkawan dengan lelaki yang skema,” ujar Indah sambil mengukir senyuman. Hero di sebelahnya sudah menjeling tajam.

Perbualan mereka diganggu dengan bunyi telefon bimbit. Puan Badariah segera mencapai telefon bimbit dari poket seluarnya. Sepanjang Puan Badariah bercakap melalui telefon, sepanjang itulah Hero dan Indah saling berlawan mata.

“Err… Indah,” panggilan Puan Badariah meleraikan perlawanan mata tadi. “Mak cik perlu ke kedai makan sebab pelanggan tengah ramai sekarang. Indah akan tinggal di bilik atas. Mak cik dah keluarkan barang-barang di dalam sana cuma tinggal nak bersihkan sawang-sawang saja.”

“Mak cik, terutama sekali saya nak ucapkan terima kasih sebab benarkan saya tinggal di sini walaupuan saya tahu semua ni atas permintaan papa saya. Saya amat menghargainya,” kata Indah dengan penuh tatatertib.

“Tapi?” sambung Hero seperti tahu apa yang ingin dicakap selanjutnya oleh Indah.

“Tapi… saya alergi dengan habuk,” tambah Indah walaupun berat tetapi dia perlu bercakap mengenainya juga.

Hero melepaskan tawanya. Menyedari ibunya memandangnya, Hero terus mengunci mulut tetapi dia tetap kelihatan seperti sedang menahan gelak.

“Oh, mak cik lupa tentang tu. Papa kamu ada beritahu tentang tu. Memandangkan mungkin mak cik balik lambat, mak cik serahkan pada Hero.”

“Hah?” Hero terkejut mendengarnya.

Kali ini Indah pula yang melepaskan tawa.

***

“Aku dengar kau kata kau alergi dengan habuk,” kata Hero sambil meletakkan sebuah beg pakaian yang diambil dari dalam bonet kereta Indah.

“Ya. Memang aku alergi dengan habuk,” jawab Indah tanpa berpaling. Dia masih lagi bersenang lenang duduk di atas sofa panjang sambil menikmati semangkuk kecil ais krim yang diambilnya dari peti ais.

“Tapi takkan barang kau dalam bonet kereta pun aku kena angkat?” balas Hero dengan nada tidak puas hati.

“Jangan salahkan aku. Salahkan diri kau sendiri,” jawab Indah sambil matanya masih tidak berganjak menonton sinetron Indonesia yang ditayangkan itu.

“Kenapa?” tanya Hero.

“Sebab Hero. Nama kau Hero. Disebabkan dengan nama tu, kau kena tolong semua orang dalam dunia ni,” jawab Indah memberikan jawapan yang kukuh sehingga Hero tidak memberi sebarang komen.

“Hero tak bermakna Superhero,” kata Hero setelah sekian lama dia berdiam diri. Barangkali berfikir hendak membalas apa. Tanpa berlengah lagi, dia segera membawa beg pakaian Indah naik ke atas. Indah yang menyedari nada suara Hero yang seakan kecewa, terus bangun dan menolong Hero mengambil barang-barangnya naik ke bilik.

“Kenapa mereka beri kau nama Hero? Mesti ada sebab, bukan?” tanya Indah. “Itupun kalau kau nak jawab soalan tu,” tambah Indah lagi apabila Hero tidak memberi sebarang reaksi.

“Sejujurnya, aku pun tak tahu.” Hero menjawab akhirnya.

“Kau tak tanya?” soal Indah lagi yang tidak dapat terima jawapan Hero.

“Aku dah cuba tanya tapi mereka tak boleh bagi jawapan tu.”

Jawapan Hero membuatkan Indah bertambah hairan.

“Kedua ibu bapa kandung aku meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Masa tu aku berumur 5 tahun,” jawab Hero.

“Jadi, kau….”

“Anak angkat.”

***

“Untuk sekali dalam sepanjang hidup saya, saya tak pernah makan malam macam ni. Satu keluarga duduk makan, bercerita tentang apa yang berlaku pada hari ni dan apa yang perlu dibuat esok. Semuanya macam mimpi saja,” kata Indah sambil menyusun pinggan dan mangkuk yang kotor di atas meja makan sebelum dibawa ke singki yang mana Puan Badariah sudah menanti untuk membasuhnya.

“Selama ni Indah makan dengan siapa?” tanya Puan Badariah.

“Seorang diri. Papa begitu sibuk dengan kerjanya yang tak habis-habis nak benteras jenayah. Kalau dia makan dengan saya pun dia suasananya masih sama. Sebab tulah kalau dia ada pun saya tak kisah sangat. Itu bukan satu masalah bagi saya. Saya boleh hidup seorang diri,” tambahnya lagi.

“Semua orang boleh hidup seorang diri tapi jiwa mereka akan berasa kekosongan. Kami di sini sangat mengalu-alukan kedatangan Indah. Lagipun mak cik teringin sangat nak menjaga seorang anak perempuan tapi nasib tak menyebelahi kami sekeluarga. Tapi kami masih bernasib baik dengan kedatangan Hero dalam keluarga kami.”

“Apa Hero buat di sana malam-malam ni?” tanya Indah dari jendela tingkap dapur apabila ternampak kelibat Hero menghampiri sebuah rumah kecil yang kelihatan seperti stor.

“Itu memang tempat tidurnya,” balas Puan Badariah tenang.

“Di stor?”

“Dahulunya memang stor tapi sekarang dah diubah suai. Ia dah jadi rumah kedua Hero.”

“Rumah kedua?”

“Ya. Selepas kami dapat hak penjagaan terhadap Hero, kami bawanya tinggal di sini. Hero tak seperti yang kamu lihat sekarang. Waktu tu, dia memang susah nak terima kehadiran orang asing dalam hidupnya. Dia sering melarikan diri dan menyorok dalam stor tu. Masa tu kami dah tak tahu nak buat apa. Jadi, pak cik kamu membuat keputusan untuk mengubah suai stor tu sebagai rumah kedua Hero. Di sanalah tempat dia tidur, makan dan bermain. Lama-kelamaan, dia boleh terima kehadiran kami seperti yang Indah lihat sekarang,” terang Puan Badariah panjang lebar.

“Patutlah orang kata, seseorang hero memang berperangai pelik,” ujarnya.

3 komen:

Miss Kira berkata...

ok..hero ni macam menarik..

cik ratu..kira dah bca dah tkc..
hehehe..lain dari yg lain..
kalau nk request buat special edition tntg depa kawen boleh x? hehehe

cikdidasyuhada berkata...

waaaaaaa! bestnye! at first,i tot bcoz he did sumting so die d paggil hero...rupenye mmg name die.unik name die..huhuhu..cant wait for more..:)

Humaira berkata...

Wah!!! Bestnya!! Indah tu lain dri yang lain.. berani giler msuk tandas laki.. er..dan hero lagi lain dri yg lain.. heheh~

smbung agy, taw!!!

~Segalanya Tentang Cinta dan Bulan~